Perlu iltizam kuat bebaskan negara daripada mimpi buruk rasuah


Perlu iltizam kuat bebaskan negara daripada mimpi buruk rasuah
Oleh Datuk Seri Dr Irmohizam Ibrahim - Februari 23, 2025 @ 9:20am
AWAL bulan ini, ketika bertitah merasmikan Mesyuarat pertama penggal keempat Parlimen ke-15, Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan sistem perkhidmatan dan urusan harian kerajaan hendaklah turut menggunakan teknologi digital bagi menghapuskan semua birokrasi atau red tape menyusahkan urusan rakyat serta pelabur.

Seterusnya, baginda bertitah 'lebih penting lagi, urusan kerajaan secara digital akan meningkatkan ketelusan dan menutup ruang berlaku amalan rasuah serta salah guna kuasa'.

Titah berkenaan isu rasuah dan usaha menanganinya, meskipun ringkas, membawa kepada satu mesej amat mendalam, signifikan dari sudut menaikkan martabat serta membaiki imej Malaysia dalam erti kata lebih luas.

Kini, rasuah menjadi antara istilah popular dan sering menjadi sebutan, diperkatakan dan bahan rujukan kebanyakan pihak setiap hari. Ia kini seperti menjadi 'barang rumah', seolah-olah sebahagian kehidupan.

'Barang rumah' lazimnya merujuk peralatan di rumah seperti perabot, kelengkapan harian dan barangan peribadi.

Pada 13 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada Majlis Makan Malam Istiadat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2025, berkata suruhanjaya ditubuhkan pada 2009 itu bertindak begitu baik memikul amanah sukar bagi menyelamatkan negara daripada masalah rasuah berterusan.

Beliau merumuskan SPRM menjadi antara tonggak utama kerajaan mempertahankan tatakelola, sistem tadbir urus yang bersih dan berintegriti.

Anwar menyifatkan rasuah di negara ini sistemik, berakar dan hampir menjadi budaya. Itulah hakikat perlu diakui. Maka, semua pihak perlu berganding bahu menghapuskan gejala rasuah daripada berleluasa.

Pada majlis sama, Anwar menegaskan tiada lagi proses perolehan tanpa kawalan dan SPRM diberi kebebasan pada semua peringkat untuk menggeledah, membongkar dan mengambil tindakan.

Ucapan itu disampaikan dua hari selepas pengumuman keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) edisi 2024.

Anwar mengakui CPI adalah relatif, apa yang lebih penting adalah tekad dan ketegasan serta keberanian jentera SPRM dalam melaksanakan tugas.

Tambah beliau, Kerajaan MADANI pimpinannya tidak akan berkompromi dalam isu rasuah dan beliau memberi kuasa penuh kepada SPRM untuk bertindak tanpa halangan terhadap mana-mana individu terbabit dalam penyalahgunaan kuasa.

Sebagaimana disebutkan Anwar, membanteras rasuah bukan tugas mudah. Ini kerana sistem dan pimpinan politik kadangkala tidak semuanya serasi.

Perlu ambil pendekatan konkrit

SPRM, dahulunya dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) diperkasakan dengan peruntukan undang-undang kemas dan kukuh, lengkap dengan jentera serta pegawai.

"Dengan tiga faktor ini, kebebasan mereka dalam rasuah berubah dalam masa lapan tahun dan Hong Kong berubah wajah sebagai sebuah negara bersih. Saya terkesan dengan laporan itu," tambah Perdana Menteri.

Berdasarkan CPI 2024, Malaysia kekal pada kedudukan ke-57, dengan skor 50 mata. Di bawah CPI 2023, negara mencapai 50 mata berbanding 47 mata pada tahun sebelumnya.

Kedudukan terbaharu itu diperoleh hasil sembilan tinjauan berbeza bagi mengukur persepsi tahap rasuah dalam sektor awam.

Menurut Transparency International Malaysia (TI-Malaysia), walaupun kedudukan Malaysia kekal dan memperoleh skor sama, kerajaan perlu menyedari negara mempunyai visi mencapai kedudukan antara 25 negara teratas di dunia menjelang 2033.

"Malaysia hendaklah memperoleh skor sebanyak 68-70 mata untuk mencapai kedudukan berkenaan. Oleh itu, Malaysia perlu meningkatkan skor sekurang-kurangnya dua mata setiap tahun sehingga 2033 demi mencapai sasaran ditetapkan," menurut TI-Malaysia.

TI-Malaysia menjelaskan antara faktor Malaysia berada pada kedudukan dan skor sama adalah kerana komuniti perniagaan masih berasakan masalah rasuah adalah isu utama dan perlu dibendung dalam sektor awam.

Selain itu, menurut TI-Malaysia, usaha pembaharuan institusi masih bergerak perlahan walaupun kerajaan memberikan penekanan terhadap tatakelola yang baik dan pembaharuan institusi.

Antaranya membabitkan penggubalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat, pembentangan Akta Kebebasan Maklumat, Akta Perolehan Awam, Akta Perkhidmatan Parlimen, Rang Undang-Undang (RUU) Pembiayaan Politik dan Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

Pada masa sama, TI-Malaysia menekankan faktor lain CPI Malaysia tetap kekal 50 adalah semakan semula hukuman penjara dan pengurangan denda selepas disabitkan mahkamah tertinggi ke atas kes berprofil tinggi, yang mewujudkan persepsi berlaku campur tangan politik dalam badan kehakiman.

Dalam hal ini, TI-Malaysia mencadangkan kerajaan mempercepat proses pembaharuan institusi untuk memastikan ketelusan, akauntabiliti dan tiada unsur campur tangan politik dengan badan penguat kuasa serta badan kehakiman.

TI-Malaysia juga mengulangi, kerajaan perlu mempertimbangkan dan memberi penekanan menambah baik Integrity Pact, selari dengan piawaian antarabangsa dengan mewujudkan pengawasan bebas untuk projek mega bagi memastikan wang pembayar cukai dibelanjakan dengan telus.

Rakyat, tidak kira lapisan sosioekonomi, perlu mengambil iltizam dan pendirian tegas, malah kukuh untuk membawa negara keluar daripada mimpi buruk rasuah.

Kita memerlukan terma 'isi rumah baharu' bahawa 'Malaysia sebuah negara bebas rasuah dan berintegriti tinggi'.

Proses ke arah itu mungkin mengambil masa panjang, maka perlu dibentuk iltizam baharu bersama bahawa Malaysia perlu memiliki wajah dengan terma baharu 'negara bebas rasuah dan negara berintegriti tinggi'.

Sebagaimana mesej dizahirkan Seri Paduka tempoh hari, maka kita perlu mengambil pendekatan konkrit untuk mengubah rasuah sebagai terma 'isi rumah' dan menghantui negara selama ini.

Perdana Menteri juga berulang kali memperkukuhkan iltizam politik untuk mengubah realiti semasa ini. TI-Malaysia juga berkongsi saranan untuk melihat perubahan positif kedudukan Malaysia dalam CPI.

Penulis adalah Pengarah Urusan Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL)

Ulasan