Titah Adendum: Mohd. Dusuki, Ahmad Terrirudin kunci mulut
MOHD. DUSUKI
Oleh SUWARNI MOKHTAR dan JOHANNA MUMTAZ
9 Januari 2025, 6:19 am
PUTRAJAYA: Peguam Negara, Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Ahmad Terrirudin Mohd. Salleh mengambil pendekatan mengunci mulut apabila ditanya berhubung isu Titah Adendum yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Mohd. Dusuki yang ditemui pada Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2025 yang disempurnakan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat di sini semalam hanya memberi reaksi “tiada komen”.
AHMAD TERRIRUDIN
Ahmad Terrirudin juga enggan memberikan sebarang reaksi berhubung Titah Adendum yang dikatakan telah dihantar ke pejabatnya ketika menjawat jawatan itu.
Beliau yang kini merupakan Hakim Mahkamah Persekutuan bertindak meninggalkan media yang menunggu beliau.
KEWUJUDAN
Isnin lalu, Mahkamah Rayuan memberikan kebenaran kepada Najib untuk memulakan prosiding semakan kehakiman bagi membuktikan kewujudan suatu Titah Adendum yang dikatakan membenarkan beliau menjalani baki tempoh penjara bawah tahanan rumah.
Dalam keputusan 2-1, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd. Firuz Jaffril menyokong keputusan itu, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel tiga hakim prosiding menentang penghakiman terbabit.
Mahkamah itu menyatakan, disebabkan tiada sebarang cabaran yang mempertikaikan kewujudan Titah Adendum itu, maka mahkamah tidak boleh mengetepikan kewujudan titah Yang di-Pertuan Agong itu.
Pada 1 April 2024, Najib memfailkan semakan kehakiman, antara lain mendakwa selain perintah pengurangan hukuman penjara dan pengurangan jumlah denda, terdapat perintah tambahan yang membenarkan beliau untuk menjalani hukuman yang dikurangkan kepada ‘tahanan di rumah’ dan bukannya di penjara.
Dalam titah tersebut yang dibacakan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, nama Ahmad Terrirudin disebut sebagai penerima Titah Adendum yang diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong ketika itu, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Titah tambahan tahanan rumah itu adalah tambahan kepada titah utama yang mengurangkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kepada hukuman penjara enam tahun dan denda RM50 juta.
Najib disabitkan bersalah dalam pertuduhan salah guna kuasa, pecah amanah jenayah dan pengubahan wang haram melibatkan RM42 juta dana SRC International, bekas anak syarikat 1 Malaysia Development Berhad (1MDB). – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan