126 projek tebatan banjir siap 2030



126 projek tebatan banjir siap 2030
Pemandangan kawasan banjir di Bintulu yang dirakam oleh Unit Dron Angkatan Pertahanan Awam Sarawak pada 30 Januari lalu.
Oleh FATIN NORIZATI MAT ISA
3 Mac 2025, 7:00 am

PETALING JAYA: Semua 126 projek Rancangan Tebatan Banjir (RBT) di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) yang merupakan jalan penyelesaian masalah banjir dijangka siap sepenuhnya menjelang 2030.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, sebanyak 13 projek RTB dengan kos RM455.9 juta sudah selesai yang merangkumi 10.32 peratus daripada 126 projek tersebut.

FADILLAH YUSOF

Beliau yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, semua projek tebatan banjir itu melibatkan kos RM22.57 bilion dan dilaksanakan secara berperingkat bagi memastikan keberkesanan dalam mengurangkan risiko bencana banjir khususnya di kawasan kerap terjejas.

“Setiap projek tebatan banjir dengan objektif mengurangkan bencana pada tahap perlindungan antara 50 hingga 200 Purata Selang Ulangan (ARI) yang mengambil kira perubahan iklim yang ekstrem.

“Pelaksanaan projek-projek ini dijangka mengurangkan bilangan penduduk yang terjejas akibat banjir dan mengurangkan keluasan kawasan risiko banjir,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Malaysia sering berdepan dengan bencana banjir terutama semasa musim tengkujuh yang menyebabkan kemusnahan harta benda, kehilangan nyawa serta gangguan kepada ekonomi dan kehidupan harian penduduk.


Keadaan ini mendorong kerajaan mempergiat usaha melaksanakan projek tebatan banjir bagi mengurangkan impak bencana tersebut.

Fadillah berkata, pelaksanaan projek-projek tebatan banjir sering berdepan cabaran utama seperti proses pengambilan tanah, pengalihan utiliti serta isu-isu luar jangka yang berbeza mengikut lokasi projek.

Katanya, kerjasama dan penyelarasan yang efektif antara agensi-agensi kerajaan amat penting bagi memastikan setiap projek dapat disiapkan mengikut jadual ditetapkan.

“Dengan pelaksanaan projek ini, kerajaan menjangkakan bi­langan penduduk terjejas akibat banjir dapat dikurangkan, selain mengawal kawasan berisiko banjir.

“Kerajaan turut menekankan kepentingan pemantauan hotspot banjir menerusi analisis data dan kajian pelan induk risiko banjir.

“Pendekatan ini membolehkan kerajaan mengenal pasti kawasan yang memerlukan perhatian segera dalam perancangan projek mitigasi banjir yang lebih berkesan,” katanya.

Mengulas mengenai agihan peruntukan, Fadillah berkata, semua permohonan projek baharu dalam setiap Pelan Berperingkat (RP) dikemukakan oleh JPS daerah berdasarkan isu banjir di kawasan masing-masing.

Jelasnya, permohonan ini akan diselaraskan bersama Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebelum melalui proses kelulusan di peringkat JPS pusat dan Kementerian Ekonomi.

“Setiap projek perlu melalui saringan ketat bagi memastikan keberkesanan dan kecekapan pelaksanaannya, termasuk melalui proses pengurusan nilai.

“Kerajaan menggunakan beberapa indikator utama dalam menilai setiap projek, termasuk dari segi keberkesanan kos, pengurangan risiko banjir serta faedah yang diperoleh komuniti terjejas,” katanya.

Fadillah berkata, kementeriannya turut menerima bantuan kepakaran teknikal menerusi Skim Sokongan Tindak Balas Belanda (DSS) dari Belanda bagi meningkatkan kecekapan pengurusan banjir.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memberi khidmat nasihat terhadap cadangan pengurangan risiko banjir serta menilai pembangunan berasaskan alam semula jadi (NBS).

“Kerjasama dengan universiti awam dan swasta bagi mendapatkan penyelesaian holistik dalam pengurusan banjir, termasuk menerusi Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) yang mengadaptasi konsep Manual Saliran Mesra Alam (MSMA) adalah satu langkah penting dalam merancang pembangunan sistem saliran yang lebih sistematik,” katanya.

Pada 17 April 2023, Majlis Pe­rancang Fizikal Negara (MPFN) telah bersetuju untuk mewajibkan pemakaian PISMA dalam pembangunan tanah oleh semua Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi mengurangkan risiko banjir kilat akibat pembangunan yang pesat.

Beliau berkata, kerajaan turut mengamalkan Pengurusan Banjir Bersepadu yang mengimbangi kaedah struktur dan bukan struktur bagi melindungi kawasan daripada banjir.

“Kaedah struktur melibatkan pembinaan empangan, kolam takungan, pelebaran sungai, benteng dan sistem pam, manakala kaedah bukan struktur pula menumpukan kepada pengurusan banjir seperti pemantauan, amaran awal serta pengawalan pembangunan.

“Sejak tahun 2000, JPS telah memperkenalkan MSMA bagi memastikan setiap projek pembangunan bersifat mesra alam.

“Program Rama­lan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) turut dibangunkan un­tuk memberi amaran awal kepada penduduk dan mengurangkan kesan bencana banjir,” katanya.

Ulasan