
Pindah milik tanah tidak sah: Siasat seluruh negara
February 2, 2025
PINDAH milik tanah secara tidak sah telah didedahkan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berlaku di Pejabat Daerah dan Tanah (PDT) Klang baru-baru ini. Pembongkaran oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman menunjukkan berlaku kecurangan, penipuan dan jenayah tersebut dalam tatakelola kerajaan.
Menteri Besar Selangor sebagai reaksi kepada isu itu malah tidak menolak kemungkinan turut berlaku di agensi atau jabatan dan pentadbiran daerah-daerah lain. Jika benar, maka komplot dan modus operandi didalangi ‘orang dalam’ dan sindiket ini boleh dilihat sebagai masalah yang sangat parah.
Kegiatan kartel ini mesti diakui sebagai kroniknya masalah prosedur, sistem dan integriti yang ada. Kerana menyebabkan begitu mudah pencerobohan, eksploitasi dan manipulasi berlaku ke atas maklumat dan data yang sangat penting. Sehingga melibatkan transaksi aset berharga seperti hartanah.
Kami dalam pengalaman yang ada, telah menyaksikan banyak pengakuan dan aduan di seluruh negara terhadap isu hak dipindah milik seperti ini. Mangsa terpaksa menempuh pelbagai kerenah birokrasi dan politik hingga siasatan tidak dijalankan dengan sewajarnya.
Lebih menyedihkan, dalam tempoh masa sangat lama dan sudah terakam menjadi sejarah itu, kes tetap tidak selesai dengan betul dan adil walaupun berganti generasi. Hinggakan mangsa buntu, kecewa dan pasrah, malah ada yang telah meninggal dunia.
Sehubungan itu, kami menyeru mangsa-mangsa atau keluarga mereka yang berhadapan masalah seumpama untuk tampil membuat aduan atau laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan dan menggesa pihak polis membuka semula kes-kes lama berkaitan.
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga dituntut lebih proaktif melakukan penyiasatan pindah milik tanah secara tidak sah ini melibatkan laporan penipuan (fraud) yang pernah dikeluarkan PDT-PDT seluruh negara, termasuk unsur rasuah dan pemalsuan dokumen.
Pada tragedi-tragedi berlaku ini, semua pihak tidak harus lupa isu tanah yang penting dan besar dengan hampir kebanyakannya melibatkan pemilikan hak orang Melayu-Islam. Antara masih berdepan kemelut dan polemik tidak berkesudahan sebagaimana Kampung Baru Kuala Lumpur.
Sebagaimana telah dibuktikan melalui geran tanah pusaka dimiliki waris penduduk, bahawa terdapat tanah di situ berstatus Kawasan Penempatan Pertanian Melayu (MAS). Sedangkan sebelumnya, pihak kerajaan sendiri menafikan status itu dan membuat dakwaan berlawanan.
Sudahlah sikap kerajaan itu umpama ‘harapkan pegar, pegar makan padi’, penduduk pula terpaksa berdepan pemaju kapitalis yang rakus mahu merebut pengambilan tanah. Nilai pasaran tanah cuba dibohongi dengan tawaran serendah-rendah harga, sedangkan ia berada di lokasi strategik.
Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri-negeri juga perlu mengawasi dan berwaspada terhadap isu ini. Pertikaian sebagaimana kes pindah milik tanah kerajaan di Jalan Duta Kuala Lumpur kepada Semantan Estate yang kini masih dalam proses mahkamah perlu menjadi iktibar.
“Islam Adalah Penyelesaian”
DATUK HAJI AHMAD AMZAD HASHIM
Pengerusi
Lajnah Tanah dan Wilayah PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Terengganu – HARAKAHDAILY 2/2/2025
(*Latarbelakang isu: Transaksi tanah seluas 9.4 hektar bernilai RM7.1 juta melibatkan PDT Klang, Selangor)
Ulasan
Catat Ulasan