
Syura dalam Islam bukan mesti majoriti – Presiden PAS
January 17, 2025
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan bahawa umat Islam tidak boleh terpengaruh dengan demokrasi ala Barat, khususnya dalam hal yang melibatkan hukum dan akidah.
Menurut Ahli Parlimen Marang itu, prinsip halal dan haram dalam Islam adalah berdasarkan nas yang jelas dan tidak boleh ditentukan melalui undian majoriti.
“Syura dalam Islam ni bukan mesti majoriti. Orang Barat saja ikut majoriti, benda haram halal pun ikut majoriti. Siapa setuju arak? Arak halal angkat tangan belaka? Ramai orang angkat tangan setuju arak halal, jadi halal.
“Haram halal ni tak boleh pakai majoriti. Dah ada nas. Benda yang wajib. Setuju tak kita sembahyang Jumaat hari ni? Tak setuju sembahyang Jumaat tak usah mari masjidlah. Tak boleh macam itu. Ni benda wajib tak boleh.
“Benda yang ada nas tak boleh Ikut demokrasi Barat. Ada tempat-tempat kita ikut tempat-tempat kita tak ikut. Ni kena faham,” katanya dalam kuliah Dhuha Jumaat di Masjid Rusila, di sini hari ini.
Prinsip syura: Keputusan berdasar hujah kuat
Beliau turut menjelaskan bahawa sistem syura dalam Islam berbeza dengan demokrasi Barat, kerana keputusan syura tidak semestinya berasaskan majoriti, tetapi berdasarkan kekuatan hujah dan kebijaksanaan pemimpin.
“Mesyuarat dalam Islam ni bukan mesti majoriti. Pemimpin dalam Islam mesti buat keputusan mengikut mana yang kuat.
“Allah berfirman dalam Surah Āli-ʿImrān: 159, ‘Dan bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan itu. Maka apabila engkau telah berazam, bertawakallah kepada Allah.’
“Bila kamu berazam dengan sesuatu keputusan engkau berada dalam suatu keputusan, engkau dapati ini hujah lebih kuat. (Maka setelah buat keputusan) serah pada Allah Taala,” jelasnya.
Tuan Guru mengambil contoh Perjanjian Hudaibiyah, yang pada awalnya dilihat berat sebelah dan tidak adil kepada umat Islam.
Rasulullah SAW menurutnya, tetap menerima perjanjian itu walaupun majoriti Sahabat RA tidak bersetuju, kerana baginda memahami strategi jangka panjangnya.
“Perjanjian Hudaibiyah ni tak benar orang Islam umrah. Kena tangguh tahun depan. Muhammad Rasulullah tak boleh tulis. (Kena tulis) Muhammad bin Abdullah. Orang Islam yang berhijrah ke Madinah kena hantar balik.
“Orang Islam yang murtad lari ke Makkah tak hantar balik. Keputusan ni. masing-masing bernaung di bawah pihak yang lain tak boleh serang-menyerang antara satu sama lain. Nabi terima perjanjian ni. Perjanjian berat sebelah Nabi terima.
“Yang ikut Nabi (hanya) Abu Bakar. Majoriti Sahabat RA berat (untuk terima). Sebab itu bila Nabi suruh tahalul, tak mahu tahalul. Tak mahu buang pakaian ihram kerana nak buat umrah juga.
“Akhirnya didapati bahawa Quraisy melanggar perjanjian. Langgar perjanjian. Quraisy ni. Bila langgar perjanjian menyebabkan Makkah dibuka. Dibenarkan Makkah diserang dan ditawan Makkah. Itu berlaku kemenangan. Dia langgar perjanjian,” ceritanya.
Tegas dalam menghadapi ancaman
Tuan Guru juga menyentuh mengenai kepimpinan Saidina Abu Bakar As-Siddiq dalam menangani ancaman selepas kewafatan Rasulullah SAW.
Tuan Guru berkata, walaupun ramai Sahabat tidak bersetuju, Abu Bakar tetap mengarahkan tentera Usamah Zaid untuk menyerang Rom bagi menunjukkan kekuatan Islam.
“Tentera Usamah terus pergi untuk lawan Rom. Dengan pertolongan Allah, Rom berundur tak jadi lawan. Kemudian, bila tentera Usamah pergi menyerang Rom, orang murtad jadi gerun.
“Rupanya Islam ni kuat lagi rupanya. Sanggup lawan Rom tengah-tengah begini pun. Ni kuat dak boleh buat main ni. Ini perang psikologi dipanggil. Perang psikologi. Abu Bakar memahami perang psikologi. Dia buat keputusan dengan pandangan dia,” katanya.
Tunai perjanjian: Tanggungjawab yang wajib
Tuan Guru turut mengingatkan bahawa Islam mewajibkan umatnya menunaikan janji, termasuk perjanjian dengan orang bukan-Islam, walaupun ia kelihatan berat sebelah.
“Jadi dalam Islam ini ada beza kita kena faham tak boleh sama Islam dengan yang lain. Kita wajib menunaikan janji kita termasuk dengan orang kafir.
“Termasuk perjanjian yang kita tak setuju. Sabarlah kita tak setuju. Akan tiba masanya Allah Taala memenangkan kita nampak perjanjian berat sebelah. Jadi akad perjanjian wajib kena tunai.
“Perjanjian jual beli, perjanjian berhutang dengan orang. Ini berhutang-hutang niat tak mahu bayar. Apa jenis begitu? Kena ada saksi, ada apa pula berjanji. Lepas itu tidak mengaku pula. Tak bayar pula.
Ulasan
Catat Ulasan