Tidak perlu tunggu Ramadan kawal nafsu, emosi



Tidak perlu tunggu Ramadan kawal nafsu, emosi
Oleh Adlinahani Binti Khalil
27 Februari 2025, 7:07 am

UMAT Islam di negara ini dijangka menyambut ketibaan Ramadan pada Ahad ini, sekali gus menandakan bermulanya ibadah puasa.

Bila sebut puasa, ramai akan nasihatkan kita supaya jaga perangai, jaga emosi dan jaga nafsu supaya ibadah kita diterima sepanjang Ramadan.

Ramadan juga menjadi antara bulan paling mulia dalam kalendar Islam apabila umatNya diberi ganjaran dan pahala berlipat ganda bagi setiap amalan kebaikan yang dilakukan.

Namun, itu tidak bermakna kita hanya perlu menjaga sikap dan nafsu bila setiap kali tiba Ramadan dan seolah-olah bulan lain dalam Islam, kita boleh ‘buat perangai’

Perlu dihentikan ayat-ayat seperti ‘ini bulan puasa, kawal sikit kemarahan anda’, ‘Ramadan bukan sahaja tahan lapar dan dahaga, tapi juga kena kawal perlakuan’ kerana manusia secara lumrahnya dituntut supaya sentiasa berkelakuan baik, tanpa spesifik kepada mana-mana bulan.

Cumanya, Allah SWT menjanjikan ganjaran dan pahala dalam Ramadan adalah istimewa dan kita sebagai umatNya perlu berusaha mendapatkannya.

Tapi, sedar atau tidak, Ramadan juga bulan yang boleh menunjukkan ‘sisi sebenar’ seseorang itu. Manusia ini, bila dilanda kesusahan, kesakitan dan kelaparan, sikap sebenarnya pasti akan keluar, sama ada boleh dikawal atau tidak.

Sebagai contoh, bila berada di bazar Ramadan, kita pasti akan mencari juadah kegemaran untuk berbuka puasa, dan percaya atau tidak, kita boleh ‘naik angin’ jika melihat orang yang beratur di gerai menjual makanan kesukaan itu seperti ‘ular kena palu’.

Automatik rasa mahu memberontak dan terus mempersoalkan kenapa ramai sangat mahu membeli juadah itu, tiada ada hari lainkah untuk mereka beli dan makan?

Sedangkan, jika tidak puasa, tidak kisah pun berapa ramainya orang beratur, malah kita sendiri sanggup sama-sama beratur lama asalkan dapat membeli.

Belum lagi dengan situasi ketika tengah memandu, tiba-tiba ada kenderaan lain ‘pancung’ kereta kita sehingga perlu menekan brek mengejut .

Jika tidak berpuasa pun kita boleh tekan hon selama yang mungkin sebagai tanda protes, atau lebih teruk terus mengejar kereta itu kononnya kita pun boleh berlagak samseng.

Bayangkan situasi itu ketika kita sedang berpuasa, sudahlah perut lapar, waktu berbuka pula lambat lagi, rasanya kalau boleh buat undang-undang sendiri, pasti kita sudah ‘kerjakan’ kereta tersebut.
Kesimpulannya, tidak kisah bulan puasa atau bukan, kita perlu kawal emosi, sikap dan juga percakapan supaya tidak menjejaskan mana-mana pihak.

Kita boleh gunakan Ramadan ini sebagai platform untuk melatih diri menjadi lebih penyabar dan bersikap terbuka serta cuba mengekalkannya selama yang boleh.

Jangan sebaik sahaja Ramadan berakhir, belang sebenar pun keluar.

Saya ingin memohon maaf andai ada terkasar bahasa dan mudah-mudahan ibadah puasa kita diterima Allah SWT. Selamat berpuasa semua.

Adlinahani Khalil ialah Pengarang Utusan Malaysia.

Ulasan