Tangani kos sara hidup, kurangkan beban rakyat



Tangani kos sara hidup, kurangkan beban rakyat
JIKA berterusan, ia boleh mencipta masyarakat yang rapuh dan tidak berdaya tahan, terutamanya apabila berdepan dengan krisis kewangan atau ketidakstabilan ekonomi.
Oleh Mohd. Shahar Abdullah
17 Februari 2025, 8:00 am

DALAM usaha memacu ekonomi negara, kita tidak boleh menafikan masalah yang dihadapi oleh rakyat. Salah satu isu utama adalah pertumbuhan gaji yang perlahan berbanding dengan peningkatan kos sara hidup. Walaupun perbelanjaan isi rumah meningkat, pendapatan yang diterima rakyat adalah tidak seimbang. Keadaan ini mendorong peningkatan hutang isi rumah. Nisbah hutang isi rumah kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 2023 adalah 84.2 peratus dengan jumlah RM1.53 trilion. Jika trend ini berterusan, ia boleh mencipta masyarakat yang rapuh dan tidak berdaya tahan, terutamanya apabila berdepan dengan krisis kewangan atau ketidakstabilan ekonomi.

ANCAMAN PERANGKAP HUTANG DIGITAL
Saya berpendapat, peningkatan akses kepada kredit dalam talian seperti perkhidmatan beli sekarang bayar kemudian (BNPL) memperburuk keadaan semasa.

Walaupun kemudahan ini memberikan fleksibiliti untuk membeli barangan secara ansuran, saya percaya tanpa pengurusan kewangan yang bijak, ia boleh menyebabkan individu terjerat dalam hutang yang berterusan.

Lebih membimbangkan, barangan keperluan harian kini juga boleh dibeli menggunakan BNPL, yang secara tidak langsung meningkatkan beban kewangan rakyat tanpa mereka sedari. Kebanyakan pengguna terperangkap dengan ansuran kecil yang kelihatan mampu dibayar, namun apabila dikira jumlah keseluruhan, ia jauh lebih tinggi. Kerajaan perlu memperkenalkan regulasi yang lebih ketat terhadap industri ini serta meningkatkan pendidikan kewangan dalam kalangan rakyat. Ini bagi mmemastikan mereka dapat mengurus kewangan dengan lebih bijak dan mengelakkan diri daripada terperangkap yang boleh memberi kesan jangka panjang terhadap kestabilan kewangan mereka.

FENOMENA MISKIN RUMAH
Walaupun kadar inflasi keseluruhan terkawal pada 2024 hanya berada pada kadar 1.8 peratus, namun jika dilihat kadar inflasi dalam kategori perumahan, utiliti, dan gas kekal tinggi pada 3.2 peratus. Ini mendorong kepada fenomena house poor, atau miskin rumah di mana rakyat yang membeli rumah atau menyewa terpaksa menghabiskan sebahagian besar pendapatan mereka untuk membayar hutang rumah, sewa, dan perbelanjaan berkaitan seperti utiliti dan penyelenggaraan.

Akibatnya, mereka sukar menampung keperluan asas lain, menjadikan kehidupan mereka semakin terhimpit. Ini pastinya membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana. Jika keadaan ini berterusan, ia bukan sahaja merosotkan kualiti hidup, malah boleh memberi kesan buruk terhadap kestabilan sosial dan ekonomi negara. Isu pemilikan rumah ini perlu diberi perhatian menyeluruh oleh kerajaan, ia akhirnya mempengaruhi daya tahan ekonomi rakyat secara langsung.

Ketiadaan dasar yang mengawal kadar sewa rumah dengan jelas mengakibatkan pemilik rumah bebas menaikkan kadar sewa mengikut kehendak mereka. Saya berpendapat bahawa kerajaan perlu segera merangka dasar yang lebih adil dan telus dalam mengawal kadar sewa rumah. Garis panduan kadar sewa perlu mengambil kira faktor lokaliti dan keupayaan penyewa, sambil memastikan pemilik rumah mendapat pulangan yang adil. Selain itu, mekanisme penyelesaian pertikaian sewa yang cepat dan berkesan perlu diwujudkan agar kedua-dua pihak, pemilik dan penyewa, dapat menikmati hak mereka dengan lebih adil. Saya percaya langkah-langkah ini akan membantu mewujudkan ekosistem perumahan yang lebih saksama.

PERKASA RAKYAT, PERKUKUH EKONOMI
Dapatan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) menunjukkan hampir 70 peratus rakyat bergelut dengan tekanan kewangan yang semakin meningkat, dan ini menunjukkan bahawa pengelasan semasa mungkin tidak lagi mencerminkan realiti sebenar. Cadangan untuk mengelaskan semula isi rumah kepada B20, M50, dan T30 adalah langkah yang relevan. Dengan pengelasan semula ini, kerajaan dapat merangka dasar yang lebih tepat dan berkesan untuk membantu golongan yang benar-benar memerlukan bantuan, sambil memberi gambaran yang lebih jelas tentang ketidakseimbangan ekonomi yang wujud dalam kalangan rakyat.

Namun, masalah utama yang mendalam kepada ekonomi Malaysia adalah gaji yang rendah. Pada 2023, pampasan kepada pekerja hanya berada pada kadar 33.1 peratus, yang masih jauh dari sasaran 45 peratus yang ditetapkan dalam kerangka Ekonomi Madani menjelang 2030. Pada masa yang sama, gaji median dalam kalangan 6.7 juta pekerja sektor formal hanya RM2,745, jumlah yang jelas tidak mencukupi untuk menampung kos hidup, terutamanya di bandar-bandar besar.

Masalah ini bukan sahaja mempengaruhi kehidupan seharian, malah ia juga mengurangkan daya beli rakyat, sekali gus menghalang mereka daripada menikmati kehidupan yang lebih baik. Oleh itu, masalah gaji rendah ini memerlukan pembaharuan struktur yang lebih adil dan berdaya saing. Saya percaya langkah kerajaan untuk meningkatkan gaji penjawat awam dan gaji minimum kepada RM1,700 bermula bulan ini adalah langkah yang baik. Gaji yang lebih tinggi bukan sahaja dapat memberi rakyat daya beli yang lebih besar, tetapi juga dapat merangsang permintaan dalam ekonomi domestik, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan.

Langkah kerajaan untuk meningkatkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada 2025 yang berjumlah RM13 bilion, berbanding RM10 bilion pada 2024 juga tepat. Selain itu, 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA berbanding hanya 700,000 penerima tahun lalu. Inisiatif ini adalah langkah positif untuk meringankan beban kewangan rakyat dan meningkatkan kesejahteraan golongan yang memerlukan.

Cabaran ekonomi yang dihadapi oleh rakyat memerlukan tindakan segera.

Dengan melaksanakan dasar gaji progresif serta inisiatif seperti STR dan SARA, saya yakin bahawa kerajaan dapat membantu mengurangkan beban rakyat dan menuju ke arah pembangunan yang lebih seimbang. Namun, perubahan struktur yang menyeluruh dan berkesinambungan perlu untuk mewujudkan masyarakat yang lebih sejahtera dan berdaya tahan. – UTUSAN

DATUK Mohd Shahar Abdullah ialah Ahli Parlimen Paya Besar dan Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (Kewangan dan Ekonomi).

Ulasan