
'Kilang e-waste sebesar 16 padang bola'
24 Februari 2025 08:00pm
Masa membaca: 2 minit
Gambar kiri: Salah sebuah kilang dipercayai memproses e-waste yang diserbu di Segamat, Johor pada Isnin. Gambar kanan: Antara warga asing yang diperiksa dalam serbuan kilang e-waste di Segamat, Johor pada Isnin.
SEGAMAT - Kilang disyaki memproses sampah elektronik (e-waste) dianggar berkeluasan 16 padang bola sepak di Jalan Buloh Kasap di sini, antara 10 kilang yang digempur pada Isnin.
Serbuan dijalankan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dengan kerjasama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hasil risikan selama tiga bulan.
Selain serbuan di Segamat, Johor, operasi secara serentak turut dilaksanakan ke atas dua kilang e-waste di Telok Panglima Garang di Selangor.
Tinjauan Sinar Harian semasa operasi di Segamat, mendapati terdapat premis kilang yang turut menempatkan beberapa blok asrama pekerja yang daif dan kotor.

Antara e-waste yang ditemui dalam serbuan kilang di sekitar Segamat, Johor pada Isnin.
Setiap bilik menempatkan katil dua tingkat selain alatan memasak yang berterabur selain terdapat sambungan wayar elektrik yang merisikokan nyawa.
Malah, ada antara warga asing yang cedera dipercayai terpijak serpihan e-waste ketika cuba melarikan diri daripada dicekup.
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Jafri Embok Taha berkata, serbuan bermula jam 9 pagi melibatkan 314 keanggotaan JIM dari setiap negeri di semenanjung bertindak memeriksa 753 individu.

Jafri (kanan) meneliti pasport milik warga asing yang ditahan bagi tujuan dokumentasi.
Katanya, secara keseluruhan 420 warga asing disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI) berusia lingkungan 20 hingga 30-an telah ditahan atas pelbagai kesalahan seperti tinggal lebih masa, tiada dokumen serta salah guna pas.
"Majoriti tangkapan warga asing ialah Bangladesh, Myanmar dan Nepal.
"Kesemua tangkapan ini dibawa ke Depot Imigresen Machap Umboo, Melaka serta Depot Imigresen Pekan Nenas, Johor," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi serbuan di sini pada Isnin.

Jabatan Imigresen Malaysia menahan 420 warga asing dalam serbuan premis di sekitar Segamat, Johor dan Telok Panglima Garang, Selangor pada Isnin.
Beliau berkata, selain itu, JIM turut menahan lima warga tempatan berusia lingkungan 30-an termasuk dua wanita disyaki berperanan bagi menguruskan warga asing terbabit.
Tegasnya, tindakan diambil mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Mengulas mengenai cabaran ketika serbuan dilaksanakan, Jafri berkata, terdapat cubaan warga asing melarikan diri, bersembunyi di timbunan e-waste serta terjun ke dalam longkang.
"Ini (Jalan Buloh Kasap) kilang paling besar seluas kira-kira 16 padang bola sepak membabitkan dua kilang," katanya.
Tambahnya, siasatan juga dijalankan sekiranya ada kesalahan berulang dilakukan membabitkan premis berkenaan.
Ulasan
Catat Ulasan