Aqidah pemangkin amalan hati amilin



Aqidah pemangkin amalan hati amilin
February 4, 2025

SESUATU amal yang menatijahkan ganjaran di sisi Allah terbit dari aqidah sahihah. Berbuat baik tanpa iman tidak akan membawa seseorang ke mana-mana pun kerana kebaikan itu mesti ditunjangi oleh keyakinan kepada Allah dan Rasulullah S.A.W. Daripada keimanan inilah, maka lahirlah amalan khairiah (kebaikan).

Amalan khairiah pula terbahagi kepada dua bahagian; iaitu amalan hati dan amalan perbuatan. Secara tabie, amalan hati hadir sebelum disusuli oleh amalan lahiriah. Antara contoh amalan hati adalah taqwa, sabar, ikhlas, tawakkal, istiqamah, berani, dan pemurah. Perbuatan-perbuatan hati tersebut merupakan sifat mahmudah yang membentuk akhlaq terpuji bagi seorang mukmin.

Amalan murni seperti taqwa dan sabar amat dituntut oleh Islam. Diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A. bahawa Rasulullah S.A.W melintasi seorang wanita yang sedang menangis berhampiran sebuah kubur seraya bersabda:

اتَّقِي اللَّهَ وَاصْبِرِي قَالَتْ إِلَيْكَ عَنِّي فَإِنَّكَ لَمْ تُصَبْ بِمُصِيبَتِي وَلَمْ تَعْرِفْهُ فَقِيلَ لَهَا إِنَّهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَتَتْ بَابَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَلَمْ تَجِدْ عِنْدَهُ بَوَّابِينَ فَقَالَتْ لَمْ أَعْرِفْكَ فَقَالَ إِنَّمَا الصَّبْرُ عِنْدَ الصَّدْمَةِ الْأُولَى

“Bertakwalah kepada Allah dan bersabarlah.” Wanita itu berkata,: “Kamu tidak mengerti keadaan saya, kerana kamu tidak mengalami mushibah seperti yang aku alami.” Wanita itu tidak mengetahui jika yang menasihati itu Nabi S.A.W. Lalu diberi tahu, “Sesungguhnya orang tadi adalah Nabi S.A.W. Spontan wanita tersebut mendatangi rumah Nabi S.A.W namun dia tidak menemukannya. Setelah bertemu dia berkata, “Maaf, tadi aku tidak mengetahui Anda.” Maka beliau bersabda, “Sesungguhnya sabar itu pada kesempatan pertama (saat datang mushibah).” (Bukhari: 1203)

Sebaliknya, sifat mazmumah atau tercela; iaitu lawan bagi sifat terpuji seperti nifaq, khianat, bakhil, isti’jal, dan panas baran, merupakan amalan hati yang dapat memudaratkan jiwa seorang muslim.

Mereka yang memiliki amalan hati yang baik diumpamakan seperti akar sepohon pokok subur rendang. Akarnya itu tidak kelihatan pada mata kasar kerana gugusan tunjangnya berada di dalam tanah; sedangkan dedaunnya yang menghijau serta ranting bersilangan menunjukkan betapa suburnya pohon berkenaan.

Kedudukan amalan hati ini teramat penting sebagaimana sabda Rasulullah S.A.W dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh an-Nu’man:

مِنَ النُّعْمَانِ بْنِ بَشِيرٍسَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَكُنْتُ إِذَا سَمِعْتُهُ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ظَنَنْتُ أَنْ لَا أَسْمَعَ أَحَدًا عَلَى الْمِنْبَرِ يَقُولُ سَمِعْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَقُولُ إِنَّ فِي الْإِنْسَانِ مُضْغَةً إِذَا سَلِمَتْ وَصَحَّتْ سَلِمَ سَائِرُ الْجَسَدِ وَصَحَّ وَإِذَا سَقِمَتْ سَقِمَ سَائِرُ الْجَسَدِ وَفَسَدَ أَلَا وَهِيَ الْقَلْبُ

“An Nu’man bin Basyir berkata, “Aku mendengar Rasulullah S.A.W, dan jika aku mendengarnya berkata, ‘Aku mendengar Rasulullah S.A.W, maka aku mengira bahwa aku tidak akan bisa mendengar lagi orang yang berada di atas mimbar mengatakan ‘Aku mendengar Rasulullah S.A.W.’ Beliau bersabda, “Sesungguhnya dalam jasad manusia terdapat segumpal darah, jika ia baik dan sihat maka seluruh jasad akan akan baik dan sihat. Namun jika ia sakit, maka seluruh jasad pun akan ikut sakit dan rosak. Ketahuilah, bahwa segumpal darah itu adalah hati.”” (Ahmad: 17686)

Sekiranya amalan hati seseorang itu tidak bersandarkan kepada aqidah Islam, maka perbuatannya itu tidak bermanfaat buat dirinya di akhirat kelak. Dengan perkataan lain, walaupun beliau mengorbankan harta, tenaga atau nyawa sepanjang hidupnya, Tuhan tetap tidak mengiktiraf pengorbanannya itu kerana ia tidak bertunjangkan aqidah yang sebenar.

Firman Allah:

مَثَلُ الَّذِينَ كَفَرُوا بِرَبِّهِمْ ۖ أَعْمَالُهُمْ كَرَمَادٍ اشْتَدَّتْ بِهِ الرِّيحُ فِي يَوْمٍ عَاصِفٍ ۖ لَا يَقْدِرُونَ مِمَّا كَسَبُوا عَلَىٰ شَيْءٍ ۚ ذَٰلِكَ هُوَ الضَّلَالُ الْبَعِيدُ

“Perumpamaan orang-orang yang kufur kepada Tuhannya, perbuatan mereka seperti abu yang ditiup oleh angin kencang pada saat badai. Mereka tidak kuasa (memperoleh manfaat) sama sekali dari apa yang telah mereka usahakan (di dunia). Yang demikian itu adalah kesesatan yang jauh.” (Surah Ibrahim: 18)

Oleh itu, aqidah merupakan titik asal segala amalan setiap insan, sama ada ia berbentuk amalan hati atau amal perbuatan. Justeru, amilin hendaklah memastikan bahawa segala amal yang dilaksanakannya itu adalah berpaksikan aqidah sahihah serta selaras dengan tuntutan syarak supaya amalannya sah di sisi Allah. sabda Rasulullah S.A.W:

قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْإِيمَانُ بِضْعٌ وَسَبْعُونَ أَوْ بِضْعٌ وَسِتُّونَ شُعْبَةً فَأَفْضَلُهَا قَوْلُ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَدْنَاهَا إِمَاطَةُ الْأَذَى عَنْ الطَّرِيقِ وَالْحَيَاءُ شُعْبَةٌ مِنْ الْإِيمَانِ

“Rasulullah S.A.W bersabda, “Iman itu ada tujuh puluh lebih, atau enam puluh lebih cabang. Yang paling utama adalah perkataan, Laa Ilaaha Illallahu (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah selain Allah); dan yang paling rendah adalah menyingkirkan gangguan dari jalan; dan malu itu adalah sebagian dari iman.”” (Muslim: 51)

DR. AHMAD FAKHRUDDIN FAKHRURAZI
Unit Penerbitan
Lajnah Tarbiyah PAS Pusat – HARAKAHDAILY 4/2/2025

Ulasan