‘Beras Kedah’ bakal dikeluarkan penghujung 2026


‘Beras Kedah’ bakal dikeluarkan penghujung 2026
February 25, 2025

ALOR SETAR: Kedah bakal mengeluarkan produk berasnya sendiri berjenama Beras Kedah yang dijangka pada hujung 2026 akan datang.

Usaha itu bukan sahaja bertujuan untuk membantu orang ramai terutama rakyat Kedah mendapatkan bekalan beras dengan harga lebih rendah berbanding di pasaran.

Malah, sebagai usaha menampung keperluan rakyat berikutan kekurangan beras tempatan di pasaran ketika ini.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan, Pengangkutan, Dzowahir Ab Ghani, proses penilaian ke atas benih padi yang akan digunakan bagi pengeluaran Beras Kedah sedang dilakukan di sawah seluas 20 hektar di Tobiar, Pendang.

Kajian tersebut katanya, untuk memastikan benih padi berkenaan dapat digunakan oleh petani di seluruh Kedah.

Manakala benih sedia ada, dari varieti MR297 sudah terlalu lama dan tidak sesuai lagi digunakan.

Usaha kerajaan negeri mengeluarkan berasnya sendiri, telahpun diumumkan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, pada sidang medianya, sebelum ini.

Ujian benih padi baharu itu, dilakukan dengan pembabitan beberapa agensi berkaitan, pihak universiti dan pemain industri pertanian sendiri.

Namun begitu, kerja-kerja penananam benih padi baharu ini memerlukan tempoh antara empat ke lima bulan sebelum dapat dilihat hasilnya.

Kedah antara negeri pengeluar beras terbesar negara dan menyumbang hingga 43 peratus keperluan rakyat Malaysia.

Sungguhpun begitu, kehidupan pesawah masih lagi di takuk bawah dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai kos, sedangkan harga beras melambung tinggi.

Rata-rata petani menuntut agar harga padi dinaikkan daripada RM1,300 pertan metrik ke RM1,800 pertan metrik.

Tetapi harapan mereka tidak kesampaian apabila kerajaan mengumumkan kenaikan RM1,500 pertan metrik yang kurang RM300 daripada sasaran mereka.

Justeru usaha kerajaan negeri untuk mengeluarkan produk beras sendiri, dilihat bukan sahaja membantu golongan pengguna, sebaliknya dapat membantu golongan petani itu sendiri.

Dalam perkembangan lain, pesawah yang memiliki tanah sendiri juga digalakkan mengusahakan mangga Harumanis Kedah sebagai tanaman sampingan bagi menambah pendapatan.

Produk Harumanis Kedah kini mendapat permintaan tinggi namun bekalannya tidak dapat menampung keperluan permintaan. – HARAKAHDAILY 25/2/2025

Ulasan