
Bakat Malaysia diiktiraf dunia
ZAINI UJANG
Oleh Maisarah Sheikh Rahim dan Aqilah Mior Kamarulbaid
25 Februari 2025, 6:30 am
TEMPOH 37 tahun dalam perkhidmatan bukanlah satu perjalanan singkat bagi seorang tokoh ilmuwan, DATUK SERI DR. ZAINI UJANG.
Bermula dalam sektor pendidikan tinggi dan berakhir di bidang yang sama sebagai Ketua Setiausaha (KSU) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mungkin satu kebetulan. Beliau juga pernah dilantik Naib Canselor termuda selain komitmen tinggi terhadap pelestarian alam sekitar di persada antarabangsa.
Menulis lebih 51 buah buku, 300 kertas akademik, lebih 2,000 artikel dalam media massa dan mendaftarkan 21 harta intelek, Zaini, 60, berpengalaman luas dalam pentadbiran awam menerusi portfolio berkaitan pendidikan tinggi, pengurusan sumber manusia, tenaga, air, teknologi hijau, kesihatan, alam sekitar dan perubahan iklim.
Dalam wawancara bersama wartawan Utusan Malaysia, MAISARAH SHEIKH RAHIM dan AQILAH MIOR KAMARULBAID serta jurufoto, FAISOL MUSTAFA, penerima pertama Anugerah Merdeka 2009 (pencapaian ilmiah), penerima Tokoh Maal Hijrah 1441H/2019M, dan penerima anugerah berprestij Order of the Rising Sun, Gold and Silver Star daripada Maharaja Jepun pada 2022 itu berkongsi pandangannya dalam keupayaan negara mencapai tahap tertinggi dalam pelbagai bidang, terutama pendidikan tinggi dan alam sekitar.
UTUSAN: Boleh kongsikan perjalanan karier Datuk Seri?
Saya memulakan kerjaya sebagai Penolong Pensyarah Universiti pada 6 Ogos 1988 di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang kejuruteraan alam sekitar. Pada akhir tahun 1989, saya melanjutkan pelajaran ke Universiti Newcastle, England pada peringkat ijazah sarjana. Selepas menamatkan pengajian, saya pulang ke Malaysia selama dua tahun sebelum melanjutkan pengajian peringkat PhD di universiti sama. Saya mendirikan rumah tangga dengan Dr. Zainah Mokhtar pada Februari 1992.
Saya kembali bertugas di UTM pada 1996. Pada awal 1997 saya berpeluang bertugas sebagai pegawai khas di pejabat Menteri Pendidikan selama dua tahun. Tugasan saya antaranya berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), penubuhan universiti swasta menerusi Akta Institusi Pendidikan Tinggi Swasta 1996 (Akta 555) dan pengkorporatan Universiti Malaya (UM). Namun demikian, pengkorporatan UM tidak berjaya kerana krisis ekonomi yang berlaku pada ketika itu.
Saya kembali bertugas di UTM pada 1999 di Institut Pengurusan Alam Sekitar dan Sumber Air (IPASA). Selain menjalankan pengajaran, penyelidikan dan perundingan, saya juga aktif dalam pelbagai inisiatif peringkat antarabangsa.
Pada 2004, saya dipilih sebagai Naib Presiden Persatuan Air Antarabangsa (IWA) beribu pejabat di London. Saya bersyukur kerana Menteri Pendidikan Tinggi ketika itu, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melantik saya menjadi Naib Canselor UTM pada 2008 pada usia 43 tahun. Antara kenangan manis termasuklah membantu UTM mencapai status Universiti Penyelidikan pada 2010 dan memulakan kerangka pendanaan universiti menerusi endowmen dan wakaf.
Pada 2011, saya merupakan salah seorang daripada tiga pensyarah universiti yang terpilih bertukar skim perkhidmatan kepada Pegawai Tadbir dan Diplomatik (PTD). Pada 2013, saya meninggalkan UTM menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) selama kira-kira tiga tahun. Pada 2016, saya dilantik sebagai KSU Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) selama dua tahun. Kemudian sebagai KSU Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), KSU Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), KSU Kementerian Kesihatan (KKM) dan kembali semula sebagai KSU KPT pada Februari 2024.
Bagaimana Datuk Seri melihat pembaharuan dalam sektor pendidikan tinggi apabila terlibat secara langsung sejak awal kerjaya?
Saya mengambil pendekatan proaktif untuk memperihalkan perkembangan pendidikan tinggi Malaysia. Pada dekad 1960-an dan 1970-an, sektor pendidikan mula berkembang pantas menerusi pembinaan institusi baharu (USM dan UKM) dan naik taraf pelbagai institusi bertaraf kolej (UTM, UPM dan ITM). Fokusnya ialah pendidikan peringkat diploma dan sarjana muda. Pada dekad 1980-an, lebih banyak universiti dibina (UIAM, UUM, UMS dan UNIMAS).
Pada dekad 1990-an, bermula era penubuhan universiti, kolej universiti swasta di Malaysia. Pada masa sama, universiti awam terus berkembang menerusi program pasca siswazah. Ketika itu juga bermula program Pengantarabangsaan Pendidikan Yinggi Malaysia. Pada awalnya, hanya UIAM sahaja yang memberi peluang pendidikan tinggi kepada pensyarah dan pelajar antarabangsa. Sebab itulah UIAM ditubuhkan sebagai universiti antarabangsa tanpa terikat kepada Akta Universiti dan Universiti Kolej 1971.
Pada 2014, saya bersyukur kerana diberi kepercayaan sebagai pengerusi jawatankuasa pemandu untuk mengubal dasar dan pelan pendidikan tinggi 2015-2025. Alhamdulillah, pada 2024, saya sekali lagi diberi peluang sebagai pengerusi jawatankuasa pemandu untuk Pelan Pendidikan Tinggi 2025-2035.
Antara pembaharuan yang ketara ialah unbundling higher education daripada sistem yang sangat terikat dengan struktur akademik kepada sistem yang lebih fleksibel dan mesra penuntut ilmu. Pembaharuan ini termasuklah membuka sektor pendidikan tinggi kepada non-formal learners. Pendidikan tinggi perlu bersifat lebih terbuka, tidak terlalu cepat menumpu kepada pengkhususan pada peringkat awal pengajian, tidak terlalu rigid dari segi kurikulum dan tarikh untuk memulakan pengajian di universiti. Idealnya penuntut ilmu boleh melanjutkan pengajian di universiti pada bila-bila masa secara bersemuka atau maya.
Selain itu, kredit pengajian lebih mudah dipindahkan dari kursus yang diiktiraf secara dalam talian atau bersemuka dari institusi pengajian termasuk bidang kemahiran ke universiti lain. Konsep ini bukan hanya dikembangkan di universiti tempatan sahaja. Penuntut ilmu juga boleh belajar di mana-mana universiti luar negara secara dalam talian atau secara bersemuka, walaupun hanya satu mata pelajaran. Begitu juga sebaliknya, para penuntut dari luar negara boleh mengikuti pengajian di mana-mana universiti tempatan.
Tidak mengganggu universiti kalau boleh masuk universiti ‘sesuka hati’?
Tidak. Sebaliknya ekosistem universiti menjadi lebih meriah dari segi perkembangan ilmu. Hal ini sudah mula dilaksanakan di kebanyakan universiti ternama dunia sejak lebih 10 tahun lalu. Perkara ini nampaknya semakin berkembang kerana pelajar sekarang lebih mobile sifatnya.
Mereka juga mudah mengikuti pelbagai kuliah dan kursus menggunakan pelbagai gajet canggih atau pergi ke sesebuah universiti di luar negara menggunakan penerbangan tambang murah. Selain itu, terdapat juga universiti yang menubuhkan kluster dalam sesuatu disiplin ilmu bagi memudahkan pergerakan dan kerjasama melibatkan pensyarah dan pelajar dalam bidang pengajaran, pembelajaran serta penyelidikan.
Maksudnya pelajar tidak terhad belajar di sesebuah universiti?
Betul. Jika diperluaskan skop unbundling higher education, pengajian tinggi tidak hanya terhad kepada pengajian formal di sesebuah universiti dalam sesuatu tempoh masa. Pelajar boleh belajar menggunakan pendekatan pengalaman kerja yang dicerakinkan dalam bentuk ilmu pengetahuan dan kemahiran. Apabila tiba pada suatu tahap, ilmu pengetahuan dan pengalaman tersebut boleh disetarakan dalam bentuk kredit pengajian. Inilah yang terkandung dalam kerangka Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL) yang dikendalikan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA).
Sebagai contoh, APEL-A (akses) khusus untuk calon mengikuti pengajian tinggi tahap berikutnya. Selain itu, ada juga APEL-C (pemindahan kredit).
APEL-Q (kelayakan) untuk melayakkan seseorang yang tidak mempunyai kelayakan akademik asas mengikuti pengajian, misalnya tanpa ijazah sarjana muda seseorang calon layak mengikuti pengajian peringkat sarjana menggunakan kesetaraan pengalaman kerja.
APEL.M (microcredential) pula merujuk kepada kursus-kursus pendek yang disetarakan menjadi kredit sehingga akhirnya boleh dijumlahkan dengan kredit di sesebuah universiti sehingga bergraduat.
Terkini, MQA akan memperkenalkan APEL.S (kredit kemahiran). Contohnya, seorang anggota tentera bekerja selama 20 tahun dengan Angkatan Tentera Malaysia. Katalah dia sebagai jurufoto dan kelayakan awalnya hanya Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Menerusi APEL-S, pengalaman dan pelbagai kursus sepanjang berkhidmat 20 tahun misalnya, boleh disetarakan dengan jumlah kredit tertentu sehingga akhirnya boleh dianugerahkan diploma oleh universiti berkaitan. Kalau syarat bergraduat masih belum mencukupi, katalah perlu tambah dua mata pelajaran atau enam kredit lagi, maka calon perlu lulus mata pelajaran tersebut di universiti berkaitan.
Bermaksud pengalaman kerjaya boleh disetarakan dengan kredit dalam sesuatu bidang pengajian?
Betul. Ini termasuk dalam kerangka APEL.
Adakah KPT akan mengarahkan universiti dan institusi pendidikan tinggi merombak mana-mana kursus yang tidak lagi relevan?
AI (kecerdasan buatan)merupakan nilai tambah. Perlu difahami penggunaan AI semakin meluas dalam segala bidang. Ini bermakna ada banyak cara kita boleh belajar, bahkan mengaplikasikan AI sepenuhnya. Sebagai contoh, untuk belajar sesuatu bahasa, kemudahan AI lebih mudah dan murah berbanding pengajaran bersemuka dengan pensyarah atau guru bahasa. Selain itu, terdapat bidang AI yang boleh dikuasai dengan mengikuti pengajian hanya dalam tempoh tiga minggu sahaja.
Universiti mana yang menawarkan kursus berkaitan AI?
Semua universiti ada menawarkan kursus AI, sama ada secara khusus atau secara integrasi dengan silibus sedia ada, termasuklah universiti swasta. AI juga boleh diaplikasikan dalam bidang pengajian Islam. Pihak universiti perlu lebih kreatif untuk merealisasikan perkara ini.
Sementara itu, dalam kepakaran bidang AI secara khusus, banyak universiti tempatan telah menawarkan pengajian pada peringkat sarjana muda, sarjana malah PhD.
Secara spesifik, UTM sebagai contoh, menubuhkan Fakulti Kecerdasan Buatan pada 2024. Namun, dari segi sejarah, UTM sudah memperkenalkan bidang itu sejak akhir dekad 1990-an menerusi penubuhan Pusat Kecerdasan Buatan dan Robotik (CAIRO). Perbezaan antara AI dahulu dengan sekarang ialah keupayaan komputer.
Ada kursus pengajian AI secara khusus?
Ya, sebahagian besar daripada pensyarah bidang sains komputer yang bergraduasi sejak 10 tahun kebelakangan ini memang dalam bidang data dan AI. Calon-calon boleh mengikuti pengajian sarjana dalam dan luar negara, atau PhD berkenaan topik AI.
Persoalannya bagaimana kita menggunakan AI untuk memajukan industri penerbitan, seperti akhbar supaya lebih berdaya saing dan mampu terus hidup dalam persekitaran media digital yang semakin mendominasi? Bagaimana strategi untuk menggunakan AI supaya persuratan Melayu lebih ke hadapan?
Kedudukan Malaysia dalam sektor pendidikan tinggi pada peringkat global?
Malaysia berada antara 15 negara utama di dunia yang menawarkan kemudahan dan perkhidmatan pendidikan tinggi. Beberapa indikator menunjukkan Malaysia berada dalam kalangan 10 negara utama dari segi jumlah pelajar antarabangsa. Dari segi kemasukan pelajar antarabangsa nampaknya semakin berkembang. Banyak universiti tempatan mempunyai lebih 1,000 orang, malah ada juga yang lebih 5,000 orang pelajar antarabangsa. Maknanya pendidikan tinggi sudah sinonim dengan Malaysia dalam kalangan calon pelajar antarabangsa.
Ketika ini lebih 130,000 yang merupakan jumlah tertinggi dalam kalangan negara di Asia Tenggara.
Ini menunjukkan mutu pendidikan tinggi di Malaysia diiktiraf di peringkat antarabangsa menerusi akreditasi MQA. Ramai pelajar yang berjaya memperoleh ijazah sarjana muda kelas pertama di Malaysia diterima terus mengikuti pengajian PhD di universiti-universiti terkenal dunia termasuk Cambridge, Oxford, Imperial College London dan sebagainya.
Bagaimana Datuk Seri melihat pengaliran bakat kita ke luar negara?
Kita perlu melihat perkara ini secara proaktif. Bagi saya, fenomena ini bukan pengaliran keluar bakat tempatan tetapi ialah lebihan bakat yang menunjukkan graduan Malaysia sangat terlatih, berdaya saing dan ‘laku’ di pasaran kerja sejagat.
Perlu difahami bakat profesional Malaysia dengan gaji kompetitif semakin diterima pada peringkat global. Ia ketara dalam syarikat petrokimia dan hospital di Timur Tengah. Begitu juga dalam beberapa bidang lain seperti operasi kereta api dan pembangunan hartanah di Arab Saudi.
Ini bermaksud penyumberluaran bakat adalah kebanggaan bukan kebimbangan?
Pemegang ijazah PhD di Malaysia lebih 70,000 ketika ini. Sasaran dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) 2015-2025 hanya 60,000 sahaja. Ini petanda rakyat Malaysia suka belajar dan mudah diajar. Pertambahan bakat berpendidikan dan berkemahiran tinggi perlu disalurkan sebaiknya bukan sahaja untuk pembangunan negara, bahkan untuk negara yang memerlukan.
30 tahun dahulu, kerjaya pemegang PhD biasanya hanya terbatas dalam bidang akademik dan penyelidikan. Daya saing kurang sebab permintaan jauh lebih tinggi dari penawaran. Namun demikian, ketika ini penawaran berlebihan. Maka persekitaran kerja menjadi lebih berdaya saing. Dan ramai pemegang PhD bekerja dalam pelbagai sektor. Limpahan bakat tempatan juga terdorong untuk bekerja di pelbagai negara dalam pelbagai bidang.
Adakah Malaysia akan kekurangan bakat?
Tidak. Memang kita kekurangan pekerja buruh dalam bidang pekerjaan 3D (sukar, kotor dan bahaya) dalam semua sektor terutamanya pembinaan dan perladangan. Tetapi kita tidak kekurangan bakat dalam bidang profesional dan semi-profesional yang terlatih menerusi institusi pendidikan dan kemahiran tinggi.
Dalam bidang kesihatan, misalnya, ekosistem pendidikan tinggi Malaysia sentiasa mengeluarkan bakat baharu dalam bidang perubatan, pergigian, farmasi dan lain-lain. Bahkan kadar pengeluaran tersebut melebihi permintaan tempatan. Semasa saya menjadi KSU Kementerian Kesihatan, lebih 5,000 orang doktor pelatih dalam senarai menunggu penempatan kerja kerana tiada kekosongan.
Apa perbezaan kita dengan negara lain? Banyak negara serantau yang mengatasi masalah untuk menghasilkan bakat tempatan kerana kekangan di institusi pengajian tinggi. Bahkan dari segi kelayakan mungkin tidak diiktiraf di kebanyakan negara luar.
Saya ingin tegaskan institusi pengajian tinggi tempatan mampu untuk menyediakan bakat dalam pelbagai bidang strategik, termasuklah untuk negara luar. Mereka perlukan doktor, jurutera, akauntan, jururawat, pakar IT, juruterbang, pensyarah dan sebagainya.
Landskap kerjaya semakin melebar dan meluas. Kita tidak sepatutnya terikat kepada sesuatu lokasi dan sesebuah organisasi sahaja untuk berperanan dalam dunia pasca normal. Fenomena intellectual nomads semakin ketara, di mana ada peluang maka di situ ada kesempatan terbaik!
Berdasarkan pengalaman terutama dalam penggubalan dasar-dasar kerajaan, ada sesetengah berpendapat kita hanya tahu buat dasar tetapi tidak begitu berjaya untuk melaksanakannya. Komen?
Jarang ada dasar atau pelan perancangan yang berjaya dilaksanakan sepenuhnya. Dasar dan pelan sekadar panduan. Sebagai contoh, kita menyediakan pelan untuk menuju ke sesuatu tempat. Dalam perjalanan itu, kita melencong sedikit untuk berehat sekejap. Ada ketikanya kereta rosak, atau jalan ditutup untuk kerja penyelenggaraan. Semua itu adalah perjalanan untuk melaksanakan sesuatu perancangan. Ini harus difahami bagi memudahkan perlaksanaan sesuatu tanggungjawab, sekali gus mematangkan kehidupan.
Contohnya pada peringkat antarabangsa, banyak perjanjian dan garis panduan diputuskan secara multilateral menerusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) misalnya Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) dan Perjanjian Paris 2015. Memang hampir semua negara anggota PBB bersetuju dengan SDG dan kerangka mitigasi perubahan iklim. Tetapi apakah semua yang dimeterai dilaksanakan sepenuhnya oleh semua negara? Kalau dapat laksanakan 50 peratus pun, alhamdulillah sebelum 2050.
Demikian juga dasar dan pelan pembangunan sesebuah negara. Sebab itu kajian semula dilaksanakan setiap hujung tahun, atau separuh penggal supaya kemajuan dapat dipercepatkan atau sekurang-kurangnya pendekatan lain digunakan.
Cabaran sepanjang 30 tahun?
Yang paling indah ialah perkhidmatan awam sentiasa menapak maju. Kita jangan terleka sehingga tidak sedar Malaysia sudah jauh menapak. Dalam bidang pendidikan tinggi misalnya kita menjadi ikutan banyak negara termasuk negara maju. Graduan Malaysia diiktiraf di seluruh dunia sama ada dalam industri atau akademik.
Kita juga harus faham sesebuah negara itu akan lebih maju ke hadapan kalau perkhidmatan awam tidak terlalu dipengaruhi oleh polemik dan retorik.
Memang banyak cabaran tetapi kita terus mara ke hadapan.
Sebagai pakar dalam alam sekitar, bagaimana Datuk Seri melihat ancaman Malaysia dalam menghadapi perubahan iklim dan cabaran untuk menghadapinya?
Kefahaman juga perlu beralih daripada perspektif setempat kepada planet. Maknanya apa sahaja yang berlaku di tempat lain seperti kebakaran hutan atau pelepasan gas karbon berlebihan maka kesannya bersifat sejagat. Dengan erti kata lain, pelestarian alam sekitar adalah tanggungjawab bersama. Saya berharap kesihatan planet dan pelestarian menjadi komponen penting dalam penyediaan Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Semua pihak perlu terlibat secara proaktif. Jangan terlalu asyik mencari alasan. Dari hal yang sekecil-kecil sehingga sebesar-besarnya akan memberi kesan kepada alam sekitar. Sebab itu, saya menganjurkan aktiviti yang tampak kecil seperti kutip sampah sambil riadah (KUDAH). Jika nampak sampah di jalanan, bukannya asyik mempersoalkan tugas siapa dan oleh siapa, tetapi segera bertindak mengutip sampah.
Tindakan besar melibatkan komitmen kita. Sebab itu, buku-buku yang saya tulis lebih kepada pendekatan holistik. Saya selalu gunakan frasa ‘eco-shift’. Jadilah eco-shifter. Shift itu anjakan dan kita mesti beranjak ke hadapan. Berfikiran positif itu sangat penting kerana apabila ada masalah, maknanya kita ada peluang untuk turut serta menyelesaikan masalah. Kalau tiada masalah, maka kita tiada peluang untuk menangani masalah.
Ulasan
Catat Ulasan