

Berita
ULASAN | Kita kena berani mencuba, menguji kaji
Diterbitkan: Jan 16, 2025 8:17 AMULASAN SUKAN | Seronok melihat aksi bintang badminton dunia seperti An Se Young dan Shi Yu Qi memperagakan kelibat masing-masing mengungguli kejuaraan Terbuka Malaysia yang berakhir baru-baru ini.
Peminat yang hadir pasti kagum dengan semangat juang ditunjukkan oleh pemain nombor satu dunia dalam final acara perseorangan lelaki dan wanita itu. Kedua-dua jagoan berkenaan menyajikan permainan sempurna dan bertaraf lima bintang yang harus dicemburui pemain negara.
Habuan diterima oleh Se Young dari Korea Selatan dan Yu Qi (China) atas keringat masing-masing adalah hadiah bernilai RM456,600. Itulah ganjaran selaku pemain kelas satu dunia yang sentiasa konsisten.
Pada masa sama kita berasa amat hampa apabila tiada seorang pun wakil negara yang berjaya layak melangkah ke final sekali gus mengintai peluang kejuaraan di Axiata Arena, KL Sports City, Ahad lalu.
Pencapaian terbaik hanya dicatatkan tiga pasangan beregu kita apabila layak ke separuh akhir. Mereka ialah Man Wei Chong-Tee Kai Wun (beregu lelaki) dan Chen Tang Jie-Toh Ee Wei dan Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie (beregu campuran).
Apa pun, kita harus ucapkan terima kasih di atas pencapaian trio ini yang setidak-tidaknya menjadi penyelamat maruah. Rata-rata jurang di antara pemain terbaik negara dengan pemain terbaik dunia sudah berjaya dirapatkan pada hari ini.
Malah, dari aspek taktikal dan teknik permainan, boleh dikatakan hampir sama saja. Dengan bekalan ini dan kelebihan selaku tuan rumah, mereka seharusnya menjelmakan perwatakan lebih garang untuk melepasi setiap halangan tanpa mengira lawan yang berstatus bintang.
Tapi, apa sudah jadi dengan rentak kemenangan di Terbuka Malaysia? Elemen ketekalan gagal menyerlah, dan diburukkan lagi dengan hilangnya fokus pada detik penting sekadar menambah masalah besar kepada kebanyakan pemain utama kita.
Sepatutnya jadi tonik tambahan
Maka tidak hairanlah jika pemain dari China, Korea Selatan dan Jepun yang lebih positif dalam pengurusan permainan mereka di gelanggang kerap memenangi gelaran di jelajah dunia. Komitmen dan sifat tidak mudah menyerah kalah membolehkan mereka mendominasi pentas saingan besar seperti Sukan Olimpik, kejohanan dunia serta Piala Thomas dan Piala Sudirman.
Kita tidak boleh berterusan dengan gelagat sama - kerap menyajikan pencapaian hambar termasuk dalam kejohanan di bumi sendiri. Ini kerana selaku tuan rumah kita harus mampu menunjukkan belang sekali gus menjulang trofi kejuaraan.
Barulah bangga dan lega peminat tempatan.
Memang sedih melihat ribuan penonton hadir memberi sokongan padu setiap kali pemain negara turun ke gelanggang. Tetapi hajat mereka melihat kemenangan terlakar berakhir dengan kehampaan.
Di dewan itu, mereka menyemarakkan semangat pemain negara dengan kata-kata “Go-Malaysia, Go-Malaysia, Go-Malaysia” yang mencetuskan suatu senario penuh patriotik di dan membanggakan.
Seharusnya jika kata-kata itu masuk ke dalam telinga pemain, ia harus memberi tonik tambahan, tapi rata-rata pemain kita yang beraksi di separuh akhir semacam gementar dan bagai hilang keyakinan diri.
Sorakan bergemuruh seperti itu pun macam satu tekanan? Sepatutnya ia menjadi inspirasi untuk pemain bangkit memberi yang terbaik bagi melepasi halangan sukar seterusnya melangkah ke pusingan akhir.
Kita juga dapat melihat situasi sama dalam sukan hoki dan bola sepak, umpamanya. Skuad negara akur sorakan padu penyokong adalah satu kelebihan, tapi pada masa sama mereka sendiri mencipta rasa gementar di gelanggang.
Di manakah lagi kita akan mendapat sokongan padu kalau bukan di laman sendiri?
Ini cerita Aaron Chia-Soh Wooi Yik pula. Pada suatu ketika mereka berada pada kedudukan terbaik untuk mara ke final beregu lelaki selepas beberapa gandingan elit dunia tersingkir awal.
Namun, pasangan nombor enam dunia itu hilang arah dalam permainan sebelum kecundang kepada pasangan ke-27 dunia dari Taiwan, Lee Fang Chin-Lee Fang Jen.
Gandingan baru, berbaloi
Baru-baru ini, bekas pakar beregu negara, Razif Sidek, menyuarakan cadangan untuk memisahkan Aaron-Wooi Yik jika mereka masih gagal mencapai tahap diharapkan selepas kejohanan Seluruh England pada Mac nanti.
Itu pun rasanya satu firasat yang baik daripada ‘otai’ badminton yang penuh berpengalaman. Razif beranggapan jika dipisahkan sementara setiap pemain mampu memberi ruang memperbaiki kelemahan dan lebih menghargai hubungan mereka dalam usaha mengukuhkan gandingan agar kekal dalam kelompok utama dunia.
Dia mengambil contoh gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei yang pernah berpisah selama lima bulan sebelum kembali bersama. Kini mereka menyerlah dan sudah berjaya menjadi beregu lelaki nombor tiga dunia.
BAM boleh cuba gandingkan Aaron atau Wooi Yik dengan satu lagi pasangan muda negara, Wei Chong-Kai Wun, umpamanya. Pemain muda berkenaan juga boleh menimba pengalaman mereka dan mempelajari sesuatu yang baru daripada rakan senior.

Langkah berpisah sementara itu bukan sesuatu yang baru. Negara lain juga pernah memisahkan beregu utama mereka sebagai ujian menilai gandingan mana boleh menjadi lebih mantap.
China, Jepun dan Korea Selatan, begitu juga Thailand dan Indonesia sudah mengambil pendekatan tersebut.
Juara beregu lelaki Terbuka Malaysia, Kim Won Ho-Seo Seung Jae sebenarnya adalah gandingan baru dan ujian dibuat Korea Selatan itu berbaloi apabila mereka pantas menghasilkan kejayaan besar selepas menewaskan pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi.
Begitu juga beregu campuran baru Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran yang muncul juara selepas menewaskan pasangan nombor satu, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dalam final pada Ahad lalu.
Macam ikut angin saja
Kita harus berani mencuba dan menguji. Cuma - tidak seperti negara yang disebut tadi - kita mempunyai kelompok pemain kecil bagi tujuan tersebut. Ini satu masalah jika kita mahu bereksperimen dengan memisahkan gandingan beregu utama yang ada ketika ini.
Antara contoh paling ketara adalah Pearly Tan-M Thinaah. Jurang di antara jaguh beregu wanita negara dengan pemain nombor dua negara adalah amat jauh. Jadi, mahu atau tidak pasangan ini perlu terus dikekalkan.
Sesuatu yang berulang dalam edisi Terbuka Malaysia kali ini ialah aspek kekuatan mental pemain kita. Prestasi mereka terumbang-ambing dan juga macam ikut angin masing-masing. Sekejap hebat, sekejap lemah.
Pada pendapat penulis, BAM bukanlah sasaran untuk ditujukan segala persoalan atau kritikan atas kegagalan tempoh hari, sebaliknya pemain yang harus tampil menawarkan pencerahan kenapa mereka tidak mampu melakar nama dengan lebih baik.

Tambahan pula Terbuka Malaysia adalah kejohanan siri Super 1000. Ia antara pentas saingan elit dunia yang menjadi idaman pemain ternama kerana tawaran hadiah wang yang lumayan.
Apa yang kurang pada pemain negara di bawah naungan badan induk kita? Segala persediaan dan keperluan diberikan secukupnya sejak sekian lama. Mereka juga tidak perlu berbelanja satu sen pun untuk persiapan menghadapi kejohanan di pentas antarabangsa, khasnya di Jelajah Dunia BWF.
Lain pula dengan situasi pemain berstatus profesional negara yang terpaksa mencari dana sendiri. Namun di sebalik kekangan dan bebanan itu, ada yang mencapai keputusan lebih baik daripada pemain BAM.
Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia, Rexy Mainaky, harus kecewa kerana sebelum kejohanan bermula dia tampil berani menyuarakan betapa kita mampu memenangi sekurang-kurangnya satu daripada lima gelaran yang dipertandingkan di Bukit Jalil.
Apa sebenarnya masalah kita?
Kita boleh mengutarakan pelbagai alasan, termasuk jadual padat dalam jelajah dunia pada tahun lalu, selain dihambat persiapan ke Sukan Olimpik di Paris. Ia dikatakan menjejaskan aspek mental dan fizikal pemain.
Tapi bagi seorang pemain yang baik dan boleh menguruskan diri, itu sepatutnya bukan satu masalah.
Ya, kita juga harus akur pemain juga manusia, bukan robot. Tapi dalam sukan kita mahukan keputusan, bukan alasan. Kalau merungut saja pun tidak akan memberi apa-apa makna. Sebagai pemain negara, anda wajib ada visi dan keinginan untuk sentiasa berjaya.
V ASHOK ialah bekas Pengarang Sukan dan Pengarang Berita Luar Negara di Berita Harian.
Ulasan
Catat Ulasan