Insiden lori mengundur: ‘Saya ada pengalaman, pukul 2 pagi’
February 25, 2025
Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin
KUALA LUMPUR: Isu lori berat yang sering tersadai di laluan berbukit terus menimbulkan kesulitan kepada penduduk setempat, termasuk pelajar sekolah yang terpaksa belajar di restoran berhampiran akibat gangguan perjalanan.
Sehubungan itu, Ir. Ts. Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut), menggesa kerajaan untuk mempercepatkan projek pembaikan jalan yang dijadualkan siap pada Disember 2026 itu.
Menurutnya, kelewatan itu akan terus menyebabkan insiden lori mengundur dan terkandas, sekali gus menjejaskan keselamatan pengguna jalan raya.
“Saya sendiri ada pengalaman tahun lepas pukul 2 pagi saya balik daripada parlimen berhadapan dengan kes yang sama, terpaksa berhenti menghadap dengan rakyat saya yang terkandas kerana lori ini tak boleh naik ke jalan tersebut,” katanya.
Beliau turut mempersoalkan keutamaan yang diberikan kerajaan terhadap projek ini, memandangkan keadaan semasa yang sudah membahayakan pengguna jalan.
“Kemalangan akan tetap berlaku bezanya Yang Berhormat Timbalan Menteri tidak ada kematian lagi. Apakah kita menunggu kematian untuk kita percepatkan. Jadi saya mohon supaya projek ini dipercepatkan,” katanya.
Selain itu, beliau mencadangkan supaya pihak Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bekerjasama dalam memberikan panduan khusus kepada pemandu lori berat yang melalui laluan tersebut bagi mengurangkan risiko kemalangan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan yang menjawab soalan itu berkata, projek menaik taraf jalan tersebut telah diluluskan selepas permohonan dibuat oleh Kerajaan Negeri Pahang.
Beliau berkata, kerja-kerja menaikkan aras jalan bertujuan mengurangkan risiko banjir di kawasan itu, sekali gus mengurangkan kecuraman bukit yang menjadi punca utama lori terkandas.
Dalam soalan asal, Khairil minta Menteri Kerja Raya menyatakan adakah Kementerian bersedia mempertimbangkan untuk menaik taraf jalan seperti menarah bukit agar dapat mengurangkan kecuraman lereng Jalan Persekutuan FT234 Jalan Jerantut-Lipis yang terlalu tinggi khususnya di Bukit Mentimun dan Bukit Atap yang sering menyebabkan kenderaan berat terkandas sekali gus menghalang laluan. – HARAKAHDAILY 25/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan