Terpalit isu buli tapi permohonan sertai MTD meningkat 80 peratus tahun ini



Berita
Terpalit isu buli tapi permohonan sertai MTD meningkat 80 peratus tahun ini
Diterbitkan: Feb 24, 2025 12:17 PM

PARLIMEN | Kadar permohonan untuk menyertai Maktab Tentera Diraja (MTD) menunjukkan peningkatan sangat ketara di sebalik dakwaan berlakunya pembulian di institusi pendidikan di bawah Kementerian Pertahanan berkenaan.

Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari, secara keseluruhan MTD menerima hampir 3,990 permohonan untuk menyertai maktab tersebut pada tahun ini dan ia menunjukkan peningkatan sebanyak 80 peratus.

"Kita tahu bahawa sebenarnya keyakinan rakyat kepada MTD itu cukup tinggi.

"Sebab itu kalau kita lihat pada tahun 2024, permohonan daripada ibu bapa untuk mendapatkan ruang buat anak-anak mereka di MTD adalah seramai 2,200 pada tahun 2024, sedangkan pengambilan hanya seramai 260 orang saja.

"Kalau kita lihat pada tahun ini, 2025, walaupun pelbagai isu dibangkitkan, tetapi kita tahu bahawa MTD punya disiplin yang tersendiri," katanya.

Adly berkata demikian sebagai menjawab pertanyaan Dr Halimah Ali (PN-Kapar) yang mahu tahu jika MTC ada mengambil kira aspek perwatakan seseorang pelajar semasa memberi pertimbangan kepada kemasukan ke MTD.

Bulan lalu, Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin menegaskan kementeriannya tidak akan bertolak ansur dengan amalan buli dan berjanji untuk mengambil tindakan yang tegas terhadap pihak yang melanggar peraturan.

“Kementerian Pertahanan tidak bertolak ansur terhadap sebarang bentuk penderaan dalam mana-mana institusi di bawah Kementerian ini.

"Sebarang dakwaan akan disiasat dan diberikan perhatian yang serius. Sekiranya bersalah, individu berkenaan dikenakan tindakan disiplin yang tegas,” katanya.

Kenyataan itu dibuat ekoran laporan mengenai budaya membuli yang dikatakan berlaku di MTD termasuk melibatkan kecederaan fizikal.

Ini mendorong Ahli Parlimen Muar yang juga alumni MTD, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menggesa polis menyerbu sekolah itu dan menjalankan siasatan.

Kata Adly untuk menyertai MTD pelajar terbabit anak dinilai dari semua aspek dan tidak sekadar pencapaian pendidikan.

Dia yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah memberitahu, kadang-kadang perubahan sikap seseorang berlaku disebabkan pengaruh kawan-kawan.

Ulasan