
Malaysia patut 'uji' keberkesanan kerja empat hari seminggu
Dr Muhammad Daaniyall Abd Rahman - Februari 17, 2025 @ 9:30am
AKHIR bulan lalu, lebih 200 syarikat di United Kingdom (UK) dilaporkan membuat keputusan beralih secara kekal bekerja empat hari seminggu tanpa sebarang pengurangan gaji.
Syarikat terbabit meliputi pelbagai sektor, termasuk agensi pemasaran, firma teknologi maklumat (IT) dan perundingan serta badan amal dengan jumlah pekerja melebihi 5,000 orang.
Laporan 4 Day Week Global mendapati model ini mampu meningkatkan pendapatan syarikat berjumlah 25 peratus dan mengurangkan pemberhentian pekerja sebanyak 32 peratus.
Selain itu, satu percubaan dijalankan di Iceland antara 2015 hingga 2019 membabitkan lebih 2,500 pekerja menunjukkan hasil hampir sama, iaitu produktiviti kekal atau meningkat di tempat kerja dan kesejahteraan pekerja bertambah baik.
Dalam konteks Malaysia, kerajaan sudah memperkenalkan garis panduan aturan kerja fleksibel pada 2024. Namun, ia masih baharu dan belum mencapai tahap pelaksanaan menyeluruh.
Oleh itu, adakah kerja empat hari seminggu sesuai dilaksanakan di Malaysia? Secara umum, model kerja empat hari seminggu mampu memberi manfaat besar kepada pekerja dan majikan.
Pekerja dapat menikmati lebih banyak masa bersama keluarga, rekreasi dan menjaga kesihatan mental. Ini berpotensi mengurangkan keletihan serta meningkatkan motivasi dan kecekapan semasa bekerja.
Bagaimanapun, perbincangan berkaitan model kerja empat hari seminggu perlu mengambil kira jumlah cuti umum dan perayaan dalam negara.
Jika dibandingkan dengan negara miliki produktiviti tinggi seperti Singapura, Jepun dan Korea Selatan, Malaysia masih berhadapan jumlah cuti umum serta perayaan yang tinggi.
Pusat Kajian Buruh Masa Hadapan (EU-ERA), THE FUTURE dalam kajian terhadap 101 negara, mendapati jumlah cuti umum perlu berada pada tahap tertentu supaya berpadanan dengan pencapaian produktiviti pekerja.
Saranan cuti umum 'optimal'
Kajian itu menyarankan kerajaan dan majikan mempertimbangkan kadar cuti umum 'optimal' untuk mendapatkan keseimbangan di antara jumlah masa rehat dan jam bekerja bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan.
Umum mungkin membayangkan kerja empat hari dicadangkan itu adalah dari Isnin hingga Khamis dan bercuti pada Jumaat hingga Ahad.
Pandangan ini masih bersifat konvensional yang aturan kerja ini bukan semata-mata bermakna tambahan satu hari bercuti. Konsep asasnya adalah mengurangkan jam bekerja tetapi tidak semestinya hari bekerja.
Terdapat pelbagai mekanisme lebih fleksibel boleh dilaksanakan, antaranya aturan masuk kerja jam 10 pagi dan pulang jam 4 petang atau cuti mana-mana hari antara Isnin hingga Jumaat bergantung keperluan syarikat dan pekerja.
Ia juga tidak semestinya dilaksanakan pada seluruh jabatan dalam syarikat pada satu-satu masa. Sebarang hasrat untuk melaksanakan model ini masih memerlukan perancangan sumber manusia lebih dinamik.
Aplikasi teknologi menggunakan sistem tertentu atau kecerdasan buatan (AI) antara langkah wajar dilaksanakan bagi memudah cara dan kaedah perancangan ini.
Sebagai langkah awal, Malaysia boleh mempertimbangkan projek rintis bagi menilai kesan kerja empat hari seminggu dalam pelbagai sektor pekerjaan. Kerjasama di antara kerajaan, syarikat swasta dan institusi penyelidikan boleh membantu mengenal pasti faktor kritikal untuk kejayaan model ini.
Selain itu, pemantauan dan kajian berkala perlu dilakukan bagi memahami sejauh mana impak pelaksanaan ini terhadap ekonomi dan kesejahteraan tenaga kerja negara.
Pihak berkepentingan, termasuk majikan dan kesatuan sekerja perlu diberi ruang menyuarakan pandangan mengenai keberkesanan model ini serta mencari jalan tengah dalam pelaksanaannya.
Kerajaan menerusi Kementerian Sumber Manusia disyor bertindak dengan proaktif untuk mengkaji kebolehlaksanaan aturan kerja empat hari seminggu, termasuk mendapatkan pandangan majikan dan pekerja.
Semakan semula kadar dan pelaksanaan cuti umum juga boleh dipertimbangkan bagi memastikan keseimbangan di antara kesejahteraan pekerja dan produktiviti ekonomi.
Dengan pendekatan terancang dan berdasarkan bukti empirikal daripada kajian menyeluruh, negara dapat memanfaatkan potensi model ini untuk meningkatkan kesejahteraan pekerja dan daya saing ekonomi.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Sekolah Perniagaan dan Ekonomi, Universiti Putra Malaysia (UPM)
Ulasan
Catat Ulasan