Aktivis serah dokumen gesa SPRM siasat NGO isu kutipan derma


Aktivis serah dokumen gesa SPRM siasat NGO isu kutipan derma

26 Mac 2025 02:20pm
Masa membaca: 1 minit

PUTRAJAYA - Seorang aktivis masyarakat tampil menyerahkan dokumen kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna kutipan dana oleh sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terkenal.

Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin berkata, laporan dibuatnya kerana mendapati modus operandi kutipan dana itu hampir sama dengan beberapa kes lain termasuklah pasangan pempengaruh.

Katanya, tindakan menyerahkan segala dokumen ini bagi membantu siasatan pihak SPRM.

"Siapa yang kenal saya, memang tak setuju mana-mana NGO ambil dana awam dan 'syok' (seronok) sendiri.

"Saya tiada kuasa, jadi saya perlu serahkan kepada pihak berkuasa untuk siasatan seterusnya. NGO ini mengutip derma dengan dakwaan untuk memberi bantuan, tetapi tiada laporan dan tidak diaudit," katanya di Ibu Pejabat SPRM di sini pada Rabu.

Tambahnya, bagaimanapun tidak diketahui berapa jumlah dana yang terlibat.

Dakwanya, NGO diketuai individu terbabit juga ada mengutip dana awam melalui sebuah entiti perniagaan yang tidak pernah diaudit sejak penubuhannya.

Jelas Ahmad Aliff, ini kali pertama buat laporan di SPRM dan harap ada tindakan dibuat berhubung isu ini.

Ulasan