'Ismanira tak nampak risau, lapor Zayn Rayyan hilang selepas 5 jam' - Saksi


'Ismanira tak nampak risau, lapor Zayn Rayyan hilang selepas 5 jam' - Saksi

04 Februari 2025 09:39pm
Masa membaca: 3 minit

Ibu bapa Zayn Rayyan Abdul Matin, Zaim Ikhwan Zahari (belakang) bersama Ismanira Abdul Manaf (kiri) ketika tiba di Mahkamah Petaling Jaya hari ini. Foto Bernama

PETALING JAYA – Saksi pendakwaan ketiga dalam perbicaraan pengabaian Zayn Rayyan Abdul Matin memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa bahawa, air muka ibu kepada kanak-kanak autism itu, tidak menunjukkan tanda kerisauan.

Anggota dari Balai Polis Sri Damansara, Koperal Nurul Khairina Mohammad Zuki, juga memaklumkan, Ismanira Abdul Manaf, 30, membuat laporan polis, lima jam selepas anak sulungnya itu dilaporkan hilang.


Nurul Khairina, 35, berkata demikian dalam prosiding perbicaraan hari kedua, di hadapan Hakim, Dr Syahliza Warnoh.

Semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya, Kamarul Iman Ahmad Sapian, saksi ini berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita dikenali sebagai Ismanira.

Menurutnya, wanita itu selaku pengadu membuat laporan mengenai kehilangan seorang kanak-kanak orang kurang Upaya (OKU), pada jam 5.45 petang, 5 Disember 2023.

"Dalam laporan, pengadu menyatakan ketika menaiki tangga ke Blok R Apartmen Idaman pada jam 12 tengah hari, dia menyedari kanak-kanak itu tidak berada di belakangnya.


"Pengadu juga memberitahu, anaknya seorang OKU dan tidak boleh bertutur, telah memberontak kerana tidak ikut kemahuan," kata Nurul Khairina.

Sementara ketika disoal peguam, Haresh Mahadevan yang mewakili kedua ibu bapa Zayn Rayyan, saksi ini berkata, pengadu memberitahu telah mencari anaknya yang hilang bersama jiran sebelum membuat laporan polis.



Peguam: Saya cadangkan, pengadu beritahu anda, dia sedang memikul beg anaknya di belakang, sambil memegang beg tangan dan barang dari pasar raya di kedua-dua belah tangannya, untuk masak tengah hari bagi kanak-kanak yang hilang itu.

Nurul Khairina: Tidak setuju.

Peguam: Saya cadangkan balai polis ada menerima panggilan pada jam 12 tengah hari pada hari itu berkaitan kehilangan kanak-kanak.

Nurul Khairina: Tidak tahu.

Peguam: Saya cadangkan kepada kamu, air muka pengadu semasa kejadian, berada dalam kerisauan.

Nurul Khairina: Tidak.

Peguam: Jadi dia nampak gembira, melompat-lompat?

Nurul Khairina: Tidak, dia seperti pengadu lain yang datang ke balai.

Peguam: Saya cadangkan pengadu memaparkan muka yang amat kerisauan.

Nurul Khairina: Tidak setuju.

Pada 13 Jun tahun lalu, pasangan suami isteri itu, mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan, bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap anak mereka, Zayn Rayyan, 6, telah mengabaikannya dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan didakwa dilakukan di sekitar jalan PJU Damansara Damai di sini pada jam 12 tengah hari, 5 Disember 2023 hingga keesokannya, jam 9.55 malam.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum bawah Seksyen 31(1) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 6 Disember 2023, Zayn Rayyan ditemukan meninggal dunia di anak sungai, berhampiran kawasan Apartmen Idaman, Damansara Damai pada jam 10 malam.

Mangsa sebelum ini dilaporkan hilang, sebelum ditemui terbaring, dengan jarak kira-kira 200meter dari blok kediamannya.

Perbicaraan bersambung Rabu.

Ulasan