24 kejadian lubang benam dalam tempoh 5 tahun - JMG


24 kejadian lubang benam dalam tempoh 5 tahun - JMG
06 Mac 2025 10:50am
Masa membaca: 2 minit

JMG merekodkan 24 kejadian lubang benam dalam tempoh lima tahun sejak 2019 hingga 2024. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) merekodkan 24 kejadian lubang benam dalam tempoh lima tahun sejak 2019 hingga 2024, dengan Perak mencatatkan jumlah tertinggi sebanyak 11 kes.

Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRES) menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen memaklumkan tiga kejadian direkodkan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dua di Kelantan dan masing-masing satu di Negeri Sembilan, Kedah, Selangor, Melaka dan Perlis.

"Kementerian ini, melalui JMG sentiasa komited dalam usaha pengurangan risiko bencana geologi di kawasan pembangunan yang melibatkan kawasan sensitif bencana geologi lubang benam untuk memastikan keselamatan awam terjaga,” menurut NRES.

Ia bagi menjawab soalan Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh (PN-Besut) mengenai jumlah kejadian lubang benam yang dilaporkan di negara ini dalam lima tahun terakhir dan langkah kementerian dalam menangani isu berkenaan.

NRES juga memaklumkan, JMG berperanan memberikan ulasan berkaitan penilaian bahaya dan risiko geologi dan turut terlibat dalam penggubalan piawaian terhadap perancangan pembangunan negara di semua peringkat.

Selain itu, kementerian itu menyatakan kesediaan untuk meneliti semakan semula piawaian pembangunan melibatkan kawasan berisiko tinggi lubang benam bagi meningkatkan keselamatan.


"Maklumat utama yang perlu diberi penekanan adalah maklumat geologi persekitaran tapak pembangunan yang menjadi asas kepada penyediaan laporan cadangan pemajuan dan laporan geoteknikal,” menurut NRES. - Bernama

Ulasan