2 juta bakat berhijrah




2 juta bakat berhijrah
SYED HUSSAIN SYED HUSMAN
Oleh ZAHRA MOHAMAD ZHAHIR
24 Februari 2025, 7:00 am

PETALING JAYA: Malaysia menyaksikan kadar penghijrahan bakat yang tinggi, mencecah 5.5 peratus atau melibatkan hampir dua juta tenaga kerja pada tahun lalu dan trend itu dijangka berterusan pada masa hadapan.

Presiden Persatuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF), Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, angka tersebut menunjukkan kadar penghijrahan bakat di negara ini jauh lebih tinggi berbanding purata global iaitu sebanyak 3.3 peratus.

Beliau berkata, penghijrahan tersebut menyebabkan kebanyakan majikan menghadapi kesukaran mendapatkan tenaga kerja profesional yang berkualiti, terutamanya dalam sektor berkemahiran tinggi.

Katanya, Malaysia sudah lama berdepan dengan fenomena penghijrahan cendekiawan (brain drain), di mana individu berbakat dan berkemahiran tinggi memilih untuk mencari peluang kerjaya serta menyumbang kepakaran mereka di luar negara.

“Antara satu daripada faktor utama yang mendorong penghijrahan bakat adalah keinginan profesional tempatan untuk mencari peluang yang lebih baik di luar negara dari segi gaji, faedah pekerjaan dan persekitaran kerja.

“Jurang kemahiran, ketidakseimbangan gaji dan budaya kerja yang kurang kondusif turut menjadi penyebab utama bakat tempatan lebih gemar berhijrah ke luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Syed Hussain berkata, terdapat keperluan mendesak bagi semua pihak berkepentingan, termasuk kerajaan, majikan dan pekerja, untuk bekerjasama dalam memperbaiki ekosistem pekerjaan supaya lebih kompetitif.

Jelasnya, langkah tersebut amat penting bagi menarik minat tenaga mahir di luar negara untuk kembali ke Malaysia, di samping memastikan bakat sedia ada kekal berkhidmat dalam negara.

“Tidak dinafi kan, ramai tenaga profesional tempatan seperti doktor, jurutera, saintis dan pakar teknologi memilih untuk berhijrah ke luar negara bagi mendapatkan peluang yang lebih baik. Situasi ini menyebabkan tenaga kerja berkemahiran tinggi dalam negara semakin berkurangan.

“Malah, penghijrahan bakat profesional turut melemahkan daya saing Malaysia dalam ekonomi global, terutamanya dalam sektor yang memerlukan kepakaran tinggi seperti kecerdasan buatan (AI), bioteknologi
dan kejuruteraan tenaga hijau boleh diperbaharui,” katanya.

Sebagai langkah mengatasi isu tersebut, Syed Hussain berkata, majikan perlu menawarkan gaji dan faedah pekerjaan yang lebih kompetitif.

“Bagi menarik minat pekerja berkemahiran tinggi, mereka perlu diberikan peluang kenaikan pangkat, fleksibiliti kerja serta keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan (work-life balance).

“Majikan juga boleh bekerjasama dengan institusi pengajian tinggi (IPT) dan pusat latihan untuk memastikan graduan memiliki kemahiran yang selari dengan keperluan semasa industri,” katanya.

Katanya, amalan budaya kerja yang positif, peluang pembangunan kerjaya yang jelas serta kepemimpinan yang baik juga memainkan peranan penting dalam menarik dan mengekalkan bakat tempatan.

“Program seperti Returning Expert Programme (REP) yang diterajui oleh Talent Corp perlu diperluaskan dengan insentif yang lebih menarik agar diaspora Malaysia yang bekerja di luar negara berminat untuk
kembali serta menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi tempatan.

“Penghijrahan bakat tempatan memberi cabaran besar kepada pertumbuhan ekonomi negara, tetapi ia juga boleh menjadi peluang jika kerajaan dan pemegang taruh mengambil langkah strategik untuk me-
narik semula bakat-bakat ini kembali ke Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Ulasan