AS gantung perkongsian kerjasama risikan dengan Ukraine


AS gantung perkongsian kerjasama risikan dengan Ukraine

06 Mac 2025 10:39am
Masa membaca: 2 minit

Anggota tentera Ukraine dari Briged Artileri ke-43 melepaskan tembakan menggunakan meriam bergerak sendiri 2S7 Pion ke arah kedudukan Rusia di barisan hadapan wilayah Donetsk pada 22 Februari 2025. Foto AFP

WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menggantung perkongsian risikan dengan Ukraine, satu langkah yang boleh menjejaskan keupayaan tentera Kyiv dalam menghadapi Rusia.

Pengarah Agensi Perisikan Pusat (CIA), John Ratcliffe, mengesahkan keputusan itu di tengah-tengah ketegangan antara Washington dan Kyiv.

Tindakan tersebut dibuat selepas AS menghentikan bantuan ketenteraan kepada Ukraine susulan kemerosotan hubungan antara Presiden AS, Donald Trump dan Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskyy.

Sejak perang bermula pada 2022, AS telah menyalurkan maklumat perisikan penting kepada Ukraine, termasuk data untuk operasi ketenteraan. Bagaimanapun, tidak jelas sejauh mana pemotongan perkongsian risikan itu dilaksanakan.

Dalam temu bual bersama Fox Business pada Rabu, Ratcliffe mengesahkan ‘jeda’ dalam sokongan AS kepada Ukraine.

"Saya fikir dalam aspek ketenteraan dan perisikan, penghentian sementara ini akan berakhir.

"Kami akan terus bekerjasama dengan Ukraine untuk menentang pencerobohan yang berlaku, namun pada masa yang sama berusaha mewujudkan keadaan yang lebih baik bagi rundingan damai," tambahnya.

Sementara itu, wartawan Al Jazeera, Alan Fisher, melaporkan dari White House bahawa langkah AS menarik balik kerjasama risikan adalah strategi untuk menekan Ukraine agar kembali ke meja rundingan.

"Mereka juga bercakap mengenai penghentian bantuan ketenteraan kepada Ukraine, yang diakui akan menjejaskan usaha peperangan mereka tetapi tidak akan menghentikannya sepenuhnya," jelas Fisher.

Menurutnya, ugutan itu sudah menunjukkan kesan dan kenyataan penasihat keselamatan negara AS bahawa bantuan boleh disambung semula dalam masa terdekat menunjukkan impaknya terhadap Ukraine adalah terhad, selagi rundingan damai dijangka berlangsung dalam masa terdekat. - Al Jazeera

Ulasan