‘Teruskan sahaja berdebat dengan pasu bunga’


‘Teruskan sahaja berdebat dengan pasu bunga’
February 16, 2025

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyindir tindakan Pemuda PAN yang mengugut mahu meletakkan pasu bunga sekiranya wakil mereka tidak hadir ke debat yang dicadangkan.

Setiausaha Pemuda PAS Malaysia, Khidhir Izaidin menegaskan bahawa Pemuda PAN kelihatan terdesak untuk menarik perhatian dengan cadangan debat itu.

“Jika Pemuda PAN benar-benar mahu berdebat demi kepentingan umat, lebih baik mereka cari lawan yang lebih relevan seperti DAP, parti yang secara terang-terangan tidak menghormati Islam dan sering mencabar batasan umat Islam di negara ini.

“Atau mungkin Pemuda PAN sendiri tidak berani menegur ‘abang besar’ mereka?” katanya kepada Harakahdaily, tadi.

Justeru, Khidhir mencadangkan Pemuda PAN teruskan sahaja berdebat dengan pasu bunga seperti dinyatakan sayap parti itu.

“Mungkin itu lebih sesuai dengan tahap dan kelayakan mereka. Boleh masukkan dalam buku laporan mesyuarat agung,” katanya.

Terdahulu, Pemuda PAN sekali lagi menggesa Pemuda PAS untuk mengadakan sesi dialog yang kononnya bagi menyelesaikan segala masalah yang dihadapi oleh kedua parti politik tersebut.

Sekretariatnya, Dr Mohamed Nashrudin Naharudin berkata, pihaknya telah memberi undangan dengan menghantar sendiri e-mel dan surat secara fizikal ke Pejabat Agung PAS di Jalan Raja Laut. – HARAKAHDAILY 16/2/2025

Ulasan