
Tahanan seumur hidup bebas selepas lebih 30 tahun diseksa
ORANG ramai bersorak untuk tahanan Palestin yang dibebaskan oleh Israel sebaik tiba di bangunan pusat sukan perbandaran Ramallah, di Tebing Barat yang diduduki, kelmarin.- AFP
Oleh ATHIRAH HUDA ZALHE
27 Januari 2025, 8:00 am
TEBING BARAT: Pertukaran kedua pada Sabtu menyaksikan pembebasan empat askar wanita Israel dan 200 tahanan Palestin, di bawah fasa pertama perjanjian gencatan senjata yang menghentikan perang selama lebih 15 bulan.
Jawatankuasa Palang Merah Antarabangsa (ICRC) mengesahkan pemindahan 128 tahanan Palestin ke Gaza dan Tebing Barat.
Manakala, pihak berkuasa tempatan menguruskan pembebasan serta pemindahan baki tahanan, melengkapkan pertukaran kedua di bawah perjanjian yang berkuat kuasa 19 Januari lepas.
Pembebasan kedua-dua pihak disambut dengan sorakan meriah oleh rakyat Palestin di bandar Ramallah, Tebing Barat dan rakyat Israel di Tel Aviv.
Pejabat Media Banduan berkata, tahanan yang dibebaskan termasuk 121 yang menjalani hukuman penjara seumur hidup dan 79 lagi dengan hukuman panjang.
Katanya, 70 daripada mereka yang menjalani hukuman penjara seumur hidup akan dihantar ke luar wilayah Palestin.
Di bawah fasa pertama gencatan senjata Gaza, Israel kini dijadualkan berundur dari kawasan Koridor Netzarim yang memisahkan utara Gaza daripada selatan, membolehkan rakyat Palestin kembali ke utara.
DEKAN TAHANAN PALESTIN
Selepas 39 tahun berdepan penganiayaan, tahanan Palestin paling lama berada di sebalik ‘tembok’ penjara Israel dibebaskan untuk pertukaran kedua, kelmarin.
Mohammed Al-Tous, digelar sebagai ‘Dekan Tahanan Palestin’, berasal dari kampung Jab’a di Bethlehem, Tebing Barat yang diduduki.
Beliau menghabiskan 39 tahun hidupnya di penjara Israel sejak penahanan pada 1985.
Mohammed, 69, ditangkap pada Oktober 1985 dan dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana mengetuai kumpulan yang menjalankan operasi ketenteraan terhadap sasaran tentera Israel.
Sepanjang tempoh penahanannya, Mohammed menghadapi pelbagai bentuk penderaan dan penganiayaan sehingga mengalami kecederaan serius.
Israel berulang kali menolak untuk membebaskan Mohammed dalam semua perjanjian pertukaran tahanan dan inisiatif pembebasan semasa tempoh penahanan, termasuk kumpulan tahanan veteran pada 2014, di mana namanya disenaraikan, namun ditolak rejim.
Beliau adalah antara kumpulan tahanan veteran yang ditahan sebelum perjanjian Oslo 1993.
TAHANAN JENIN
Tahanan Jenin paling lama dalam penjara Israel juga antara banduan Palestin yang dibebaskan bersama Mohammed dan hampir 200 yang lain.
Menurut Kelab Tahanan Palestin, Raed Mohammed Sharif Al-Saadi, 57, dari bandar Silat al-Harithiya, barat laut Jenin di utara Tebing Barat, ditahan sejak 1989 dan merupakan tahanan paling lama dari Gabenor Jenin.
Raed diburu dan ditangkap berikutan tercetusnya Intifada Pertama pada 1987.
Beliau dijatuhkan hukuman oleh mahkamah Israel dengan dua hukuman penjara seumur hidup, selain tambahan 20 tahun.
Dikenali kerana peranannya yang aktif dalam penjara Israel di pelbagai peringkat, Raed memainkan peranan penting dalam kalangan rakan tahanan.
Beliau juga merupakan pengarang novel My Mother Maryam the Palestinian.
Sama seperti Mohammed, Raed juga antara tahanan yang ditangkap sebelum menandatangani Perjanjian Oslo 1993 antara Pertubuhan Pembebasan Palestin dan Israel.
Kumpulan itu merangkumi 21 tahanan, bersama 11 tahanan lain yang ditangkap semula selepas pembebasan mereka dalam Pertukaran Gilad Shalit 2011.
Semasa penahanannya, Raed mengalami kehilangan yang mendalam apabila beberapa ahli keluar yang terdekat meninggal dunia tanpa sempat melawat, termasuk bapa, ibu dan abangnya.
“Saya rindu ayah saya, untuk melihat kilauan di matanya kerana kesedihan dan kesusahan.
“Saya merindui ibu saya, untuk duduk di tepi kuburnya, memohon maaf kerana bertahun-tahun dia menghabiskan masa duduk di ambang pintu rumah, memanggil nama saya dengan setiap pergerakan dan berharap ia adalah saya,” tulis Raed dalam mesej penuh perasaan semasa tahun ke-35 penahanannya di penjara Israel.
TEBUSAN NAFI DIBERI DADAH
Sementara itu, doktor tentera Israel berkata, kesihatan empat tentera wanita yang dibebaskan adalah sangat baik dan mengesahkan mereka tidak diberikan perangsang atau dadah semasa ditawan di Gaza.
Penilaian oleh doktor itu menyangkal dakwaan rasmi Israel bahawa Hamas memberi perangsang kepada tawanan dalam bentuk vitamin dan ubat penenang untuk membuatkan mereka kelihatan gembira sebelum dibebaskan.
Penyiar rasmi Israel KAN melaporkan, doktor tentera mendapati tentera wanita itu berada dalam keadaan sihat dan stabil selepas menjalani pemeriksaan kesihatan sebaik dibebaskan.
Empat tentera wanita itu kemudian memberitahu nyawa mereka terancam malah turut mengalami ketakutan melampau akibat pengeboman sengit tentera Israel berhampiran lokasi mereka ditahan.
Kenyataan mereka selari dengan amaran awal Hamas yang menyatakan bahawa serangan udara Israel menyebabkan kematian puluhan tahanan dalam jagaan mereka dan hampir mengakibatkan kematian beberapa yang lain.
Tebusan tersebut turut mengakui mereka kerap dipindahkan antara rumah dan terowong semasa dalam tahanan, di tengah-tengah serangan udara demi memastikan keselamatan mereka.-AGENSI
Ulasan
Catat Ulasan