
Angkasawan NASA 'Butch dan Suni' kembali ke Bumi selepas 'misi 9 bulan'
Mac 19, 2025 @ 8:24am
Butch Wilmore dan Suni Williams, dua angkasawan veteran NASA yang terkandas di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) selama sembilan bulan, duduk di dalam kapsul SpaceX Crew Dragon selepas pintu kapsul ditutup sebagai persiapan untuk berlepas dari ISS bagi memulakan perjalanan pulang ke Bumi. - Foto REUTERS
WASHINGTON: Angkasawan Agensi Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA), Butch Wilmore dan Suni Williams, selamat kembali ke Bumi dalam kapsul SpaceX pada Selasa, mendarat di perairan pesisir pantai Florida, Amerika Syarikat (AS).
Mereka terkandas di angkasa lepas selama sembilan bulan selepas kapal Boeing Starliner yang mengalami kerosakan menjejaskan rancangan asal misi seminggu mereka di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).
Kepulangan mereka menandakan penamat kepada misi angkasa lepas yang berlarutan dan penuh cabaran teknikal, menjadikan perancangan kontingensi NASA serta kegagalan terkini Starliner, sebagai perhatian dunia.
Wilmore dan Williams, dua angkasawan veteran NASA serta bekas juruterbang ujian Tentera Laut AS dilancarkan ke angkasa lepas pada Jun lalu sebagai krew pertama Starliner untuk misi ujian selama lapan hari.
Namun, masalah pada sistem pendorong Starliner menyebabkan kelewatan berterusan untuk membawa mereka pulang, memaksa NASA membuat keputusan menghantar mereka pulang menggunakan kapsul SpaceX tahun ini sebagai sebahagian daripada jadual giliran kru agensi itu.
Pada pagi Selasa, Wilmore dan Williams bersama dua lagi angkasawan menaiki kapal Crew Dragon dan berlepas dari ISS pada jam 1.05 pagi (0505 GMT), memulakan perjalanan selama 17 jam pulang ke Bumi sambil mengucapkan selamat tinggal kepada tujuh angkasawan lain di stesen tersebut.
Kru empat orang itu, secara rasmi sebahagian daripada misi giliran angkasawan NASA Crew-9, memasuki atmosfera Bumi sekitar jam 5.45 petang waktu Timur.
Dibantu atmosfera Bumi serta dua set payung terjun, kelajuan orbit kapal yang mencecah 17,000 batu sejam berjaya diperlahankan kepada 17 batu sejam ketika mendarat, kira-kira 50 batu dari pesisir Teluk Florida di bawah langit cerah.
"Suatu perjalanan hebat," kata angkasawan NASA, Nick Hague, komander misi Crew-9 dalam kapsul Dragon, kepada pusat kawalan sejurus selepas pendaratan.
Kapsul mereka kemudian diangkat keluar dari air ke atas sebuah bot. Angkasawan terbabit akan diterbangkan menaiki pesawat NASA ke pusat penempatan krew di Pusat Angkasa Johnson, Houston, untuk menjalani pemeriksaan kesihatan sebelum dibenarkan pulang kepada keluarga masing-masing.
Misi itu turut menarik perhatian Presiden AS, Donald Trump, yang selepas memegang jawatan pada Januari lalu menyeru kepulangan segera Wilmore dan Williams serta menuduh tanpa bukti bahawa bekas Presiden AS, Joe Biden telah 'mengabaikan' mereka di ISS atas alasan politik. - REUTERS
Ulasan
Catat Ulasan