Tayar pun hilang, apa lagi masalah penipuan
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
6 Januari 2025, 6:40 am
Insiden tayar lori yang tercabut dan mengakibatkan tujuh maut di persimpangan tol Ayer Keroh, Kilometer (KM) 204, Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS), Melaka pada 23 Disember lalu adalah satu tragedi.
Dua beradik kecil kini yatim piatu. Mereka juga kehilangan datuk dan nenek. Hanya kerana tayar tercabut, tujuh nyawa melayang. Seperti mana-mana tragedi, pelbagai pihak menuntut penjelasan. Ada mahukan keadilan. Ada pihak mencari salah pihak bertanggungjawab. Pemandu lori tayar yang tercabut bebas dadah. Lori itu dikatakan berkeadaan baik. Ada menyalahkan PLUS kerana tiada lampu jalan.
Akhir sekali yang menjadi sasaran adalah Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom). Siasatan kini menjurus kepada amalan rasuah.
Sekarang SPRM juga akan campur tangan. Pemeriksaan mengejut dilakukan di Puspakom bagi mengetahui jika wujud salah guna kuasa oleh kakitangan syarikat itu. Jadi misi mencari kebenaran menjadi operasi mencari “salah siapa”.
Baru-baru ini didedahkan mengenai kegiatan kartel yang menyediakan khidmat sewaan tayar dan pelbagai aksesori kenderaan sebelum pemeriksaan. Selepas diganti dan mendapat kelulusan Puspakom, pemilik kenderaan akan mengembalikan tayar atau cermin kepada syarikat dan membayar pada caj tertentu.
Jika difikirkan, ia perniagaan yang lumayan. Tidak perlu AI. Ada permintaan dan tawaran selain sedikit otak menipu. Untuk mengetahui betapa lumayannya perniagaan ini, jumlah kenderaan berdaftar di Malaysia mencecah 36.3 juta unit setakat Oktober 2023 tetapi hanya hampir 24 juta masih aktif di jalan raya.
Angka kerajaan menunjukkan ada 17,244,978 kereta, motosikal (16,773,112) dan kenderaan mengangkut barangan 1,429,403. Terdapat juga 84,745 teksi, 64,021 bas dan 30,318 kereta sewa.
Bayangkan hampir 1.5 juta lori perlu melalui pemeriksaan sebelum dibenarkan beroperasi di jalan raya. Begitu juga bas, teksi dan kereta sewa. Negara mendaftar hampir 850,000 kereta baharu. Hampir 40,000 kereta dengan permit import atau (AP). Semua kenderaan ini harus melalui pemeriksaan.
Jadi apabila timbul isu perniagaan sewaan tayar, gandar dan cermin sebelum pemeriksaan, ada yang terkejut. Saya tidak tahu mereka yang terkejut ini tinggal di planet mana. Perkara itu sudah berlaku bertahun-tahun.
Peniaga otak menipu ini sudah mengaut pendapatan mungkin ratusan juta ringgit berdasarkan jumlah lori, bas atau teksi yang perlu diperiksa setiap tahun. Daripada sibuk memikirkan siapa yang salah dalam tragedi di Ayer Keroh, pihak berkuasa lebih baik mencari jalan supaya penyewa tayar, cermin atau gandar kenderaan ini tidak dapat terus menipu.
Susah sangat? Kini ada teknologi laser yang boleh membuat tandaan. Ada teknologi hologram yang memastikan ia tulen. Zaman dulu hamba ditekap dengan besi panas supaya diketahui tuannya. Begitu juga lembu.
Kini terlalu banyak teknologi seperti digunakan untuk mengenal pasti rokok atau arak tidak dibayar cukai. Kenapa teknologi atau pengesanan baru tidak digunakan supaya tiada pihak boleh menipu di pusat pemeriksaan kenderaan.
Tetapi bagaimana untuk mencari penyelesaian apabila tayar yang meragut tujuh nyawa itu sendiri hilang tanpa bayang. Apa agaknya kisah aneh lain yang bakal datang hari ini?
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan