
Harga kelengkapan sekolah mahal, MCA saran Fuziah kerap turun padang
17 Februari 2025 06:34pm
Masa membaca: 2 minit
SHAH ALAM - Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Dr Fuziah Salleh disaran agar lebih kerap turun padang untuk bertemu dengan rakyat bagi melihat sendiri permasalahan yang dihadapi mereka termasuk isu kos kelengkapan sekolah yang semakin tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar Awam dan Penyelidikan Kos Sara Hidup Rakyat MCA, Datuk Dr Monna Ong berkata, program rundingan atau dialog antara pimpinan kerajaan dan pihak berkepentingan juga wajar diadakan bagi membolehkan suara rakyat didengari sebelum sesuatu dasar dilaksanakan.
"Pengakuan Fuziah bahawa beliau terkejut kos keperluan peralatan sekolah mencecah RM200 dilihat bukti kegagalan Timbalan Menteri untuk menjaga kepentingan dan hak rakyat berkenaan dengan isu kos sara hidup.
"Sebenarnya, kos RM200 bagi peralatan asas sekolah bukanlah isu yang baharu dan kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu telah melancarkan beberapa program bantuan yang seiring dengan keperluan rakyat iaitu bantuan persekolahan kepada setiap pelajar sekolah rendah dan menengah yang kini diteruskan oleh kerajaan hari ini," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Pada Ahad, Dr Fuziah dilapor terkejut dengan kos yang terpaksa ditanggung ibu bapa untuk membeli keperluan peralatan sekolah termasuk pakaian yang mencecah lebih RM200 untuk seorang anak.
Beliau yang membuat tinjauan di sebuah pasar raya di daerah Putatan berkata, sepatutnya pasar raya menyusun jadual Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) untuk diadakan pada hari terakhir sebelum sesi persekolahan bermula pada Isnin.
Sementara itu, Monna berpandangan, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab menyediakan peralatan sekolah pada harga murah sepenuhnya di bahu pasar raya dan pihak swasta.
“Dengan kenaikan kadar Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) daripada enam peratus kepada lapan peratus, ia akan menambah beban kepada peniaga dan pengguna.
“Teguran Dr Fuziah kepada pasar raya yang tidak melaksanakan Program Jualan Rahmah Madani (PJRM) ‘Back to School’ juga dilihat seolah-olah mahu melepaskan tanggungjawab,” ujarnya.
Tambahnya, pengakuan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu membuktikan kegagalan beliau untuk menjaga kepentingan dan hak berkaitan isu kos sara hidup rakyat.
“Kenyataan Dr Fuziah turut menjejaskan keyakinan rakyat terhadap kerajaan kerana ia menunjukkan pemimpin-pemimpin negara tidak memahami denyut nadi pelbagai lapisan masyarakat.
“Akibatnya, kerajaan dilihat gagal merangka dasar dan program yang benar-benar memenuhi keperluan golongan yang memerlukan,” kata beliau.
Ulasan
Catat Ulasan