
Sanusi bebas tuduhan hasutan berkaitan Al-Sultan Abdullah
Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor tiba di pekarangan Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi pengurusan sebutan pertuduhan menghasut berkaitan Yang Dipertuan Agong ke-16 Al- Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al- Mustafa Billah Shah semalam. - GAMBAR Saddam Yusoff
Oleh ISKANDAR SHAH MOHAMED
25 Februari 2025, 6:40 am
SHAH ALAM: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini, bagi pertuduhan menghasut berkaitan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al Sultan Abdullah Ri’ayatudin Al Mustafa Billah Shah, dua tahun lalu.
Hakim Datuk Aslam Zainudin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan memutuskan untuk tidak meneruskan pertuduhan berkenaan.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd. Daud memberitahu mahkamah bahawa pihaknya ada menerima representasi oleh pihak pembelaan.
“Hari ini (semalam) sepatutnya perbicaraan kes namun kami (pendakwaan) telah meneliti representasi itu dan memutuskan untuk memohon perintah melepas tanpa membebaskan (DNAA).
“Representasi itu telah diterima oleh Pejabat Peguam Negara. Semua keputusan itu kini terpulang kepada mahkamah,” katanya.
Peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi bagaimanapun memohon anak guamnya dibebaskan sepenuhnya.
“Apabila pihak pendakwaan menzahirkan niat tidak meneruskan pertuduhan, ia perlu tunjuk niat untuk memberhentikannya (bukannya DNAA). Ini menimbulkan rasa tidak selesa dan tidak menggambarkan pertuduhan mahu dihentikan. Mohon anak guam saya dibebaskan sepenuhnya,” katanya.
Muhammad Sanusi, 51, didakwa menyebut perkataan menghasut yang dikaitkan dengan Al Sultan Abdullah dalam ceramahnya di Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak, pukul 11 malam, 11 Julai 2023.
Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pada 10 Disember tahun lalu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu turut dibebas dan dilepaskan oleh mahkamah sama bagi pertuduhan menghasut berkaitan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas pihak pendakwaan menarik balik dan tidak bercadang meneruskan pertuduhan tersebut.
Pada Julai tahun lalu, Muhammad Sanusi menerusi peguamnya mengemukakan representasi kali kedua selepas Mahkamah Tinggi dimaklumkan mengenai penolakan representasi pertama oleh Jabatan Peguam Negara bagi menggugurkan dua pertuduhan tersebut.
Sultan Sharafuddin sebelum ini berkenan menerima permohonan maaf Muhammad Sanusi atas nama ukhwah sesama Islam dan bangsa Melayu selain menasihatkan menjaga tutur kata. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan