Hampir 30 peratus murid tahun satu gagal kuasai 3M, tahun lalu


Berita
Hampir 30 peratus murid tahun satu gagal kuasai 3M, tahun lalu
Diterbitkan: Feb 24, 2025 3:02 PM
Dikemaskini: 3:02 PM

PARLIMEN l Dewan Rakyat hari ini dimaklumkan bahawa hampir 30 peratus daripada 122,062 orang murid tahun 1 yang melalui saringan Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi didapati gagal menguasai kemahiran asas membaca, menulis, dan mengira (3M).

Bagaimanapun Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, selepas mengikuti program intervensi di bawah Kementerian Pendidikan sepanjang tahun lalu, seramai 72,385 murid berjaya menguasai 3M.

“Kementerian Pendidikan telah melaksanakan Program Intervensi Fasa 1 dari bulan Julai hingga September 2024. Hasilnya, 39.58 peratus atau 48,308 murid berjaya menguasai kemahiran asas 3M, manakala baki 60.42 peratus atau 73,754 murid meneruskan intervensi dalam Fasa 2.

“Pada masa ini KPM hendak menyatakan bahawa melalui intervensi dalam Fasa 2 yang dilaksanakan dari Oktober hingga Disember 2024, sehingga 31 Januari 2025, data menunjukkan bahawa 32.65 peratus atau 24,077 murid daripada baki tersebut telah berjaya menguasai asas 3M.

“Bagi murid yang masih belum menguasai kemahiran ini, mereka akan mengikuti Program Pemulihan Khas di Tahun 2,” katanya pada sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Wong menjawab soalan Ahmad Yahaya (PN-Pokok Sena) mengenai perkembangan dan cabaran utama dalam program intervensi pemulihan khas penguasaan asas 3M.

Untuk rekod, Pengesanan Awal Literasi dan Numerasi bagi murid Tahun 1 dijalankan selepas tiga bulan sesi persekolahan bagi mengenal pasti murid yang masih belum menguasai kemahiran asas asas 3M.

Mengulas lanjut, Wong berkata, KPM turut menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Program Anak Kita (3M) yang diterajui oleh Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah.

Jelasnya, program itu melibatkan 1,288 sekolah dengan penyertaan 53,252 murid.

Wong turut memaklumkan bahawa bagi Kurikulum Prasekolah 2026 dan Kurikulum Persekolahan 2027, KPM telah mengambil satu pendekatan untuk memberikan tumpuan khusus kepada literasi dan numerasi bagi murid Tahap 1.

Ulasan