
Anwar, Amzad setuju selesai kes saman fitnah di luar mahkamah
05 Mac 2025 10:10am
Masa membaca: 2 minit
KUALA TERENGGANU - Mahkamah Tinggi di sini merekodkan penyelesaian luar mahkamah bagi kes saman fitnah membabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Penyelesaian itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani jam 9 pagi pada Rabu.
Dalam prosiding tersebut, kedua-dua pihak bersetuju menarik balik tuntutan masing-masing tanpa sebarang kos dan tanpa kebebasan untuk memfailkan semula kes berkenaan.
Menurut kenyataan bersama yang dibacakan di mahkamah, kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian peribadi tersebut bagi memberi tumpuan kepada isu-isu lebih besar dan penting untuk negara.
"Setelah mempertimbangkan kesan saman fitnah dan kos perundangan yang bakal ditanggung, kedua-dua pihak bersetuju menamatkan pertikaian ini di Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu.
"Ia juga memandangkan terdapat lebih isu lebih besar dan penting yang perlu diberikan perhatian," kata kenyataan itu.
Ahmad Amzad menarik balik kenyataannya yang dibuat pada 7 Disember 2022, manakala Anwar menarik balik saman tersebut tanpa sebarang kos.
Anwar diwakili peguam Datuk Sankara Narayanan Nair, Narendran Letchiemanan dan Wong Guo Jin dari firma guaman S N Nair & Partners, manakala Ahmad Amzad diwakili peguam Yusfarizal Yusoff dan Mohd Faizi Che Abu.
Kedua-dua pihak turut merakamkan penghargaan kepada hakim dan kakitangan mahkamah serta berharap keputusan ini dihormati semua pihak demi kesejahteraan negara.
Terdahulu, Anwar memfailkan saman terhadap Ahmad Amzad pada 22 Disember 2022 atas dakwaan mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah bahawa beliau berbohong menerima gaji RM1 ketika menjadi Penasihat Ekonomi Selangor.
Ulasan
Catat Ulasan