
Terengganu bakal pusat pembuatan pesawat
February 19, 2025
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu kini dalam peringkat akhir perbincangan untuk membawa masuk industri aeroangkasa ke negeri ini, khususnya dalam pemasangan pesawat ringan (light aircraft).
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir D. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, projek berkenaan bakal melibatkan kerjasama antara sebuah syarikat tempatan, Putra Aerospace Industri (PAI) dengan syarikat luar negara iaitu China.
Menurutnya, syarikat tersebut akan memasang pesawat menggunakan komponen dari pelbagai negara, termasuk enjin dan sistem elektronik dari Barat.
“Pesawat ini terdiri daripada banyak komponen. Antaranya, ia mempunyai sistem elektronik penerbangan (avionics), sistem kawalan penerbangan (flight control), sistem bahan api (fuel system), struktur pesawat (aircraft structure) serta enjin.
“Enjin tersebut berasal dari negara Barat, begitu juga dengan sistem elektronik penerbangan. Kesemua komponen ini akan dipasang (assemble) di sini.
“Setakat ini, perbincangan telah diadakan sebanyak tiga hingga empat kali dan kini hanya menunggu kebenaran rasmi daripada kerajaan negeri untuk penggunaan tanah di lokasi berkenaan (Lapangan Terbang Sultan Mahmud).
“Memandangkan tiada sebarang keperluan untuk menukar status tanah, proses ini dapat berjalan lebih lancar dan cepat. Jika semuanya berjalan mengikut perancangan, dalam tempoh tiga bulan akan datang, keputusan akhir dapat dimuktamadkan.
“Insya-Allah, pengumuman rasmi akan dibuat, diikuti dengan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) atau Memorandum Perjanjian (MoA), bergantung kepada keperluan pada ketika itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2024-2030 di Dewan Besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.
Beliau berkata, kerajaan negeri turut mempertimbangkan penyertaan ekuiti dalam projek ini bagi memastikan penglibatan lebih strategik.
“Kita sedang mempertimbangkan untuk mempunyai sedikit ekuiti supaya kita dapat sama-sama terlibat dan institusi pendidikan di negeri Terengganu seperti TATIUC dan TESDEC boleh memainkan peranan mereka untuk melatih anak-anak tempatan,” katanya.
Terdahulu, kerajaan negeri menerima kunjungan delegasi Putra Aerospace Industri yang diketuai oleh Tuan Hassanuddin Tuan Kob.
Menurut Samsuri, pihaknya telah mengenalpasti lokasi yang strategik untuk projek fasa pertama ini iaitu di dalam kawasan Lapangan Terbang Sultan Mahmud seluas lebih 50 ekar.
Samsuri menerusi hantaran di laman Facebook miliknya berkata, kehadiran PAI bukan sahaja dapat meningkatkan ekonomi, malah turut membuka ruang untuk melahirkan lebih ramai pakar dalam bidang aeroangkasa. – HARAKAHDAILY 19/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan