
Pertumbuhan 2024 kukuh, 2025 hadapi dengan waspada
Ekonomi Malaysia
February 17, 2025
KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan kukuh sebanyak 5.1 peratus pada tahun 2024 berbanding 3.6 peratus pada 2023, didorong oleh aktiviti pelaburan mantap, perbelanjaan isi rumah mampan serta permintaan eksport berterusan.
Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN), Mohd Syahir Che Sulaiman berkata, kejayaan itu tidak hanya terhasil daripada dasar kerajaan, tetapi lebih kepada peranan rakyat mewakili segmen ‘isi rumah’ yang menjadi pemacu utama pemulihan ekonomi negara.
“Rakyat adalah ‘hero’ sebenar. Ini selaras dengan rekod yang tidak dapat dinafikan apabila setiap pendapatan, perbelanjaan, pelaburan dan keuntungan rakyat, termasuk simpanan dan caruman rakyat, telah digerakkan untuk menjana pertumbuhan ekonomi dengan lebih kukuh.
“(Ia) termasuklah bagi menyokong kedudukan Ringgit dan pasaran saham dalam negara sepanjang tempoh 2024,” katanya beliau yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS.
Ahli Parlimen Bachok itu turut menegaskan kadar pengangguran terus menurun kepada 3.2 peratus pada suku terakhir 2024, manakala inflasi keseluruhan dicatatkan pada kadar 1.8 peratus, walaupun inflasi makanan lebih tinggi pada 2.5 peratus.
Prospek 2025 lebih mencabar
Mengulas mengenai unjuran ekonomi 2025, Syahir berkata penganalisis ekonomi menjangkakan pertumbuhan dijangka lebih perlahan pada kadar 4.5 hingga 4.8 peratus, dipengaruhi oleh beberapa faktor utama.
Antaranya jelasnya ialah ketidaktentuan ekonomi global berikutan ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China, selain kelembapan ekonomi di pasaran eksport utama yang boleh memberi kesan kepada sektor pembuatan dan perdagangan negara.
“Keduanya, perbelanjaan pengguna melemah. Langkah rasionalisasi subsidi boleh menekan perbelanjaan pengguna, khususnya pengurangan subsidi bahan api (RON95 pertengahan tahun) dan inflasi makanan yang berpotensi memberi kesan ke atas pendapatan boleh guna dan keberhutangan rakyat.
“Ketiganya, petunjuk pelaburan yang perlahan. Aktiviti pelaburan dan permintaan luaran menunjukkan tanda-tanda kelembapan, termasuk data kelulusan perniagaan serta pelaburan asing yang perlahan, yang boleh menjejaskan prospek ekonomi jangka panjang.
“Keempatnya, kedudukan fiskal kerajaan. Defisit dan hutang kerajaan yang tinggi bagi menampung perbelanjaan kerajaan yang terus meningkat, menghadkan kemampuan kerajaan untuk meneruskan pemberian subsidi dan pelaksanaan projek pembangunan,” jelasnya.
Secara keseluruhannya beliau berkata, pertumbuhan ekonomi Malaysia pada 2025 dijangka lebih sederhana berbanding 2024, dengan cabaran utama datang daripada faktor luaran.
Angka rasmi yang boleh dipercayai
Syahir berkata, aspek terpenting dalam mengukur pertumbuhan ekonomi negara adalah angka rasmi yang boleh dipercayai, dirasai dan boleh dikaitkan dengan rakyat di bawahan (‘reliable & relatable’).
Namun mutakhir ini jelasnya, timbul jurang persepsi yang wajib diperbetulkan apabila angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) dan inflasi menjadi kebanggaan kerajaan, seperti tidak diendahkan oleh sebilangan besar rakyat dan peniaga terus berdepan dengan pelbagai cabaran.
“Persoalannya, sejauh mana angka rasmi ini mencerminkan realiti sebenar sosio-ekonomi rakyat? Adakah pemulihan ekonomi ini benar-benar dirasai atau sekadar statistik untuk dibanggakan?
“Jurang kepercayaan rakyat terhadap angka rasmi ekonomi negara, perlu diperbetulkan. Malah jika diizinkan, ramai yang ingin bertanya, siapakah Menteri yang bertanggungjawab meluluskan (sign-off) angka KDNK 2024 (5.9 peratus).
“(Iaitu) untuk dipersembahkan kepada Istana Negara (merujuk kepada Titah Di-Raja sempena Istiadat Pembukaan Parlimen pada Isnin, 3 Februari). Sedangkan angka rasmi yang diumumkan oleh BNM (Bank Negara Malaysia) pada Jumaat, 13 Februari adalah (5.1 peratus),” terangnya.
Dalam hal itu gesanya, seseorang di Putrajaya (Menteri Ekonomi, Menteri Kewangan, Pejabat Perdana Menteri) perlu tampil memberikan penjelasan atas kekhilafan yang amat nyata itu.
Ia katanya, berhubung penyaluran dua angka rasmi yang berbeza untuk dipersembahkan kepada Istana Negara dan sekalian rakyat jelata, iaitu pada kadar (5.9 peratus) dan (5.1 peratus), suatu jurang yang ketara.
“Malah angka tersebut turut berbeza dengan anggaran awalan KDNK 2024 yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 17 Januari 2025, juga pada kadar (5.1 peratus).
“Kemusykilan ini telah dibangkitkan oleh YB Pasir Gudang dan YB Temerloh di Parlimen tempoh hari, namun tidak diendahkan oleh Menteri Ekonomi.
“Justeru dengan penuh takzim, demi memelihara keluhuran Parlimen dan Istana Negara, serta integriti angka rasmi ekonomi negara, rakyat menuntut penjelasan dan taklifan di pihak Putrajaya,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan