Titah Adendum perlu dijunjung oleh kerajaan
January 6, 2025
PUTRAJAYA: Kehadiran PAS dan Bersatu ke ‘Himpunan Solidariti Najib’ adalah untuk memastikan Titah Adendum terhadap bekas
Perdana Menteri, Dato’ Sri Mohd Najib Tun Abdul Razak dijunjung oleh pihak kerajaan.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz berkata, kerajaan telah melakukan penderhakaan dengan meremehkan Perlembagaan, di samping tidak melaksanakan titah yang terkandung di dalam adendum berkenaan.
“Kita di PAS dan Bersatu, niat kita daripada awal lagi jelas bahawa kita berhimpun kerana Titah Adendum tidak dijunjung oleh kerajaan dan kita anggap itu satu penderhakaan.
“Jadi kita berhimpun untuk menunjukkan rasa tidak puas hati, kita nak menunjukkan penentangan kita terhadap kerajaan kerana mereka selama ini telah meremehkan titah.
“Secara tidak langsung kerajaan juga telah meremehkan Perlembagaan Persekutuan,” katanya ketika ditemui _Harakahdaily_ di perkarangan Istana Kehakiman, di sini hari ini.
Tambah beliau, rakyat tetap hadir ke himpunan tersebut bagi menunjukkan solidariti walaupun berdepan dengan pelbagai halangan seperti sekatan jalan raya.
“Walaupun dengan macam-macam halangan untuk sampai ke sini seperti ugutan, kena ambil tindakan dan sekatan jalan raya, mereka tetap hadir dengan niat masing-masing,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/1/2025
Ulasan
Catat Ulasan