
Trump mahu ‘kejar’ hasil pulangan wang bantuan ke Ukraine
Oleh Wartawan Luar Negara
23 Februari 2025, 9:30 pm
WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menegaskan sedang berusaha mendapatkan semula wang berbilion-bilion dolar yang dihantar Washington untuk menyokong perang Ukraine terhadap Russia.
Beliau berkata demikian ketika Washington dan Kyiv merundingkan perjanjian sumber galian sebagai pampasan kepada bantuan yang diberikan oleh bekas Presiden AS, Joe Biden.
Ia adalah usaha terbaharu Trump sejak memegang jawatan, di mana beliau telah mengubah dasar luar AS dengan membuat tawaran diplomatik terhadap Kremlin tanpa merujuk Ukraine dan Eropah.
Trump meminta galian nadir bernilai AS$500 bilion (RM2.2 trilion) sebagai harga bantuan yang diberikan kepada Ukraine.
Trump mengumumkan perkara itu ketika berucap di Sidang Tindakan Politik Konservatif (CPAC) Washington semalam.
“Saya cuba mendapatkan semula wang kami. Saya mahu mereka memberikan kami sesuatu sebagai timbal balas kepada wang yang kami hulurkan. Kami meminta galian nadir atau apa sahaja yang kami boleh dapat,” kata Trump.
Beberapa jam sebelum itu satu sumber memberitahu AFP bahawa Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky tidak bersedia menandatangani perjanjian itu walaupun ditekan oleh AS.
Ukraine sebaliknya mahu sebarang perjanjian yang dimeterai bersama AS meliputi jaminan keselamatan ketika Kyiv memerangi pencerobohan Moscow selama hampir tiga tahun.
Situasi bertambah buruk selepas Washington mengusulkan resolusi konflik Ukraine kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) tanpa menyebut wilayah Kyiv yang ditakluki oleh Russia. – AFP
Ulasan
Catat Ulasan