Nasib Jenin sama seperti Jabalia



Nasib Jenin sama seperti Jabalia
WANITA Palestin yang kehilangan tempat tinggal berjalan sambil membawa barangan peribadinya di kem pelarian Jenin di Tebing Barat yang diduduki, kelmarin.- AFP
Oleh Wartawan Luar Negara
26 Februari 2025, 8:00 am

RAMALLAH: Tentera Israel terus memperluaskan operasi di Tebing Barat dengan merobohkan sebahagian besar kem pelarian Jenin.

Tindakan yang mencerminkan taktik sama seperti di Gaza itu mengakibatkan kawasan dahulunya padat kediaman rakyat Palestin, kini menjadi kosong dan musnah.

Sekurang-kurangnya 40,000 rakyat Palestin meninggalkan rumah mereka di Jenin dan bandar berhampiran Tulkarm, di utara Tebing Barat sejak Israel memulakan operasi, hanya sehari selepas Gaza mencapai perjanjian gencatan senjata.

OPERASI TERBESAR

Jurucakap Majlis Perbandaran Jenin, Basheer Matahen menyifatkan keadaan di Jenin kini sama seperti kem pelarian Jabalia, di utara Gaza.

“Kem itu kini tidak boleh didiami lagi,” katanya.


Beliau berkata, sekurang-kurangnya 12 jentolak Israel giat merobohkan rumah dan infrastruktur di kem itu.

Dahulunya, Jenin menjadi kawasan padat menempatkan penduduk Palestin yang melarikan diri dan diusir dalam perang 1948 atau peristiwa Nakba.

Basheer berkata, pasukan kejuruteraan tentera Israel kelihatan sedang melakukan persiapan untuk tinggal dalam jangka panjang, dengan membawa masuk tangki air dan penjana elektrik ke kawasan khas seluas hampir 0.4 hektar.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz mengarahkan tentera untuk bersiap sedia ‘berada di sana’ dalam tempoh yang panjang.

Beliau turut mendakwa, kem pelarian sudah dikosongkan dan penduduk tidak akan dibenarkan kembali.

Operasi selama sebulan di utara Tebing Barat merupakan antara yang terbesar sejak kebangkitan Intifada Kedua oleh rakyat Palestin lebih 20 tahun lalu.

Ia melibatkan beberapa briged tentera Israel yang disokong oleh dron, helikopter dan buat pertama kali dalam beberapa dekad, kereta kebal tempur berat.

“Terdapat pemindahan penduduk secara besar-besaran yang masih berterusan, terutama di dua kem pelarian Nur Shams berhampiran Tulkarm dan Jenin.

“Saya tidak tahu apa strategi jangka panjang, tetapi kita belum pernah melihat langkah sedemikian sebelum ini,” kata bekas pegawai perisikan yang kini mengetuai Forum Kajian Palestin di Pusat Moshe Dayan untuk Kajian Asia Barat dan Afrika, Michael Milshtein.

HALAU PENDUDUK SECARA KEKAL

Israel melancarkan operasi itu konon atas alasan untuk menentang kumpulan pejuang yang disokong Iran, termasuk Hamas dan Jihad Islam, yang berakar umbi di kem pelarian tersebut selama beberapa dekad.

Namun, rakyat Palestin percaya niat sebenar operasi itu adalah untuk mengusir penduduk secara besar-besaran dan kekal, dengan memusnahkan rumah mereka serta menjadikan kawasan tidak lagi sesuai untuk tinggal.

Israel juga berusaha melemahkan Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA), dengan mengharamkan operasi di Baitulmuqaddis Timur serta mengarahkan supaya aktivitinya di Jenin dihentikan.

“Kami tidak tahu apa niat sebenar Israel. Tetapi yang jelas, semakin ramai penduduk diusir keluar dari kem,” kata jurucakap UNRWA, Juliette Touma.

Kem yang menjadi simbol kekal kepada 5.9 juta pelarian Palestin sudah lama disasarkan oleh Israel, yang mendakwa isu pelarian menghalang penyelesaian terhadap konflik selama beberapa dekad.

Namun, Israel sebelum ini tidak pernah mengambil langkah untuk menghapuskan kem tersebut secara kekal.

Kelmarin, Menteri Luar Israel, Gideon Saar, menafikan operasi di Tebing Barat mempunyai tujuan ‘tersembunyi’ selain untuk memerangi kumpulan pejuang.

“Ia adalah operasi ketenteraan yang dijalankan terhadap pengganas, dan tiada matlamat lain selain itu,” katanya selepas bertemu pegawai Kesatuan Eropah (EU) di Brussels.

Ramai rakyat Palestin melihat ‘gema’ daripada seruan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump untuk memindahkan penduduk keluar dari Gaza bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Jurucakap kepada Presiden Mahmoud Abbas, Nabil Abu Rudeinan berkata, operasi di Tebing Barat kelihatan mengulangi taktik yang digunakan di Gaza, di mana tentera Israel secara sistematik mengusir ribuan rakyat Palestin ketika mara ke dalam wilayah itu.

“Kami menuntut pentadbiran AS supaya memaksa negara pendudukan menghentikan serta-merta pencerobohan yang sedang dilakukan terhadap bandar-bandar di Tebing Barat,” katanya.- AGENSI

Ulasan