
85% rakyat terpaksa bekerja sepanjang hayat
Seorang lelaki mengutip besi buruk di sebuah kawasan lapang untuk dijual berikutan pendapatannya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan tidak mencukupi bagi menampung hidup seharian. - UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI
Oleh ARIF AIMAN ASROL
8 Mac 2025, 7:00 am
PETALING JAYA: Kira-kira 85 peratus rakyat terpaksa bekerja sepanjang hayat bagi menampung keperluan hidup kerana tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bersara.
Ia termasuk dalam kalangan pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) terutama selepas berlaku desakan pengeluaran yang berulang.
Keadaan itu menyebabkan jumlah simpanan hari tua mereka ‘dikeluarkan’ untuk kegunaan semasa muda sedangkan masih bertenaga untuk mencari wang.
Situasi dijangka bertambah buruk apabila Malaysia bergerak dengan pantas ke arah negara menua dengan sekurang-kurangnya 14 peratus dari populasinya akan berumur 65 tahun dan ke atas menjelang 2043.
Pakar ekonomi dari Universiti Sains dan Teknologi Malaysia (MUST), Prof Emeritus Dr. Barjoyai Bardai berkata, hanya 15 peratus rakyat Malaysia sahaja yang boleh berhenti kerja selepas mencapai umur 60 tahun dan menikmati usia emas mereka.
Katanya, pencarum yang terdesak sering melihat akaun KWSP mereka sebagai perkara paling mudah untuk ‘dicapai’ dan menyelamatkan diri dari tekanan kos sara hidup sekali gus menyebabkan mereka mendesak kerajaan untuk membenarkan pengeluaran.
“Masalah paling penting adalah ketidakcukupan pendapatan untuk menampung perbelanjaan dan kos sara hidup, isi rumah ini seperti orang yang berada di tengah laut serta hampir tenggelam jadi mereka mencari apa sahaja yang boleh dicapai untuk hidup. Dalam kes ini, paling mudah adalah akaun KWSP.
“Sedangkan KWSP adalah untuk hari tua dan matlamatnya adalah setiap orang mesti bersara dengan sekurang-kurangnya RM250,000 simpanan. Tetapi jumlah itu pun sebenarnya sangat tidak cukup kerana hanya boleh berbelanja RM1,500 sebulan sahaja.
“Persoalannya sekarang, terdapat enam juta pencarum yang baki akaun KWSP kurang dari RM10,000 dan ada tiga juta lagi hanya mempunyai RM1,000 sahaja. Jadi mereka ini memang tidak boleh bersara, yang boleh hanya 15 peratus sahaja iaitu mempunyai simpanan lebih RM250,000,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Terdahulu, akhbar ini melaporkan, desakan supaya kerajaan membenarkan pengeluaran khas daripada akaun KWSP boleh menyebabkan orang Melayu ketinggalan dari segi pendapatan, sekali gus mewujudkan jurang simpanan dengan kaum lain.
Ini selepas statistik KWSP mendedahkan pencarum Melayu hanya mempunyai RM43,843 purata simpanan iaitu jauh ketinggalan dari Cina (RM151,988) dan India (RM72,582).
Barjoyai berkata, negara memerlukan usaha alternatif bagi mengatasi penduduk yang mempunyai pendapatan tidak mencukupi untuk hidup.
“Ini dipanggil sebagai Institusi Keselamatan Sosial, ia perlu ditubuhkan kerana ia akan mempunyai satu tabungan wakaf yang setiap bulan pendapatannya boleh digunakan untuk menampung kumpulan memerlukan,” jelasnya.
Pensyarah Kanan Ekonomi di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Bashir Ahmad Shabir Ahmad berkata, desakan pengeluaran khas KWSP adalah tidak wajar memandangkan kerajaan sudah memberikan fleksbiliti iaitu melalui Akaun Fleksibel (Akaun 3) untuk kegunaan semasa kecemasan.
Jelasnya, hujah bahawa umur mungkin tidak panjang untuk menggunakan wang dari akaun KWSP menyebabkan sebahagian rakyat mendesak pengeluaran khas adalah amat tidak wajar.
“Kerajaan sudah memberi sedikit sebanyak ruang untuk pengeluaran KWSP iaitu antaranya duit itu boleh digunakan untuk tujuan kesihatan, pendidikan, membeli rumah dan sebagainya. Malah, terdapat pelbagai cara untuk mendapatkan duit di luar KWSP iaitu dari segi pinjaman.
“Malah, bantuan kos sara hidup turut diberikan kepada rakyat. Jadi tidak seharusnya kita meletakkan beban sepenuhnya kepada KWSP. Itu tidak praktikal dan tidak seharusnya dilakukan,” katanya.
Tambahnya, rakyat Malaysia perlu memikirkan kesan jangka masa panjang sekiranya mereka terus ingin menggunakan wang dari akaun KWSP untuk menampung kehidupan di usia lebih muda.
“Di Malaysia, had umur untuk orang tua adalah 75 tahun. Bermaksud, kebarangkalian untuk kita mencapai umur tersebut adalah ramai. Jadi macam mana kita nak bertahan hidup jika duit simpanan itu tidak ada,” ujarnya. – UTUSAN
Ulasan
Catat Ulasan