
Tak kejar jawatan PM, pencetus Kerajaan Teknokrat
Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
February 26, 2025
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Mohd Syahir Che Sulaiman, menegaskan bahawa Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sama sekali tidak mengejar jawatan Perdana Menteri.
Beliau menyatakan bahawa cadangan mengenai ‘Kerajaan Teknokrat’ pertama kali dikemukakan oleh Tuan Guru menjelang Pilihan Raya Umum 2018, ketika negara berdepan dengan isu ‘Kerajaan Kleptokrasi’.
“Saya sekadar mengulangi cadangan Tuan Guru dahulu, ketika Malaysia berdepan ‘Kerajaan Kakistokrasi’ hari ini,” katanya yang juga Setiausaha Politik Presiden PAS dalam satu kenyataan.
Syahir turut mengingatkan bahawa ketika polemik jawatan Timbalan Perdana Menteri pada 2020, Tuan Guru pernah menyatakan kesediaannya untuk kembali menjadi nelayan jika diperlukan.
“Itulah Presiden parti kami. (Berbanding) Presiden parti saudara, jauh berbeza dengan Presiden parti kami. Bukan jawatan Perdana Menteri yang dikejar Presiden kami,” tambahnya.
Syahir juga mengkritik Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, dengan menyatakan bahawa Anwar telah merendahkan ‘standard’ seorang Perdana Menteri dengan bercakap kosong dan berjanji manis tanpa hasil yang nyata.
Kenyataan beliau itu adalah sebagai reaksi balas kepada ulasan Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik, Najwan Halimi, yang mempersoalkan Syahir tidak menamakan Tuan Guru sebagai calon Perdana Menteri ke-11.
“Saya nasihatkan saudara Najwan, rajinlah buat ‘homework’ sedikit,” nasihat Syahir yang dalam kenyataan awalnya mengulas Duta Malaysia Ke Amerika Syarikat, Dato’ Seri Mohamad Nazri Abdul Aziz berhubung tiada calon PM ke-11 melainkan Anwar.
Najwan dalam mengungkapkan rasa peliknya terhadap kenyataan Syahir kononnya menjangkakan akan menamakan Presiden PAS sebagai calon paling layak untuk menjadi Perdana Menteri ke-11 bagi menggantikan Anwar Ibrahim.
Syahir menegaskan bahawa fokus utama adalah pada kualiti kepimpinan dan integriti, bukan semata-mata mengejar jawatan.
“Pokoknya, PMX telah merendahkan ‘standard’ seorang Perdana Menteri – bercakap kosong, berjanji manis, hasilnya tiada. Itu premis utama saya,” tegasnya.
Beliau mengajak Najwan untuk mengemukakan hujah jika mempunyai pandangan berbeza.
“Sila datangkan hujah jika saudara Najwan (jika) berpandangan sebaliknya,” kata Syahir yang juga Penolong Setiausaha Agung PAS. – HARAKAHDAILY 26/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan