Terengganu sedia RM5 juta untuk pelajar cemerlang
February 27, 2025
KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu terus komited dalam memperkasakan pendidikan dengan memperuntukkan RM5 juta setiap tahun bagi Skim Pelajar Cemerlang (SPC) di bawah Yayasan Terengganu, meskipun berdepan cabaran ekonomi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan Negeri, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, ia adalah antara manifesto utama kerajaan negeri sejak 2018 dan akan terus diberikan kepada pelajar yang layak.
“Pendidikan adalah pelaburan jangka panjang. Ia mungkin tidak membuahkan hasil dalam bentuk wang ringgit, tetapi manfaatnya kepada masyarakat jauh lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Apresiasi Penerima Biasiswa YT-TI Young Talent Scholarship Programme 2024 di Wisma Darul Iman, di sini semalam.
Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nara Setia Dato’ Zulkifli Ali dan Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham, Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun.
Menurut Satiful, hanya 50 pelajar terbaik dipilih setiap tahun untuk menerima biasiswa itu, sekali gus menunjukkan betapa tingginya persaingan dalam mendapatkan tajaan tersebut.
Selain itu kata beliau, kerajaan negeri turut menyediakan pinjaman pendidikan tanpa faedah berjumlah RM10 juta setahun bagi memberi lebih banyak peluang kepada pelajar melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
“Kita melihat semakin ramai pelajar Terengganu cemerlang dalam SPM, STPM, STAM dan sebagainya. Ini bermakna lebih banyak peluang untuk mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 27/2/2025
Ulasan
Catat Ulasan