
Islam jamin lindung kebebasan agama, tangani pelampau
February 18, 2025
KUALA LUMPUR: Penetapan Islam sebagai agama Persekutuan dalam Perlembagaan Malaysia bertujuan untuk memastikan keadilan dan kebebasan beragama bagi semua rakyat, tanpa mengira kepercayaan mereka.
Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang (PN-Marang) menjelaskan, istilah ‘Islam’ dalam konteks itu harus difahami sebagai ‘ad-Din’, yang merangkumi semua aspek kehidupan, berbeza dengan takrif ‘religion’ atau ‘agama’ dalam bahasa lain.
Menurut Presiden PAS itu, tafsiran tersebut bagi memastikan bahawa Islam dapat menangani isu-isu dalam masyarakat majmuk yang tidak terdapat dalam agama lain.
“Islam menjamin keselamatan, kebebasan hak penganut-penganut agama lain. Disebut dalam kitab Tafsir Quran beberapa ayat, antara Firman Allah Taala, “Kalau Allah tidak menjadikan kumpulan Islam itu berkuasa (memerintah melaksanakan Islam yang sempurna), nescaya diroboh rumah-rumah ibadat berbagai agama, kuil Yahudi, gereja kristian, masjid-masjid, tempat-tempat sembahyang”.
“Dalam sejarah sering kali bila satu agama berkuasa (akan) menekan agama lain. Islam mengharamkan paksa terhadap agama lain. Konsep tiada paksaan dalam agama diamalkan. Kerana Islam mesti reda dengan hati yang ikhlas,” ujarnya.
Tuan Guru mengemukakan perkara tersebut semasa mengambil bahagian berucap pada Perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat, Parlimen, di sini hari ini.
Beliau juga mengingatkan umat Islam agar tidak memaki tuhan-tuhan orang bukan-Islam, kerana tindakan sedemikian boleh menyebabkan mereka memaki Allah secara melampau, mencetuskan salah faham.
“Allah Taala tidak melarang kamu berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang berbeza agama dengan kamu, selagi mereka tidak bermusuh dan tidak menghalau kamu dari tanah air kamu,” ujar membaca petikan ayat al-Quran yang menggalakkan hubungan harmoni antara umat Islam dan penganut agama lain.
Tuan Guru juga menegaskan bahawa Islam mendahulukan perdamaian, walaupun di tengah-tengah peperangan.
“Jika mereka cenderung mahu perang. Tengah perang mereka nak damai, (maka kena) damai. Bertawakal kepada Allah walaupun tengah perang, perdamaian diutamakan. Ini satu prinsip yang diamal yang wajib ditunaikan. Orang Islam menceroboh melanggar prinsip ini wajib dihukum orang Islam itu,” terang Tuan Guru.
Tuan Guru turut mengkritik kuasa besar dan penjajah yang sering melanggar undang-undang antarabangsa, menyifatkannya seperti ‘sarang labah-labah’ yang rapuh.
Beliau menegaskan bahawa orang Islam yang melanggar peraturan itu bukan sahaja berdosa dari segi undang-undang, tetapi juga akan menerima balasan selepas meninggal dunia. – HARAKAHDAILY 18/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan