
26 Mac: Anak muda turun pertahan Kg Sungai Baru
March 24, 2025
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia menyeru anak muda untuk turun ke Kampung Sungai Baru pada 26 Mac ini bagi menyatakan solidariti terhadap penduduk yang berdepan pengusiran tanpa rundingan adil.
Ketuanya, Ustaz Afnan Hamimi Dato’ Taib Azamudden menegaskan bahawa arahan pengosongan kampung sebelum tarikh tersebut bukan sekadar pemindahan biasa, tetapi satu bentuk pengusiran tanpa nilai kemanusiaan yang mencabul hak penduduk tempatan.
“Tanpa rundingan yang adil dan penyelesaian yang saksama, mereka dipaksa meninggalkan kediaman yang telah diwarisi turun-temurun.
“Lebih menyayat hati, sebelum tempoh akhir yang ditetapkan, kawasan ini telah dipagarkan, seolah-olah menahan penduduk dalam ruang yang semakin mengecil.
“Keadaan ini menyebabkan mereka menyamakan Kampung Sungai Baru dengan ‘Little Gaza’ kerana ditekan, dizalimi, dan dinafikan hak oleh pihak berkepentingan,” katanya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah Ahli Parlimen Alor Setar itu, kampung itu bukan sekadar tempat tinggal tetapi sebahagian daripada sejarah dan warisan bangsa.
Tanah tersebut jelasnya merupakan Tanah Rizab Melayu dan pemiliknya mempunyai geran yang sah, justeru hak mereka sepatutnya lebih utama berbanding kepentingan pemaju yang hanya mengejar keuntungan.
“Penganiayaan ini tidak boleh dibiarkan berlarutan. Penduduk Kampung Sungai Baru memerlukan kita semua. Biar putih tulang jangan putih mata, membujur lalu melintang patah!
“Mereka tidak boleh dibiarkan berjuang sendirian lagi, ayuh anak muda yang berani, kita pertahan dan bangkit bersama,” serunya. – HARAKAHDAILY 24/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan