

Berita
ULASAN | Apa status Petronas di Sarawak?
Diterbitkan: Feb 26, 2025 8:00 AMApakah status Petronas di Sarawak?
Banyak kenyataan yang dibaca di media menunjukkan wujudnya persefahaman antara Petronas dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) dalam rundingan kedua pihak.
Laporan media pada 14 Januari menyebut Perdana Menteri Anwar Ibrahim, ketika sidang media sebelum mengakhiri lawatan kerja ke Emiriah Arab Bersatu (UAE), percaya isu berkaitan hak pengedaran gas di Sarawak antara Petronas dan Petros ditangani dengan sewajarnya selepas pertemuannya dengan premier negeri itu Abang Johari Abang Openg.
Menurut perdana menteri, Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA74) terus diterima sebagai rangka kerja utama pengurusan industri minyak dan gas negara.
Selain itu, katanya, Ordinan Pengedaran Gas Sarawak 2016 juga tidak akan menggantikan PDA74 dan Perlembagaan Persekutuan, termasuk undang-undang persekutuan lain.
Jelasnya, perkara itu diputuskan selepas kerajaan pusat mengadakan sesi libat urus dengan Petronas, kerajaan Sarawak dan Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk membincangkan isu terbabit, sambil menegaskan bahawa ia bukan isu dasar.
Dalam laporan Borneo Post pada 13 Februari, Abang Johari menyebut masih terdapat perkara yang perlu diselesaikan berhubung isu minyak dan gas Petronas dan Petros.
“Lebih kurang muktamad, tetapi masih ada perkara samar-samar disebabkan salah maklumat.
“Hakikatnya, situasi jelas tetapi maklumat salah mengeruhkan keadaan,” katanya pada pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian jual beli bagi pengambilalihan MASwings antara kerajaan negeri dan Malaysia Aviation Group di Kuching.

Abang Johari menzahirkan ucapan terima kasih kepada perdana menteri kerana mengiktiraf Petros sebagai agregator gas di Sarawak.Beliau menambah Kerajaan Sarawak bersedia mengadakan perbincangan dengan Kerajaan Persekutuan bagi memperincikan skop kerjasama antara Petros dan Petronas.
Yang samar-samar
Apakah perkara samar-samar yang disebabkan oleh salah maklumat membawa kepada kurang muktamad yang perlu diselesaikan?
Ia harus dijelaskan kerana tidak mahu sebarang spekulasi timbul?
Jika dibiarkan akan banyak spekulasi merebak di media sosial dan ulasan-ulasan negatif di media.
Jika dibiarkan berlarutan ia akan mengeruhkan keadaan dan kenyataan-kenyataan yang bernada sinis akan muncul berterusan.
Kita tidak tahu sama ada wujud tarikh akhir yang ditetapkan atau dilanjutkan kepada tarikh lain, yang membawa kepada penerusan rundingan yang dikatakan sudah diselesaikan perkara-perkara dasar.
Bukan sahaja negara menantikan malah seluruh dunia industri minyak dan gas menunggu keputusan rundingan ini.

Perkara penting ialah pencapaian kesepakatan antara Petronas dan Petros yang dilihat sebagai komitmen bersama untuk pembangunan tenaga lestari, meneguhkan federalisme, pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat Sarawak serta Malaysia secara keseluruhan.
Oleh itu penting untuk kita mengetahui status Petronas supaya jelas peranannya di Sarawak sebagaimana peranan Petros sebagai agregator gas tunggal di Bumi Kenyalang dan haknya ke atas perniagaan gas memasak untuk kegunaan domestik.
Petros dilantik sebagai satu-satunya agregator gas Sarawak, memastikan sistem pengagihan lebih teratur dan cekap untuk keperluan domestik negeri tersebut.
Bahkan dari segi jaminan bekalan yang menyaksikan perjanjian ini menjamin Petros sehingga 1.2 bilion kaki padu gas asli setiap hari, dengan peruntukan bekalan tambahan berdasarkan keperluan masa hadapan, sekali gus memastikan keperluan tenaga Sarawak terjamin.
Dalam rangka kerjasama ini kedua-dua entiti komited untuk menggunakan pendekatan berunding, memupuk prinsip komersial yang telus dan manfaat bersama dalam semua usaha masa depan.
Namun sekali lagi ditanya apakah status Petronas di Sarawak, ramai yang masih tertanya-tanya kerana peranan Petros sudah jelas.
Sebelum ini perdana menteri menegaskan bahawa Petronas bukanlah syarikat Semenanjung sebaliknya milik negara, seperti digariskan bawah PDA74.
Tiada kompromi
Akta tersebut menjelaskan Petronas masih diiktiraf sebagai syarikat minyak negara yang mempunyai kuasa penuh dalam mengawal selia seluruh pembangunan industri minyak dan gas di negara ini, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.
Tegas Anwar, tiada kompromi berhubung perkara itu, di sebalik kebimbangan terhadap permintaan Sarawak ke atas hak milik minyak di wilayah tersebut.
Jadinya Petronas dijangka mengekalkan perniagaan eksport gas asli manakala Sarawak akan mengawal pengagregatan gas domestik di negeri itu.

Pada Januari lepas, Anwar dilaporkan berkata Petros diberi kuasa sebagai agregator tunggal gas Sarawak dan ini tidak akan mengganggu operasi sedia ada Petronas.
"Petronas mengekalkan kuasanya di seluruh negara, tetapi membenarkan Sarawak mengawal pengedaran gas untuk tujuan domestik.” (Utusan Borneo, 10 Februari 2025)
Namun tiada ketegasan muktamad tentang perkara ini daripada kerajaan negeri Sarawak.
Adakah rundingan yang sedang berlansung mengiktiraf peranan Petronas sebagai pengeksport gas asli cecair (LNG)?
Banyak kenyataan umum mengenai sambutan baik kerjasama kedua pihak Petronas-Petros sesuatu yang sangat dialu-alukan.
Tetapi jika ia disepakati sebagaimana kenyataan Premier Sarawak, kenapa masih menyebut bahawa Sarawak mempunyai kuasa membuat keputusan berhubung pengagihan sumber minyak dan gas (O&G) dalam wilayah negeri ini. (Utusan Borneo, 10 Februari 2025)
Bahkan beliau menyebut bahawa Sarawak mengiktiraf PDA74 yang menetapkan Petronas mengurus semua sumber minyak dan gas persekutuan di seluruh negara.
"Kita terima ini tetapi pengeluaran (minyak dan gas) dalam wilayah Sarawak, Sarawak mesti ada suara.”
Adakah ia merangkumi LNG? Ini bermakna adakah Petronas masih tertakluk kepada kebenaran kerajaan negeri dalam eksport LNG?
Padahal perdana menteri telah menyatakan Petronas akan mengekalkan semua perjanjian domestik dan antarabangsa sedia ada di Sarawak walaupun selepas Petros mengambil alih kawalan pengagihan gas di negeri itu sebagai agregator berkuat kuasa 1 Mac.
Anwar berkata ketika sidang Dewan Rakyat bahawa, ‘kemunculan’ Petros masih mengesahkan kelulusan aktiviti petroleum sebelumnya kepada Petronas dan anak-anak syarikatnya.
Milik negara bernama Malaysia
Diharapkan perkara ini dimuktamadkan dengan penuh telus oleh kerajaan Sarawak dalam membuat kenyataan tegas tentang status Petronas di Sarawak supaya tidak ada lagi kenyataan sinis daripada kedua-dua pihak.
Bagi mengelakkan sebarang spekulasi, pemimpin Sarawak harus memberi kefahaman dan penjelasan tuntas kepada rakyat Sarawak dan Malaysia maksud Petronas milik negara serta menghentikan nada serta sentimen negatif.
Petronas adalah milik rakyat dan negara bernama Malaysia.
Peranan dan sumbangan Petronas terhadap kemajuan ekonomi negara dan negeri-negeri pengeluar minyak tidak boleh dilupakan begitu sahaja.
Ratusan juta, malah berbillion ringgit telah dilimpahkan ke negeri-negeri terlibat dari aspek pembangunan infrastruktur, pendidikan, kesihatan, latihan tenaga kerja dan juga pentadbiran.
Bahkan komitmen Sarawak sebagai komponen Kerajaan Perpaduan diberikan pengiktirafan melalui jawatan timbalan perdana menteri.
Ini adalah langkah bersejarah dalam pengagihan dan perkongsian kuasa Putrajaya dan Sarawak.
ISMAIL HASHIM YAHAYA adalah pemerhati geopolitik dan perhubungan antarabangsa.
Ulasan
Catat Ulasan