Keluarga tahanan Sosma dakwa Saifuddin berbohong


Berita
Keluarga tahanan Sosma dakwa Saifuddin berbohong
Diterbitkan: Feb 24, 2025 8:00 PM

Keluarga tahanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 - atau lebih dikenali sebagai Sosma - yang ditahan di Penjara Sungai Buloh mendakwa Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berbohong apabila menafikan berlakunya kes penderaan terhadap 32 individu yang melakukan mogok lapar baru-baru ini.

Tampil dalam sidang media hari ini, seorang isteri tahanan terlibat yang mahu dikenali sebagai Prem Sri, 37, menegaskan dia sendiri melihat kesan kecederaan dialami suaminya akibat dipukul.

“Jadi apabila menteri menafikan perkara tersebut, saya rasa itu bohong.

“Saya melawat suami pada 16 Feb dan diberitahu memang dia dipukul, ditendang dan dirotan pegawai penjara pada 12 Feb.

“Dia juga tunjuk kesan luka dan kesan lebam, serta mengadu rasa sakit semasa kencing.

"Apabila menteri nafi dia dipukul kami rasa sangat sedih dan sangat berharap siasatan dapat dijalankan dengan adil,” katanya.

Prem Sri juga berharap Saifuddin dapat menarik balik kenyataan dibuatnya sebelum ini.

Sidang media itu diadakan di pejabat Lawyers for Liberty (LFL) di Petaling Jaya, Selangor dan turut dihadiri empat wakil keluarga tahanan terlibat.
Prem Sri (tiga dari kiri) bersama Latheefa (kiri), Surendran (tengah) semasa sidang media di pejabat LFL di Petaling Jaya hari ini

Pada 13 Feb lalu Saifuddin menafikan dakwaan tahanan di bawah Sosma telah dipukul di Penjara Sungai Buloh.

"Semalam berita ini tular dan saya juga menerima banyak pertanyaan. Langkah pertama saya, segera menghubungi Ketua Pengarah Jabatan Penjara Malaysia untuk segera membuat peperiksaan dan kembali melaporkan kepada saya.

"Saya telah menerima laporan penuh itu dan insiden memukul itu tak berlaku," katanya.

Tiga tuntutan LFL

Namun, Saifuddin berjanji pihak polis akan tetap menjalankan siasatan terhadap dakwaan tersebut.

"Isterinya mengatakan ada kejadian itu, dia dah buat laporan, kita tak ada apa yang nak sembunyikan. Kalau laporan polis dah dibuat, tugas polis adalah menjalankan siasatan," kata menteri terbabit.

Sementara itu Peguam LFL, N Surendran, hari ini menegaskan pihaknya mempunyai tiga tuntutan terhadap pihak berkuasa dalam menangani kes berkenaan.

Pertama, katanya, semua pegawai penjara yang terlibat dalam kes terbabit perlu digantung tugas supaya siasatan boleh dijalankan dengan telus.

"Kedua, kami mahu kerajaan membentuk suruhanjaya siasatan diraja untuk meneliti secara terperinci dan menyeluruh kes ini.

"Ketiga, semua 32 tahanan Sosma terbabit perlu dibebaskan daripada tahanan dan sekiranya ada siasatan terhadap mereka, ia boleh dilakukan mengikut perundangan biasa," katanya.

Sementara itu peguam, Lathefaa Koya, berkata kes penderaan terhadap tahanan itu bukannya satu khabar angin, gosip atau kisah dari belakang tabir.

Justeru, soalnya, mengapa Saifuddin begitu cepat menteri membuat penafian dan mempertahankan pihak yang didakwa melakukan tindakan tersebut.

"Perkara ini sangat serius dah lebih 10 hari berlalu. Tiada berita kita dapat berkenaan tindakan diambil terhadap mana-aman pegawai yang melakukan perkara itu.

"Tiada satu berita mengesahkan perkara ini dan akan membuat siasatan. Ini Malaysia, apa yang sedang berlaku?" Soalnya yang turut mengingatkan betapa deritanya tahanan terpaksa menunggu sebelum mereka diadili.

Ulasan