‘Ahli parlimen malulah kalau tetap begini’


‘Ahli parlimen malulah kalau tetap begini’
TAN SRI MOHAMAD ARIFF MD. YUSOF.
Oleh MOHD FADHLI MOHD SULAIMAN
9 Mac 2025, 9:00 am

MUKADIMAH

SEKETIKA kami terpukau melihat setiap ruang di Cheang & Ariff tersergam indah, malah suasana pejabat terasa tenang dengan pohonan hijau mengelilingi firma guaman itu walaupun terletak di tengah-tengah metropolitan, Kuala Lumpur.

Di situlah kami bertemu bekas Yang Dipertua Dewan Rakyat zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH), TAN SRI MOHAMAD ARIFF MD. YUSOF. Enggan lagi menoleh ke belakang bagaimana beliau mengosongkan kerusinya itu di era Perikatan Nasional (PN) pada 2020, kini, bekas Hakim Mahkamah Rayuan itu beramal sebagai peguam.

Beliau memerhati bagaimana reformasi perundangan berjalan di bawah pentadbiran Kerajaan Perpaduan. Ikuti wawancaranya bersama wartawan, MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN; juruvideo, MOHD. KAMARUL HASIFI KAMARUDIN dan jurugambar, SHIDDIEQIIN ZON, baru-baru ini.

MINGGUAN MALAYSIA: Sudah lama tidak bersua selepas kosongkan kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat. Semakin sibuk sekarang?
MOHAMAD ARIFF: Alhamdulillah, saya sihat dan masih sibuk bekerja sebagai peguam. Semasa menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, ini hanya satu fasa dalam kehidupan saya walaupun hanya dua tahun pegang jawatan ini. Pengalaman yang berbeza, tetapi, ia satu pekerjaan paling susah dalam kerjaya saya. Jujurnya, saya lebih suka menjadi hakim dan peguam berbanding menjadi jawatan yang satu ini.

Apa pendapat Tan Sri mengenai Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2025 dan RUU Perkhidmatan Parlimen 2025 yang diluluskan baru-baru ini?
Ini perkembangan amat baik untuk reformasi institusi Parlimen kerana semasa saya menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat dahulu, banyak perbincangan untuk merangkanya, namun mengambil masa terlalu lama. Pun begitu, undi baru-baru ini tipis iaitu 148 undi menyokong dengan 57 tidak mengundi, manakala 17. Keadaan ini (tidak menyokong) sebenarnya menggambarkan karakter sebenar ahli-ahli Parlimen kita yang kurang baik.

Karakter yang bagaimana?

Dalam penambahbaikan institusi Parlimen, seharusnya mereka sedar dan sebulat suara mengundi meluluskannya kecuali ahli Parlimen yang tidak dapat hadir. Negara menunggu sekian lama untuk menggubal akta ini menjadikan Parlimen sebagai institusi lebih bebas daripada cengkaman Eksekutif. Parlimen tidak boleh dijadikan seolah-olah jabatan kerajaan. Namun, mengapa masih ada yang ‘bising-bising’ membantah akta ini? Mengapa 57 orang ini tidak menyokong? Apakah justifikasi yang boleh diterima?

KHIANAT REFORMASI

Adakah mereka tidak mengundi RUU itu dianggap mengkhianati reformasi?
Memang benar. Mungkin ramai yang tidak suka menggunakan perkataan reformasi sebab ada intonasi politiknya. Persoalannya, mengapa perlu mengkhianati reformasi Parlimen sedangkan ini perkara yang positif? Mengapa ahli Parlimen enggan menyokong sedangkan mereka tahu pindaan Perlembagaan bukan bertujuan mengukuhkan kuasa Eksekutif?

Sebaliknya, ia akan melonggarkan lagi kuasa Eksekutif apabila Akta Perkhidmatan Parlimen digubal dan diwartakan. Apakah ada agenda di sebalik keputusan enggan menyokong? Bagi saya ini amat memalukan. Saya harap mereka sebagai wakil rakyat berasa malu.
‘IBU’ REFORMASI

Benarkah RUU Perkhidmatan Parlimen ibu segala reformasi?

Saya tidak setuju. Mana ada ‘ibu’ dalam reformasi undang-undang. Tidak ada, kerana perkara ini melibatkan proses. Mungkin ia hanya merujuk kepada kebebasan atau kedudukan Parlimen sebagai bebas. Tetapi, ia bukan ibu kepada reformasi undang-undang.

Kalau bukan Akta Perkhidmatan Parlimen, apa undang-undang yang menjadi induk kepada reformasi perundangan?
Tiada. Perlembagaan Persekutuan adalah induk kepada semua undang-undang dalam negara. Ini sahaja. Selain daripada perlembagaan, buatlah undang-undang yang perlu selagi tidak bercanggah dengan perlembagaan.

Adakah kebebasan yang dimiliki melalui Akta Perkhidmatan Parlimen sebagai satu kebebasan mutlak tanpa pengaruh sepenuhnya daripada Eksekutif?

Mustahillah tiada langsung pengaruh oleh pihak Eksekutif, sebab sistem negara kita adalah sistem kerajaan berparlimen. Perdana menteri akan terus menjadi ketua Dewan dan beliau juga ahli Parlimen. Begitu juga ramai menteri adalah ahli Dewan Rakyat dan sebahagiannya Senator yang mendapat kedudukan mereka daripada Dewan. Jadi, dengan sekali gus, tiada pengasingan kuasa yang ketat pun.

KUALITI

Kualiti perbahasan ahli Parlimen berbahas?

Setiap kali persidangan ada sahaja perangai jelik yang tidak boleh diterima padahal kita (Malaysia) mahu menuju ke arah institusi Parlimen yang lebih matang dan berperlembagaan, sesuai dengan budaya dan norma masyarakat. Hiruk-pikuk yang berlaku di Parlimen hingga sekarang tidak boleh dibenarkan terus berlanjutan. Malangnya, segelintir ahli Parlimen masih berperangai begini.

Walaupun diusir dari Dewan Rakyat sehingga ada yang digantung untuk tempoh yang lama, namun, apabila balik semula ke Dewan Rakyat mereka masih menunjukkan perangai sama. Nasihat saya, berubahlah. Malu kita kalau tetap begini, ketika kita menuju ke arah kematangan.

Perangai macam mana?

Perangai yang mengganggu perbahasanlah. Mereka berdiri dan bercakap dengan menimbulkan peraturan mesyuarat, namun bukan untuk tujuan sebenar. Sebaliknya, hanya untuk skor poin dan tujuan politik seolah-olah mahu berceramah dalam dewan untuk menunjukkan berapa buruknya kerajaan sekarang ini. Ini bukan tugas ahli Parlimen kerana tugas sebenar ialah membela rakyat, menjadi semak imbang kerajaan.

Semak dan imbang ini bermaksud, apabila kamu (ahli Parlimen) bercakap, mencelah atau berbahas, guna pemikiran yang waras dan bersandarkan fakta untuk mengawal tindakan kerajaan. Jika kamu tidak setuju dengan dasar kerajaan, tunjukkan sebabnya. Jangan balik kepada isu remeh-temeh dan membandingkan yang mereka dahulu lebih baik. Ini bukan Perbahasan Parlimen, ini perbahasan ceramah dan ‘kedai kopi’.

Saya tidak menafikan ramai juga ahli Parlimen menunjukkan prestasi baik, cuma, masalahnya, segelintir mereka menunjukkan kelakuan tidak baik. Mereka fikir, kalau bercakap dengan keras boleh jadi popular. Ini cara tidak betul.

KOD ETIKA

Apa cadangan Tan Sri?
Ramai tanya saya, apa yang boleh dilakukan? Dalam usaha perubahan ini ialah wujudkan apa yang dikatakan sebagai kod etika untuk ahli Parlimen yang sudah ada di banyak negara luar, supaya mereka sedar ada kod etika mesti dipatuhi. Memanglah peraturan mesyuarat sudah ada, namun apa yang disebut di dalamnya hanya secara sampingan. Maka, apakah yang dianggap sebagai ‘perangai’ atau ‘kelakuan terbaik’ ketika berada dalam Parlimen?

Reformasi perundangan negara pula?
Ini satu tajuk perbincangan amat luas dan dalam perkembangan undang-undang negara sentiasa berlaku perubahan. Beratus bahkan beribu undang-undang negara sudah wujud. Ada juga yang belum dan sedang digubal. Ada yang menjadi akta, tetapi harus dipinda. Jadi, kita harus bertindak selangkah demi selangkah.
Tetapi, saya melihat negara sudah sedang menuju ke arah reformasi perundangan yang lebih jelas menyaksikan kerajaan dalam usaha meminda Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 (Akta 711). Begitu juga sebelum ini pindaan terhadap Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) untuk menjadikan undang-undang itu lebih sesuai dalam keadaan sekarang.
DUA DARJAT

Wujudkah undang-undang antara dua darjat?
Ini soalan yang sukar saya jawab. Beginilah, kita hidup dalam sistem politik dan ekonomi yang matang. Semuanya bukan mudah sebegitu. Ada juga undang-undang yang memperjuang rakyat bawahan, ada undang-undang yang mungkin memberi sedikit kelebihan kepada golongan korporat. Ini biasa. Maka, kita perlu lihat secara keseluruhan.
Tetapi, kalau ada satu undang-undang yang membezakan dengan secara drastik antara golongan kaya dan miskin, saya ingat Parlimen tidak akan meluluskannya kerana semuanya mempunyai keseimbangan. Kita tidak akan dapat melihat apakah undang-undang yang memiliki dua darjat.

Apa pendapat Tan Sri tentang pemisahan kuasa antara peranan peguam negara dengan pendakwa raya?
Hal ini juga rumit kerana banyak perkara yang kita tidak dapat lihat pada mata kasar. Peranan antara kedua-duanya mesti dibezakan, jika tidak, peguam negara menjadi terlalu kuat dan berkuasa. Tetapi, pada prinsipnya, peguam negara sebaiknya bertanggungjawab pada Parlimen. Dahulu ada masanya Peguam Negara hadir di Parlimen, malah dilantik dalam kalangan orang politik seperti Allahyarham Tan Sri Hamzah Abu Samah.

Sekarang macam mana?
Peguam negara merupakan penasihat kepada kerajaan dan tidak mempunyai tanggungjawab terhadap Parlimen. Apa sahaja yang dinasihat kepada kerajaan semuanya sulit. Lihat di United Kingdom (UK), sistem di sana menyaksikan peguam negara bertanggungjawab kepada Parlimen. Peguam negara UK akan hadir di House of Commons dan disoal oleh ahli Parlimen.
UNDANG-UNDANG LAPUK
Apa undang-undang yang dianggap lapuk?
Banyak. Akta Kontrak 1950 (Akta 136) misalnya. Memang lapuk. Tetapi, tidak semestinya ia tidak boleh berfungsi. Sebab itu harus kaji dan lakukan apa yang terbaik, tetapi, jangan buat secara terdesak hanya disebabkan mahu perubahan.
SPRM
Bolehkah letak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di bawah Parlimen?
Dahulu pun saya pernah bincang SPRM bukan diletakkan sepenuhnya di bawah kawalan Parlimen, tetapi, hanya pelantikan jawatan SPRM sepatutnya dikawal oleh Parlimen. Ini bagi membolehkan Parlimen mempunyai peranan besar dalam menilai individu yang sesuai memegang jawatan di dalam SPRM. Tetapi, kena fikir hal ini dengan lebih matang kerana meletakkan di bawah Parlimen ada baik dan buruknya juga.
RUU PENDANAAN POLITIK
Bagaimana pula dengan RUU berkaitan pendanaan politik?
Ini satu undang-undang yang baik dan saya optimis ia boleh dilaksana supaya kita lebih terbuka tentang isu pembiayaan lebih-lebih lagi sumbernya daripada politik. Perkara ini rancang dibincang pada 2018 hingga 2022, tetapi, malangnya, Langkah Sheraton menyebabkan perkara ini tertinggal begitu sahaja.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said pun sudah membayangkan sukar untuk memastikan RUU ini dapat digubal sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16 atas alasan banyak perkara yang perlu diperhalusi termasuk mendapatkan pandangan pelbagai pihak berkepentingan.
URA

Apakah RUU Pembaharuan Semula Bandar (URA) berpotensi menyingkirkan kaum Melayu berpendapatan rendah daripada kawasan bandar?
Apa buktinya? Apa cadangan lain yang terbaik kamu (pembangkang) boleh wujudkan? Benarkah Melayu sentiasa akan terpinggir? Nampaknya, perspektif dan pemikiran kita masih tertinggal dalam era 60-an. Seharusnya, apabila ada cadangan begini, buatlah kajian dan bincang. Jangan bersuara membuta tuli sahaja. Selalu juga disebut begini, tetapi mana faktanya? Apabila dengar sahaja tentang pembaharuan bandar, pilihan raya kerajaan tempatan, semua orang ‘melompat’ dan cakap: “Oh, ini akan merugikan dan meminggirkan orang Melayu”. Kalau betul, beri cadangan lain.

Semua orang tahu pembaharuan bandar ini penting terutama bagi rumah-rumah yang sudah berusia 75 hingga 80 tahun. Mustahillah kita tidak mahu lakukan pembaharuan di bandar-bandar kita? Ini perkara yang lumrah di bandar besar dan kita akan sampai pada tahap ini. Misalnya di Singapura dan Hong Kong, dibina, diroboh dan begitulah seterusnya. Inilah pembaharuan semula bandar.

Ada bandar-bandar lain yang majoritinya Melayu. Ada bahagian-bahagian bandar yang majoriti penduduknya Melayu. Jadi, janganlah bila disebut sahaja pembaharuan semula bandar, orang Melayu akan terpinggir. Ini tidak masuk akal.

—————————————————————————————————————————————————————————————————————-

HUKUMAN MATI BEKAS
PELAJAR UPNM

Sebagai bekas hakim, komen Tan Sri tentang Mahkamah Persekutuan mengetepikan hukuman gantung sampai mati terhadap enam bekas pelajar Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) kerana membunuh Pegawai Kadet Laut Zulfarhan Osman Zulkarnain, lapan tahun lalu?

Pun begitu, saya belum membaca keseluruhan keputusan Mahkamah Rayuan. Namun, kadangkala, kalau orang ramai melihat daripada luaran seolah-olah keputusan mahkamah tidak adil.

Tetapi, menjadi hakim, seseorang melihat fakta dan bukti secara terperinci dan berfikir dengan lebih komprehensif.

Apabila kita melibatkan soal nyawa, harus ingat juga ada risiko yang mungkin kita sebagai hakim (secara am) tersilap. Itulah sistem kita. Namun, kita terima sahajalah. Apa guna menjadikan kontroversi ini berpanjangan? Kita sudah sampai di tahap terakhir dalam proses penghakiman, yang penting lihat apa yang berlaku, cuba elakkan supaya sejarah tidak berulang kembali.

Dalam sistem kita pun ada semak dan imbang juga. Tidak mustahil bagi keputusan Mahkamah Tinggi apabila dirayu diputuskan sebaliknya. Begitu juga keputusan Mahkamah Rayuan diputuskan sebaliknya. Hakim di Mahkamah Tinggi ada seorang, Mahkamah Rayuan tiga orang, Mahkamah Persekutuan lima adakalanya sembilan orang hakim.

Jadi, mereka akan melihat pada rekod dan melihat sama ada sabitan bersalah ini boleh kekal atau tidak dan kalau tidak boleh dikekalkan atas tuduhan membunuh boleh dikekalkan tidak atas tuduhan yang lain sedikit yang tidak setimpal dengan apa yang disabitkan di bawah oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Inilah proses yang berlaku. Tetapi, walau apapun kedudukannya, mereka tidak bebas begitu saja. Masih terdapat sabitan menjalani hukuman penjara untuk beberapa tahun lagi.

Namun, ini episod yang amat menyedihkan kerana boleh berlaku tindakan begini oleh kadet-kadet yang seharusnya berdisiplin. Ini memberikan kita satu pengajaran untuk mengambil langkah supaya benda begini tidak akan berlaku lagi. – UTUSAN

Ulasan