'Tongkat', merit, geopolitik cabaran orang kita


'Tongkat', merit, geopolitik cabaran orang kita

Oleh Zulkifli Jalil - Februari 24, 2025 @ 2:32pm
Kongsi seorang rakan kepada penulis, dulu pada tahun 1970-an, dia buat kerja sekolah dan menelaah bertemankan pelita ayam. Menulis pula dengan meniarap atas tikar. Tiada meja, kerusi.

Melihat ke belakang, kemajuan katanya berjalan begitu pantas. Berhijrah dia hidup di kota, berkahwin beranak pinak.

Kongsinya lagi, kaum lain masa itu kehidupannya cukup daif. Rumah robek, berteduh di Tanah Melayu, terbiar tepi paya dan lain-lain sukarnya. Tetapi lihatlah hari ini, dengan kerja keras dan kerajinan tinggi, mereka berjaya dalam ekonomi.

Hari ini masuk 2025, kita semua pastinya menaruh keyakinan untuk melihat kehidupan rakyat selesa, tenang dan aman damai. Kalau kaya itu bonus, tetapi bersederhana sudah cukup, dengan membuang minda yang toksik dan gemar putar belit.

Jadikan merit itu satu agenda hidup untuk berjaya, tanpa bersandarkan kepada `tongkat' lagi.

Berpijaklah di bumi nyata. Isu perpecahan dalam politik sebangsa, seagama tidak akan timbul jika pihak-pihak terbabit dari akar umbi hingga kepemimpinan atasan politiknya memiliki ciri pemikiran kebangsaan.

Berpengetahuan luas, baik pergaulannya tetapi tetap berpegang pada nilai-nilai budaya, adat resam, keIslamannya.

Istilah pemikiran kebangsaan ini tidak sahaja melahirkan jaguh kampung, tetapi jauh lebih lagi dengan rakyatnya mencerminkan pencapaian.

Jika dalam industri, piawaiannya adalah usahawan bergiat dalam industri berteknologi tinggi dan berjaya pada tahapnya. Kalau dalam agama, bukan setakat mampu mengungkapkan firman dan hadis dengan manfaat untuk kebaikan ummah, bahkan boleh mengimbangkan antara soal dunia dan akhirat dengan berkesan.

Kita amat perlukan arena politik aras tinggi. Jika kita boleh berfikir secara terbuka dengan keinsafan, akan diakui politik itulah merubah negara bangsa. Kerana melalui prosesnya, ketentuan perjuangan dan hak-hak individu serta kelompok dapat dinyata dan diterjemahkan.

Kuasa politik itulah melahirkan Semenanjung Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak serta perkembangannya pula mampu mengubah sejarah tanah air. Kuasa politik itulah menjamin hak-hak di bawah Perkara 153 Perlembagaan.

Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152), berkuasanya raja-raja Melayu, wujudnya pengasingan kuasa, norma pentadbiran - semuanya hasil perjuangan politik. Kuasa politik itulah menjamin tanah sawah tidak susut dan kedaulatan negara dijamin.

Perlu kita semua, lagi-lagilah memiliki kuasa untuk sentiasa memaklumi, berwaspada dan bertindak cepat ke atas isu-isu geopolitik semasa. Dengan nikmat keharmonian dan kestabilan dikecapi 33 juta rakyat, jangan kita sesekali alpa.

Pemimpin harus membawa kebijaksanaan dalam petua-petua dan ucapannya. Pernah ada yang gagal tangani minyak subsidi dengan di selatan Thai dilaporkan berlambak minyak subsidi kita. Tiada dasar makanan kebangsaan dan dasar penimbalnya.

Jadi, usah diulangi oleh kerajaan hari ini. Ini bukan zaman untuk bereksperimen. Kalau pemimpin, kena cerdik orangnya, pada masa inilah.

Kombinasi orang Bangladesh, Indonesia dan China adakah terlampau ramai di negara ini? Kita sebut sejuta lebih, tetapi dalam sistem penguat kuasa, perlulah disahihkan.

Kalau ikut sistem kementerian terbabit, tenaga manusia tidak cukup. Jadi, macam mana mereka ini masuk? Jangan jadi macam cerita Rom pula.

Kita perlu khuatir dalam tempoh lima tahun, orang kita hilang pegangannya disebabkan orang luar sudah terlampau ramai. Orang kita 'tak reti' basuh kereta sendiri, tanam kacang pun tak boleh. Oh gerun juga memikirkan hal ini.

Ini termasuk juga dasar luar kita yang perlu kuat. 'Mendidih juga darah' bila tengok dasar luar kita sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tempoh hari tidak keruan.

Justeru rakyat Malaysia terutama kepemimpinannya perlu sentiasa berwaspada dengan ancaman anasir luar. Perlu banyak menjelaskan dan menjawab isu babitkan geopolitik berkisar pencerobohan asing di luar sana - ancaman Zionis serta kuasa besar di ruang udara Sabah dan perairan Laut China Selatan.

Tanah air ini pernah hilang wilayahnya yang kecil sedikit dari Perlis, disusuli pulau sebesar separuh padang bola sepak. Namun mujurlah Sipadan dan Ligitan haknya kepada kita.

Bab geopolitik ini harus menjadi perhatian serius badan tersohor mengendalikan hal ehwal sejarah negara. Ia harus libatkan kepakaran antarabangsa, wilayah serta tempatan dalam apa jua program bertemakan sejarah.

Hakikatnya, terlalu banyak hal dan perkara sejarah di Sabah dan Sarawak misalnya, masih kabur dan tidak sampai paras muktamad. Tuntutan Filipina dan 'geng Sulu' terhadap Sabah; kesan sejarah pentadbiran Brunei terhadap wilayah Sarawak dan Sabah serta apa yang dinamakan watershed areas.

Kawasan ini yang dilakukan pemetaannya oleh Inggeris, banyak dipertikai kerana tiadanya batu sempadan. Itu belum lagi bicara yang cukup rumit membabitkan pemilikan lebih 700 terumbu, beting dan rabung sudah 'ditandakan' banyak negara di perairan luas Laut China Selatan.

Masalah kita hari ini, dengan pakar sejarah mana boleh dirujuk? Masyarakat barangkali mudah terpegun dan terima sahaja huraian berkaitan sejarah sehingga tidak ada modul yang berperanan menapis fakta dan analisis.



Tidak ketahuan sama ada kita ada modul standard atau piagam sejarah yang boleh dan layak dianggap seratus peratus autoritatif dalam menentukan sejarawan mana yang 'boleh tahan', yang baik, yang neutral, yang terperinci kajian serta naratifnya.

'Politik cantas' cetuskan rasa cemas

Fikir, renung dan lihat sekeliling. Kerana kesan 'politik cantas' menggila diamalkan semenjak lima tahun kebelakangan mencetuskan rasa cemas.

Berikutan keadaan `hilang mata pencarian, isu rasuah dan kebebasan kehakiman, berlakunya kronisme serta kesan-kesan lain yang mudarat, maka kecenderungan untuk terus akur kepada kepimpinan yang ada sudah menjadi kian tipis.

Rakan penulis di mukadimah coretan ini sudah menginjak umur 59 tahun, setahun lagi ke usia warga emas.

"Segala kemungkaran politik, undang-undang, ekonomi dan pentadbiran seharusnya dipulihkan segera. Kalau tidak, Malaysia sukar menggapai impian menjadi negara berdaya saing," katanya.

Unsur-unsur tradisi perjuangan harus dicari kembali. Kalau tercicir dicari, kalau hanyut dipintas. Jika tidak diamalkan, rakyat akan hilang sifat bangsanya sendiri dan terus jadi kumpulan manusia kurang ajar.

Demikian juga tradisi bangsa melalui bahasa dan adat resam, jangan dipermudah dan diubah suai mengikut kehendak politik semata-mata.

Begitu juga halnya dengan penghormatan dalam mentadbir dan menyempurnakan politik kuasa yang tidak boleh melalui paksaan atau budaya tipu helah. Mesti ia diwarisi melalui proses yang wujud dan diteraskan melalui perjuangan asal.

Kebebasan kehakiman adalah tuntutan tertinggi. Negara akan dihormati dan dicintai dari luar dan dalam sekiranya keluhuran undang-undang itu tidak dirompak atau dicabul seperti 'sekerap kita mengganti baju dalam'.

Penulis adalah Pengarang Kumpulan BH

Ulasan