
Wakil rakyat turut sama ‘hambat ikan’ dengan peserta
February 4, 2025
BALING: Walaupun letih dan penat, namun keseronokan serta kepuasan bermain dapat menghilangkannya, ditambah pula dengan eratan ukhuwah dan jalinan mesra rakan sekumpulan, menjadi kenangan indah yang sukar dilupakan.
Sukan Rakyat anjuran Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Ketil, yang diadakan kelmarin, bukan sahaja meriah tetapi dapat menghimpun masyarakat persekitaran dari pelbagai lapisan umur.
Acara yang diadakan juga menarik, malah ada di antaranya menguji kecekapan, kecerdasan dan kecergasan peserta dengan antara yang dipertandingkan ialah ‘hambat ikan’, tarik tali, boling buah ‘nyoq’ dan lain-lain.
Paling menyeronokkan apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Ketil Mejar (B) Mansor Zakaria yang juga Ahli Majlis Kerajaan Negeri Kedah turut bersama peserta, terjun ke sungai dan menyertai acara ‘hambat ikan’.
Ibarat kata, bukan ‘kaleng-kaleng’ apabila wakil rakyat boleh bersama kanak-kanak dan peserta lain, ‘bertarung’ di dalam acara yang agak mencabar itu.
Keterlibatan Ahli Parlimen Baling, Hassan Saad, ke lokasi program juga secara tidak langsung menjadi motivasi semangat kepada yang hadir.

Sememangnya bukan habuan yang menjadi matlamat walaupun pemenang pasti menerima hadiah, namun lebih penting daripada itu, keseronokan dapat menghilangkan rasa ‘stress’ akibat tugasan rutin seharian.
Masing-masing bersemangat terutama dalam acara berkumpulan untuk memastikan nama mereka tercatat sebagai pemenang.
Sukan Rakyat yang diadakan di Kampung Kuala Darak, Kuala Ketil itu juga dihadiri para Penghulu dan Majlis Ketua Kampung (MKK) sekitar DUN tersebut.
Pastinya kisah Sukan Rakyat yang meriah dan penuh keceriaan itu, menjadi bahan cerita pelajar sekolah kepada rakan sebaya apabila sesi persekolahan dibuka semula 16 Februari nanti.
Justeru, pastinya program seperti itu akan diadakan lagi, walaupun tidak selalu tetapi dijadikan acara tahunan kepada PKWR tersebut dan kemungkinan, acara lebih mencabar ditawarkan pada masa akan datang. – HARAKAHDAILY 4/2/2025



share & sebarkan:
Ulasan
Catat Ulasan