1MDB: Tidak cukup bukti untuk dakwa Zeti



1MDB: Tidak cukup bukti untuk dakwa Zeti
ZETI AKHTAR AZIZ
Oleh ARIF AIMAN ASROL
4 Mac 2025, 6:40 am

PETALING JAYA: Bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz tidak boleh dituduh dalam dakwaan pemindahan berbilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) ke luar negara berikutan keterangan yang tidak mencukupi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, Jabatan Peguam Negara mendapati keterangan yang ada tidak mencukupi untuk mengemukakan tuduhan terhadap Zeti Akhtar.

“Namun begitu, perlu diingatkan bahawa dalam tindakan jenayah, tiada had masa bagi mana-mana pihak untuk dikenakan tindakan,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman web Parlimen pada 27 Februari lalu.

Beliau menjawab soalan daripada Lim Lip Eng (PH-Kepong) mengenai mengapa tiada tindakan dikenakan terhadap Zeti Akhtar atas kesilapannya membiarkan wang 1MDB bernilai berbilion-bilion dipindah ke luar negara.

Azalina turut menjelaskan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah menjalankan siasatan menyeluruh dalam kes penyelewengan 1MDB dan tidak menumpukan kepada mana-mana individu sahaja.

Katanya, siasatan ke atas suami Zeti Akhtar, Datuk Dr. Tawfiq Ayman masih diteruskan oleh Pasukan Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA) Polis Diraja Malaysia (PDRM) di bawah bawah perenggan 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) bersabit laporan polis Dang Wangi repot: 12267/18.

“Pihak AMLA PDRM tiada membuka kertas siasatan terhadap Zeti Akhtar dan ahli keluarga.

“Walau bagaimanapun, pegawai penyiasat AMLA telah menjalankan siasatan dengan mengambil rakaman percakapan di bawah seksyen 32 Akta 613 terhadap Tawfiq, Aziz Ayman dan Alif Ayman Aziz Taufiq Ayman bagi membantu siasatan kes 1MDB,” katanya. – UTUSAN

Ulasan