
Nenek rugi RM4 juta ditipu pelaburan saham melalui laman sosial
Oleh Raja Noraina Raja Rahim - Februari 24, 2025 @ 6:42pm
KUALA LUMPUR: Seorang pesara swasta kerugian kira-kira RM4 juta akibat terperdaya dengan penipuan pelaburan saham yang ditawarkan dalam laman sosial.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, berkata Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) negeri menerima laporan dibuat mangsa wanita berusia 73 tahun itu di Petaling Jaya.
"Hasil siasatan awal mendapati pada pertengahan November tahun lalu, mangsa melayari Facebook dan berminat untuk menyertai pelaburan saham dikenali sebagai PVTCMax.
"Mangsa kemudian dimasukkan ke dalam kumpulan WhatsApp ditadbir dua individu bernama Alya dan Christopher. Mangsa dijanjikan pulangan lumayan antara lapan hingga 10 peratus sehari.
"Bagi tujuan pelaburan itu, mangsa diminta membuat 62 transaksi bayaran ke dalam 10 akaun bank berbeza dengan jumlah keseluruhan RM4 juta," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Hussein berkata, mangsa bagaimanapun menyedari diperdaya apabila diminta membuat pelbagai bayaran tambahan sekiranya mahu mengeluarkan keuntungan, lalu tampil membuat laporan polis.
Susulan laporan itu, beliau berkata, polis membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
"Hasil siasatan polis mendapati modus operandi digunakan suspek ialah memperdaya mangsa melalui iklan pelaburan dalam media sosial," katanya.
Sehubungan itu, Hussein mengingatkan masyarakat supaya sentiasa berwaspada dengan tawaran pelaburan dalam media sosial yang menjanjikan pulangan tidak munasabah, khususnya melalui aplikasi tidak diluluskan Bank Negara Malaysia (BNM) atau Suruhanjaya Sekuriti (SC).
Beliau sekali gus meminta orang ramai yang mengesyaki panggilan mencurigakan, supaya menghubungi Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) melalui talian 997 untuk membuat semakan, nasihat dan aduan.
Ulasan
Catat Ulasan