

Berita
Speaker Dewan Rakyat larang polemik titah adendum dibahaskan
Diterbitkan: Feb 4, 2025 5:37 PM⋅
PARLIMEN | Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, melarang sebarang perbahasan berkaitan titah adendum oleh bekas Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah, dalam sidang parlimen kali ini.
Keputusan itu dibuat selepas beberapa ahli parlimen daripada kedua-dua blok mencetuskan kekecohan ketika Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin, membangkitkan isu kewujudan titah berkenaan serta dakwaan penderhakaan terhadap institusi diraja.
Johari menetapkan larangan itu berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) mempersoalkan tindakan ahli parlimen pembangkang.
Selain itu dia turut melarang penggunaan perkataan "derhaka" dalam perbahasan mengenai isu titah berkenaan mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).
“Kita boleh menjerit (tentang titah adendum dan penderhakaan), tapi perkara itu telah diambil dan ketua pembangkang mengatakan (dakwa berlaku) sorokan (dalam isu titah adendum) telah dibuat, persembunyian telah dibuat.
“Saya rasa cukuplah setakat itu, bergerak ke hadapan. Banyak lagi perkara (nak dibincangkan) dan ini keputusan saya, baik saya putuskan.
“Oleh kerana ia 36(2) dan (isu titah adendum masih) dalam mahkamah dan perkataan derhaka juga (mengikuti Peraturan Mesyuarat) 36(7), saya tidak benarkan lagi (isu dan perkataan itu).
"Move forward (sudahlah). Sesiapa juga yang membangkitkan (perkara) melibatkan itu, saya akan ambil tindakan. Kalau tidak, tidak habis (bertegang urat mengenai isu titah adendum)," katanya.

ADS
Johari berkata demikian sebagai respons terhadap Hamzah yang mendakwa Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan pimpinan kerajaan menyembunyikan titah adendum berkaitan Najib Razak sewaktu membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Hamzah ketika perbahasan itu mendakwa kerajaan menyorokkan titah tambahan berkenaan dan pihak yang terlibat mesti dikenakan tindakan tegas kerana menderhaka kepada institusi raja serta menghalang keadilan sehingga menyebabkan keputusan mahkamah yang salah.
"Semua pihak perlu sedar, kalau titah diraja pun kerajaan Madani ini sorok, isu-isu lain apa lagi, sebab itu tak pelik banyak lagi hal-hal lain disorok,” katanya.
Dakwaan Hamzah itu mencetuskan reaksi tidak senang beberapa ahli Parlimen kerajaan yang bangkit mempersoalkan kenyataannya, termasuk Mohammed Taufiq Johari (PH-Sungai Petani), Howard Lee (PH-Ipoh Timur), Tan Kar Hing (PH-Gopeng), dan S. Kesavan (PH-Sungai Siput).
Rayer turut membacakan Peraturan Mesyuarat 36(2) yang menyatakan bahawa “isu yang sedang dibicarakan di mahkamah tidak boleh disebut dalam perbahasan jika ia boleh menjejaskan kepentingan pihak yang sedang dibicarakan.”
"Tan Sri Speaker sudah memberi peringatan kepada ketua pembangkang. Beliau telah menyebut perkara itu (Titah Adendum) berulang kali yang hanya akan menyebabkan kita melanggar peraturan ini," katanya.
Sebelum ini Najib memohon semakan kehakiman bagi menuntut pelaksanaan titah tambahan yang didakwa membenarkannya menjalani baki hukuman penjara di rumah berbanding di Penjara Kajang.
Pada Julai tahun lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan bekas perdana menteri itu untuk memulakan semakan kehakiman tersebut atas alasan afidavit sokongan yang dikemukakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat khabar angin.
ADS
Bagaimanapun, Mahkamah Rayuan baru-baru ini menerima rayuan Najib dan mengembalikan kes tersebut ke mahkamah tinggi untuk didengar.
Ulasan
Catat Ulasan