Banyak benda kita tanya, kerajaan diam – Shahidan
March 3, 2025
Dato' Seri Dr Shahidan Kassim
KUALA LUMPUR: Kerajaan dilihat tidak telus dalam menjawab persoalan yang dibangkitkan di Dewan Rakyat, khususnya melibatkan isu keselamatan dan pengurusan sempadan negara.
Dato’ Seri Dr Shahidan Kassim (PN-Arau) mempertikaikan pemindahan projek MyDigital daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) kepada Jabatan Perdana Menteri (JPM), sambil menuntut penjelasan mengenai pihak yang mengusulkan langkah itu serta kontraktor yang terlibat dalam pelaksanaannya.
“MyDigital ini adalah sistem log masuk tunggal (single sign-on) yang tentunya melibatkan aspek keselamatan, termasuk kawalan sempadan. Sekarang ini, Majlis Keselamatan Negara (MKN) masih terikat dengan Dasar Keselamatan Negara yang akan tamat tahun ini. Apakah kerajaan bercadang memperkenalkan dasar baharu?” soalnya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan Tambahan (2024) di peringkat jawatankuasa bagi JPM, hari ini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap peningkatan aktiviti penyeludupan di sempadan negara, khususnya di Sungai Golok, Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan, walaupun kerajaan telah memperkenalkan pelbagai sistem keselamatan termasuk penggunaan dron.
“Kita bina jalan masuk rasmi, tetapi yang lebih popular sekarang ialah jalan masuk tidak rasmi. Ini menyebabkan penyeludupan besar-besaran terus berlaku, melibatkan barangan seperti senjata api, dadah, diesel, petrol, beras, minyak masak, gas dan lembu,” katanya.
Selain itu, Shahidan mempersoalkan sikap kerajaan yang didakwanya berdiam diri mengenai isu Datuk Seri Aminul Islam atau Amin Bangla, individu yang dikaitkan dengan jenayah perdagangan manusia.
“Kerajaan Bangladesh sudah meminta beliau dihantar balik, tetapi kerajaan kita masih menyambung kontraknya. Kenapa kerajaan diam?” tegasnya.
Shahidan turut menyindir tindakan ramai menteri yang enggan menjawab persoalan di Parlimen secara lisan dan hanya memberikan jawapan bertulis.
“Apakah kerajaan sekarang ini benar-benar amanah, adil dan terbuka? Berterus terang atau tidak?” soalnya sebelum mengakhiri perbahasan dengan peringatan agar semua pihak mengamalkan kesederhanaan dalam bulan Ramadan. – HARAKAHDAILY 3/3/2025
Ulasan
Catat Ulasan