Garis panduan umat Islam: KJ pertahan Mohd Na'im


Garis panduan umat Islam: KJ pertahan Mohd Na'im

14 Februari 2025 09:23pm
Masa membaca: 2 minit

SHAH ALAM - Bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin mempertahankan kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkenaan garis panduan penyertaan orang Islam dalam perayaan dan pengebumian orang bukan Islam.

Malah beliau turut menyifatkan Mohd Na'im sebagai 'mangsa keadaan' ekoran cuba mencadangkan semakan garis panduan sedia ada sehingga menimbulkan pertikaian dan kekeliruan.

"Saya sedih sebab isu ini meletup dengan kurang empati daripada semua pihak.

"Kalau saya di peringkat menteri dan ditanya soalan (di Dewan Rakyat), saya akan rujuk kepada satu keputusan Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 12 April 2005, iaitu garis panduan orang Islam turut merayakan hari kebesaran agama orang bukan Islam.


"Memang sudah ada (garis panduan), sudah wujud 20 tahun lalu dan kita harap tidak ada kekeliruan umat Islam, boleh rujuk kepada garis panduan ini yang bukannya undang-undang," katanya menerusi audio siar 'Keluar Sekejap'.

Sebelum ini Mohd Na'im menerusi jawapan bertulis yang dimuat naik di laman sesawang Parlimen memaklumkan, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sedang memuktamadkan satu garis panduan mengenai penglibatan orang Islam dalam sambutan perayaan agama lain.

Menurutnya, garis panduan itu merangkumi penglibatan orang Islam dalam majlis sambutan perayaan dan upacara kematian orang bukan Islam serta kunjungan dan penganjuran majlis di rumah ibadat bukan Islam.

Susulan itu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilapor berpendirian, tiada keperluan untuk menetapkan garis panduan mengenai pembabitan umat Islam ke majlis atau upacara di rumah ibadat bukan Islam.

Beliau berkata, umat Islam sebaliknya hanya perlu menjaga akidah dan mematuhi peraturan agama yang sudah ditetapkan.

Dalam pada itu Khairy yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan menegaskan, garis panduan tersebut hanyalah pendapat dan bukan dasar atau undang-undang yang perlu dipatuhi oleh orang ramai.

Beliau turut meluahkan rasa 'tidak selesa' dengan tanggapan bahawa garis panduan itu tidak sepatutnya wujud.

"Ada yang kata tak perlu ada garis panduan sebab orang Islam tahu apa yang perlu dilakukan, tetapi adakah salah untuk mempunyai garis panduan supaya ia jelas?

"Saya tidak selesa dengan pandangan tersebut, adakah (haris panduan) itu salah," ujarnya.

Ulasan