Jadikan semua lorong kecemasan smart lane sepanjang masa
Oleh Mohamad Azlan Jaafar
24 Februari 2025, 6:40 am
SETIAP kali musim perayaan, perkara sama berlaku. Kesesakan di lebuh raya mencapai tahap maksimum. Contoh terbaik semasa perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini.
Pihak berkuasa menjangkakan 2.2 juta kenderaan menggunakan Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), 198,000 (Lebuhraya KL-Karak), 82,000 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1), 48,000 (Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2) dan 120,000 menggunakan Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE).
Secara keseluruhan, kira-kira 2.6 juta kenderaan bergerak di semua lebuh raya utama di seluruh negara. Dalam tempoh kira-kira sebulan dari sekarang, perkara sama akan berlaku untuk sambutan Aidilfitri.
Kesesakan tidak dapat dielakkan. Orang Malaysia suka beli kereta. Tahun lalu saja, jualan kereta baru mencapai paras tertinggi dalam sejarah (orang masih mengadu kos sara hidup tinggi?) dengan 816,474 unit kenderaan terjual, berdasarkan perangkaan Persatuan Automotif Malaysia (MAA).
Itu tidak termasuk kenderaan komersial, motosikal selain kenderaan dibeli daripada peniaga dengan permit import. Tiada siapa tahu jumlah kenderaan second hand yang bertukar tangan. Semua ini menyumbang kepada kesesakan di lebuh raya.
Ketika perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) mengarahkan syarikat konsesi lebuh raya tidak menutup sebarang lorong, mengaktifan smart lane di 25 lokasi sangat sesak di PLUS, menambah baik pengurusan trafi k di plaza tol dan persimpangan, dan pengaktifan laluan tidal.
Langkah itu berjaya mempercepatkan pergerakan kenderaan serta mengurangkan tempoh perjalanan. Tahniah semua pemegang konsesi.
Cuma satu masalah ketara ialah pengguna kereta terus menggunakan lorong kecemasan di kawasan bukan ditetapkan sebagai smart lane di lebuh raya PLUS. Ada yang langsung tidak peduli mengenai smart lane atau tidak smart lane. Semua lane jadi smart.
Kita harus menerima hakikat, Lebuhraya Utara Selatan yang dilancarkan pada 1981 ketika ramai Gen Z masih belum lahir, tidak lagi mampu menanggung jumlah kereta yang ada hari ini. Ia tidak pernah dibina untuk jumlah 2.2 juta kenderaan.
Adalah mustahil pemegang konsesi PLUS menambah satu lagi laluan sepanjang lebih 750 kilometer. Ada lebuh raya baharu yang dicadangkan mencapai kos RM90 juta untuk setiap kilo meter.
Lebuhraya Utara Selatan dikatakan menelan belanja RM8.8 bilion. Jika ia dibina hari ini, lebuh raya itu akan menelan belanja RM63 bilion. Penulis percaya pemilik PLUS menikmati pulangan besar seperti kilang mencetak wang dengan jumlah kenderaan menggunakan lebuh raya itu.
Jika tiada laluan baharu, pihak berkuasa harus menjadikan semua laluan kecemasan sebagai laluan smart lane. Lebuhraya PLUS tidak mampu lagi menanggung jumlah kenderaan.
Pengguna juga tidak peduli lorong kecemasan atau tidak ketika kesesakan melampau. Lorong kecemasan sedia ada bukan eksklusif kepada mana-mana pengguna. Pada kebanyakan masa, laluan itu satu pembaziran.
Pihak konsesi boleh membina kawasan kecemasan setiap 15 kilometer sebagai ganti. Pengguna tidak membayar tol hanya untuk berada dalam kereta selama lapan jam untuk perjalanan yang dapat dilakukan dalam separuh masa walaupun tidak memandu kereta lumba.
Mohamad Azlan Jaafar adalah Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan