Banjir: Kerajaan kerah tenaga, aset terbaik


Banjir: Kerajaan kerah tenaga, aset terbaik
FADHLINA Sidek berbual dengan mangsa banjir yang ditempatkan di PPS SK Seri Kencana, Simpang Renggam, Johor.
Oleh ARIF AIMAN ASROL dan ADNAN IBRAHIM
22 Mac 2025, 7:38 am

KUALA LUMPUR: Kerajaan menge­rahkan segala tenaga dan aset terbaik bagi membantu mangsa banjir di Johor, Sabah, dan Sarawak yang berdepan bencana luar jangkaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Ha­midi menegaskan, kerajaan komited memastikan keselamatan serta kebajikan penduduk terjejas sentiasa terpelihara.

“Usaha sedang dipergiatkan, daripada operasi menyelamat hingga penyaluran bantuan ke­perluan khas. Hati saya tersentuh mendengar rintihan mangsa yang kehilangan tempat tinggal dan harta benda,” katanya di sini semalam.

Setakat tengah hari semalam, seramai 12,255 mangsa daripada 3,771 keluarga masih terjejas, dengan 116 pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka.

Johor mencatat jumlah ter­tinggi dengan 10,510 mangsa dari­pada 3,245 keluarga di 98 PPS merentasi lima daerah. Sabah pula mempunyai 1,273 mang­sa daripada 405 keluarga di 11 PPS, sementara Sarawak merekodkan 472 mangsa daripada 121 keluarga di tujuh PPS.

Sementara itu sebanyak tujuh sekolah di Johor Bahru, Kota Tinggi dan Pasir Gudang ditutup hari ini selepas dinaiki air, manakala 47 lagi dijadikan sebagai pusat pemindahan sementara (PPS).

Menteri Pendidikan, Fadhli­na Sidek berkata, sekolah yang ditutup masing-masing tiga di Johor Bahru dan Kota Tinggi serta sebuah di Pasir Gudang.

“Sehingga kini seramai 886 orang pelajar dilaporkan ditempatkan di PPS di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas meninjau PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Kencana, Simpang Renggam dekat sini, semalam.

Tambah Fadhlina, sekolah yang dijadikan PPS membabitkan Johor Bahru, Kulai, Pontian, Kota Tinggi, Kluang dan Pasir Gudang.

“Bilangan sekolah dijadikan PPS merekodkan daerah Pontian paling tinggi, iaitu sebanyak 13 sekolah,” katanya.

Kelmarin, Pengerusi Jawatan­kuasa Pendidikan dan Pene­ra­ngan Johor, Aznan Tamin memaklumkan, sesi pembelajaran di 20 buah sekolah terjejas akibat banjir, susulan hujan le­bat berterusan sejak Rabu lalu. – UTUSAN

Ulasan